Menurut sejarah, ibadah haji di negara kita sudah pun berlaku daripada kurun ke 15 lagi. Menurut buku 'Haji di Semenanjung Malaysia : Sejarah dan Perkembangannya' tulisan Mohd.Saleh bin Haji Awang, orang Melayu pertama yang mengerjakan ibadat haji adalah Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah kesultanan Melaka dari tahun 1477 hingga 1488.
BESARKAN TEKS A- A+
Di dalam 'Hikayat Hang Tuah' pula ada disebutkan Hang Tuah juga sempat menunaikan ibadah haji di Mekah semasa dalam perjalanan ke Rom.
Bagaimanapun, sistem haji pada zaman moden di negara kita kisahnya bermula pada tahun 1923, selepas kerajaan Inggeris yang memerintah Tanah Melayu melantik seorang individu bernama Haji Abdul Majid bin Zainuddin bagi menubuhkan badan yang akan mengendalikan urusan jemaah haji ketika itu.
Memodenkan sistem perjalanan haji
Semenjak itu statistik jumlah jemaah haji dari Tanah Melayu meningkat ekoran kekukuhan ekonomi masyarakat pada ketika itu, didorong oleh kekuatan harga getah yang melambung naik.
Ini membantu lebih ramai orang Melayu mampu memenuhi ibadah haji namun pengalaman haji mereka cukup berbeza dengan apa yang jemaah kita tempuhi sekarang.
Sejak kurun ke 15 lagi jemaah haji di Tanah Melayu menggunakan pengangkutan kapal untuk ke Mekah. Yang membezakan perjalanan mereka adalah teknologi yang sedia ada mengikut zaman.
Bagi jemaah kurun ke 15, mereka mengharungi perjalanan menggunakan kapal layar sementara berkat teknologi yang ada, jemaah pada zaman sebelum merdeka dapat merasai perjalanan menggunakan kapal stim.
Berkumpul di pelabuhan
Antara pelabuhan yang kerap digunakan untuk dijadikan pusat pengumpulan jemaah haji ketika itu selain dari Temasik (Singapura) adalah Masjid Melayu, Lebuh Acheh yang terletak di Pulau Pinang. Jemaah bagaimanapun terpaksa menunggu di pelabuhan dengan masjid dijadikan rumah persinggahan sebelum kapal yang dinanti tiba. Waktu yang ada diisi dengan sesi mengajar bakal jemaah tentang ibadah haji kaedah memakai ihram dan perkara-perkara lain.
Ketibaan kapal yang mampu memuatkan lebih 1000 penumpang akan mengambil masa perjalanan selama lebih kurang setahun untuk pergi dan balik. Disebabkan kepadatan kapal yang dikongsi bersama jemaah-jemaah dari negara lain, ramai juga bakal jemaah yang jatuh sakit akibat keadaan yang tidak selesa. Pada perjalanan haji 1947 misalnya, 31 orang jemaah meninggal dunia dalam perjalanan sebelum sempat mereka menunaikan fardu haji.
Pada tahun 1936, Pejabat Hal Ehwal Haji melantik syarikat Blue Funnel Line yang mempunyai armada sebanyak 21 buah kapal sebagai kapal rasmi jemaah haji Tanah Melayu. Pada zaman sebelum merdeka pula, syarikat yang dilantik adalah China Navigation Line.
Bergolok gadai demi melihat Kaabah
Jemaah pada waktu itu memang diakui akan menggadaikan harta, tanah dan haiwan ternakan untuk ke Mekah. Sehingga 1970-an, kos untuk tambang ke Mekah agak besar bagi masyarakat ketika itu. Dengan kadar RM1,150 bagi kelas 1,RM1,063 bagi kelas 2 dan RM941 bagi kelas 3, tidak hairanlah masyarakat pada ketika itu sanggup bergolok bergadai bagi memastikan salah satu rukun Islam ini dipenuhi.
Selepas selesai menunaikan ibadah haji, bukan semua jemaah yang mahu pulang ke negara kita. Ada yang memilih untuk terus menetap di sana dan yang menyedihkan, ada juga yang meninggal dalam perjalanan pulang, sehingga memerlukan pengebumian di laut.
Kapal terbang menjadi pemudah cara
Kapal yang lebih pantas mula digunakan pada tahun 1950, yang mampu menghantar jemaah dalam tempoh 2 minggu berbanding berbulan lamanya. Bermula pada tahun 1977. jemaah haji di Malaysia tidak lagi menggunakan kapal untuk ke Mekah, dengan penggunaan kapal terbang membuatkan perjalanan menjadi lebih pantas. Tempoh 2 minggu yang perlu ditempuhi dipendekkan menjadi belasan jam sahaja.
Dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji pada tahun 1969 pula, urusan jemaah haji menjadi lebih lancar. Ekonomi orang Melayu juga menjadi semakin baik, lantaran kempen untuk menabung bersama Tabung Haji semakin mendapat sambutan, membuatkan keperluan harta benda digadaikan untuk ke Mekah bukan lagi satu kisah yang selalu didengari.
Beberapa puluh tahun dahulu, apabila jemaah berlepas, peluang untuk anak dan keluarga mendengar khabar berita amatlah sukar. Oleh kerana itu, pemberita Malaysia yang bertugas di Mekah akan menyediakan slot khas ucapan jemaah haji Malaysia bagi menghilangkan rindu keluarga yang berada di tanah air.
Kini, walaupun kita sudah ada kemudahan untuk berhubung setiap masa, tradisi ucapan selamat dalam kaca televisyen tetap diteruskan bagi mengingatkan kita semua susah payah pahit getir yang mungkin kita generasi baru tak perlu langsung merasainya.
Andai anda berkelapangan, berkunjunglah ke Galeri Haji Pulau Pinang bagi menyaksikan sendiri sejarah ibadah haji di Malaysia, ketika Pulau Pinang satu masa dahulu pernah bergelar 'Jeddah Kedua' kerana menjadi tempat berkumpul ribuan jemaah haji sebelum mereka berangkat ke Mekah.
Koleksi gambar-gambar lama perjalanan haji naik kapal
Kredit gambar dari video