Sekiranya anda rajin berjalan ke sana ke mari khususnya ke kawasan kediaman jenis bertingkat, pasti anda akan menemui beberapa unit kediaman yang jelas mengharamkan sistem penyewaan AirBNB diamalkan di kalangan pemilik mereka.
Negeri Pulau Pinang, sebuah destinasi pelancongan popular dalam dan luar negeri menjadi negeri pertama di Malaysia mengharamkan sistem sewaan jangka masa pendek (SJMP) ini.
BESARKAN TEKS A- A+
Tindakan ini menyebabkan banyak keluhan dapat didengari daripada pemilik-pemilik kediaman yang telah merancang untuk menggunakan unit milik mereka sebagai punca pendapatan. Apa sebenarnya yang berlaku dan kenapa isu ini telah menjadi satu isu besar kepada kita?
Tiada ketetapan jelas dalam undang-undang
Berbeza dengan kaedah ekonomi gig lain seperti e-hailing atau p-hailing yang telah berjaya diperhalusi aktanya, SJMP belum ada ketetapan atau undang-undang khusus yang dapat diwujudkan, dalam memantau kegiatannya.
Oleh kerana itu ada banyak cara untuk kita sebagai masyarakat boleh menilai bagaimana mahu melihat isu ini, dalam bermacam perspektif dan peringkat.
Sebagai contoh kami sudah sebutkan Pulau Pinang. Memang ada pewartaan daripada kerajaan Pulau Pinang tidak lagi membenarkan sistem ini digunakan bagi tujuan sewaan di negeri itu, namun kenyataan pengendali sistem AirBNB tampak tidak selari dengan apa yang diwartakan.
Sementara itu di Kota Kinabalu, Sabah pula, kerajaan tempatan meletakkan sistem sewaan sebegini sebagai tidak sah atas alasan unit kediaman seharusnya tidak digunakan bagi tujuan komersial.
Kecelaruan dan kelemahan ini mengakibatkan banyak pengurusan unit kediaman terpaksa memperkenalkan sendiri undang-undang atau peraturan, sama ada untuk memantau atau mengharamkan terus sistem ini diamalkan dalam lingkungan mereka; dengan ada yang menyokong dan ada yang membantah.
Ada juga khabar angin menyebut Malaysia mungkin mahu memperkenalkan undang-undang yang mampu menyelia sistem ini secara lebih menyeluruh. Ada juga yang menyebut SJMP ini mahu diharamkan terus.
Mana satu yang boleh berlaku, kita hanya boleh tunggu dan lihat.
Kenapa sistem ini kontroversi?
Apabila kita bercakap berkenaan gig ekonomi yang benar-benar menggugat sistem sedia ada, biasanya ramai akan memandang perubahan yang berlaku dalam nada positif.
Apa salahnya pemilik kediaman menggunakan unit kediaman mereka yang tidak berpenghuni untuk tujuan jangka masa pendek? Mereka bukan saja boleh menjana pendapatan sampingan, bahkan mereka juga mampu menjadi penyokong kepada industri pelancongan di mana lokasi unit kediaman mereka terletak.
Itulah kesimpulannya yang dapat kita lihat jika itu sudut pandangnya namun realitinya, kesan sistem sewaan sebegini sebenarnya jauh lebih besar berbanding keindahan yang kita lihat.
Dalam skala kecil, kebanyakan pengurusan kediaman memilih untuk melarang sistem sewaan ini berjalan adalah disebabkan oleh masalah gangguan yang sudah kerap berlaku dicetuskan oleh penyewa luar yang hadir.
Rungutan berkenaan kehadiran orang luar ke kawasan-kawasan komuniti, membuat bising, tidak menghormati penduduk serta'dibenarkan' menggunakan fasiliti untuk kolam renang, taman permainan dan sebagainya menjadi antara punca utama semakin banyak pengurusan melarang sistem ini.
Bagaimanapun masalah ini jauh lebih besar berbanding isu-isu mikro sebegini.
Sistem sewaan jangka pendek merugikan kita semua
Dalam skala besar, SJMP diakui memberi kesan kepada bidang perniagaan perhotelan, di mana kadar sewaan melibatkan unit-unit hotel menurun secara purata di antara 1.3 ke 1.5% secara tahunan di mana SJMP aktif, menerusi kajian di Amerika Syarikat.
Walau bagaimanapun, penurunan ini bukanlah sesuatu yang memberi kesan kepada majoriti kita kan? Ini disebabkan tidak ramai yang menyedari SJMP sebenarnya menjadi faktor yang lebih luas kepada kita.
Tidak dapat kami nafikan persaingan lebih kuat dalam industri ini telah mendorong kepada penurunan purata harga hotel yang ditawarkan, tetapi dalam masa yang sama kita juga berdepan kerugian sekiranya kita bercakap tentang unit sewaan.
Kerana kajian jangka masa panjang lebih sedekad mendapati SJMP menyebabkan nilai sewaan kediaman naik mendadak, atas faktor tawaran unit sewa yang semakin mengecil khusus untuk sewaan jangka masa panjang.
Disebabkan semakin ramai pemilik kediaman berminat mahu menyewakan rumah mereka secara jangka masa pendek yang dipercayai mampu menjana pulangan segera dalam masa lebih singkat, unit-unit kediaman untuk sewaan jangka masa panjang menurun jumlahnya - menyumbang kepada peningkatan kadar sewaan lebih tinggi perlu dibayar oleh penyewa.
Sistem ini juga menyumbang kepada populariti kediaman berkapasiti tinggi
Ramai pemilik kediaman yang menyokong sistem ini kerana mampu menjana pendapatan untuk mereka, gagal melihat satu perkara yang semakin banyak berlaku di bandar-bandar popular sebagai destinasi pelancongan dunia.
Oleh kerana wujud permintaan tinggi unit SJMP, bukan saja kita sebagai pemilik unit kediaman individu berebut mahu menyewakan unit milik kita - bahkan syarikat-syarikat hartanah sendiri ketika ini saling bersaing mahu mendirikan unit-unit kediaman baru atas tujuan mahu merebut peluang keuntungan yang ada.
Semakin banyak projek di seluruh dunia dibangunkan dengan visi mahu memenuhi keperluan yang ada, mencipta banyak masalah kepada komuniti setempat akibat 'pertambahan populasi' tidak terkawal atas motif keuntungan semata-mata.
Penawaran unit-unit khusus untuk SJMP dalam kuantiti besar ini menjadi faktor utama kenapa kadar sewaan di sesetengah tempat naik mendadak, berlakunya penurunan jumlah unit sewaan jangka masa panjang dan meningkatnya masalah keselamatan di kawasan kediaman yang ada.
Sekali lagi kami tidak nafikan potensi menjana pendapatan yang disediakan oleh sistem sewaan sebegini memang menarik.
Bagaimanapun faktor positif itu seharusnya tidak mengakibatkan kita memejam sebelah mata dalam melihat bagaimana kaedah sama menyebabkan semakin ramai orang yang tidak memiliki kediaman sendiri sukar untuk menyewa dan kenapa semakin banyak projek pembangunan baru, dibina dalam kapasiti tinggi berpuluh-puluh tingkat tingginya.
Ada 1001 sebab kenapa sistem seperti AirBNB baik untuk anda. Ada juga 1001 sebab kenapa ada pihak mahu sistem sama diharamkan di Malaysia. Anda dipihak mana?