Tidak ramai di antara kita mempunyai kemampuan kewangan untuk bertukar-tukar rumah, seolah-olah bertukar pakaian (atau pasangan).

Biasanya bagi orang kebanyakan, satu kediaman yang kita beli itulah yang akan yang kita miliki dan duduki. Bagaimanapun bukan semua pembelian hartanah membawa kegembiraan disebabkan oleh banyak faktor luar jangka.

Ada beberapa petunjuk dan petua pembelian rumah yang mudah dan ringkas, tetapi jarang ditekankan - sebenarnya mampu memberikan anda ketenangan jiwa hasil keputusan jangka panjang pembelian hartanah milikan anda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Semak sejarah dan ramalan bencana kawasan terlebih dahulu

masalah bencana kediaman rugi musnah

Untuk meramal prospek sesuatu kawasan, pastikan sebelum membeli hartanah anda dah kaji dan kenalpasti sendiri rekod-rekod bencana kawasan tersebut untuk tempoh 5 dekad lalu, selain ramalan berkenaan kawasan itu di masa akan datang.

Harus diakui bencana adalah sesuatu yang sukar diramal, tetapi petunjuk dan indikator daripada rekod-rekod lalu mampu memberikan anda gambaran apakah kemungkinan yang boleh berlaku kepada hartanah anda sekiranya anda bersetuju membeli di sana.

Faktor penentunya di sini selain ramalan dan rekod lampau, harus diingatkan juga sangat berkait rapat dengan pelan projek pembangunan yang dirancang atau sedang dijalankan - yang sudah pasti akan memainkan peranan besar dalam menentukan kesesuaian prospek milikan hartanah ada, khasnya berkaitan bencana seperti banjir.

2. Jangan beli rumah dekat main road

laluan taman sesak

Jika anda berminat untuk membeli hartanah atas tanah seperti rumah teres dan sebagainya, cuba dapatkan unit yang bukan terletak di laluan utama kawasan kejiranan anda.

Hiruk-pikuk kenderaan lalu lalang pasti akan menyebabkan suasana depan rumah anda jadi bising apatah lagi di kawasan yang padat.

Ada juga kawasan perumahan bersaiz kecil yang menjadi mangsa pembangunan kurang kemas apabila laluan-laluan yang sebelum itu damai, diubah untuk menjadi laluan utama bagi memudahkan penyuraian trafik.

Sekiranya anda merancang untuk berkeluarga, laluan depan rumah yang tidak sibuk akan memberikan anak-anak anda dan anda ruang beriadah. Aktiviti-aktiviti main petang dapat dilakukan dengan lebih selamat. Anak nak berbasikal pun kita tak pening kepala.

3. Pastikan rumah anda bukan berdekatan kawasan kediaman bertingkat

masalah parkir kawasan padat kediaman

Bagi banyak kawasan, pembukaan kediaman tinggi khasnya yang melebihi 15 tingkat membawa 1001 masalah yang cukup sukar untuk ditangani.

Kewujudan kediaman bertingkat khasnya yang mempunyai kapasiti penduduk padat khasnya pasti akan mencipta kesukaran kawasan parkir penduduknya, memaksa penduduk untuk mula meletakkan kereta di sepanjang jalan utama orang ramai.

Kawasan Bandar Sri Permaisuri yang terletak di Bandar Tun Razak, Cheras cukup terkenal dengan masalah ini. Jika anda pernah ke sana, anda pasti tahu di mana lokasinya.

Tidak ada apa-apa yang boleh dibuat bagi menyelesaikan masalah ini, kerana jumlah parkir yang disediakan pasti tidak boleh menyaingi jumlah kenderaan yang dimiliki penduduk.

Bagi mereka yang duduk di kawasan seperti ini, mereka perlu berhadapan dengan jalan yang sempit ekoran kewujudan ratusan kereta terletak, bukan saja memburukkan pemandangan bahkan melambatkan anda jika anda perlu bergegas.

Dapatkan pelan perancangan kawasan yang anda minati dan cuba kenalpasti dulu di mana adakah wujud rancangan untuk mewujudkan kediaman jenis tinggi ini dan lokasinya. Carilah unit yang jauh daripadanya dan doakanlah agar pemaju tidak semena-mena mengubah perancangan awal mereka.

4. Bandar terancang lebih baik berbanding taman sebuah-sebuah

konsep bandar terancang

Format bandar terancang semakin lama semakin mendapat tempat di hati pembeli yang mahu mendapatkan kediaman.

Ini disebabkan oleh fasiliti dan pelan pembangunan bandar terancang, sejak awal sudah dirangka lebih tersusun berbanding format taman-taman kediaman kecil. Nak kenalpasti di mana kawasan kediaman bertingkat tinggi pun lebih mudah, sekiranya anda pembeli kediaman di bandar terancang.

Ada orang kata harga unit di bandar terancang lebih tinggi tetapi pada pandangan mata kasar penulis, tak adalah ketara sangat perbezaannya. Jika ada pun, kos tambahan yang dikenakan sebenarnya berbaloi dengan ketenangan jiwa yang akan kita dapati.

Berbeza dengan pembangunan taman bersifat tunggal, bandar terancang direka supaya penduduknya tidak perlu bergerak jauh untuk menyelesaikan urusan harian mereka. Fasiliti seperti kawasan komersial, masjid, sekolah, kolej, universiti, hospital dan sebagainya telah ditetap tapak serta dirancang sejak awal pembangunannya.

Jalan akses keluar masuk juga dicorakkan lebih mengutamakan penduduk di kawasan-kawasan bandar terancang.

5. Rumah besar lebih besar kos dan usaha menjaganya

rumah terbiar

Ramai orang mengidamkan rumah besar. Nak laman luas, nak ruang tamu, nak bilik luas. Apabila membeli, istilah 'built-up' tinggi menjadi antara keutamaan pembeli.

Realitinya tidak ramai yang benar-benar mampu menjaga kediaman mereka baik luar dan dalam, disebabkan oleh kesibukan urusan kita seharian. Mengemas rumah ada kalanya hanya akan dibuat sekiranya ada tetamu ingin berkunjung.

Laman besar yang diidamkan ramai pembeli bukanlah sesuatu yang mudah diuruskan. Bergetar tangan nak potong rumput sendiri. Nak upah orang? Jika unit corner lot sekali potong mampu mencecah RM200 tahu! Usaha untuk mengemas sesebuah rumah bersaiz besar juga memerlukan ketekunan dan tenaga milik kita.

Jika anda seorang yang berat tangan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan serta penyeliaan rumah sendiri, elakkanlah diri anda daripada membeli kediaman yang terlalu besar. Bukan kerja senang nak menyapu, cuci bilik air, potong rumput dan sebagainya secara berkala.

Ramai orang pada awalnya memang memasang impian gergasi nak beli yang kediaman yang besar. Malangnya bila dah dibeli, rumah akhirnya tak ubah serupa belukar.




Hakcipta iluminasi.com (2017)