Sejarah Tanah Melayu banyak menceritakan tentang zaman kegemilangan masyarakat Melayu satu masa dulu, dalam bidang ekonomi. Beberapa buah pelabuhan yang ada di Tanah Melayu seperti Melaka dan Temasik (Singapura sekarang) dikatakan menjadi antara pusat perdagangan penting rantau ini.
Bagaimanapun, kebanyakannya diceritakan tanpa memberikan informasi yang jelas tentang sistemnya, dengan kebanyakan sejarah ekonomi kita lebih banyak memfokuskan kepada era kolonialisme British yang menukarkan sistem ekonomi masyarakat kita ketika itu, daripada sistem tradisional kepada sistem ekonomi moden.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanakah sebenarnya sistem ekonomi yang diamalkan di Tanah Melayu satu masa dulu dan mengapakah sistem tradisional itu berjaya menjadikan Tanah Melayu, sebagai antara kawasan terpenting dalam kegiatan ekonomi serantau?
Eksploitasi cukai sebagai pemangkin ekonomi zaman kesultanan Melayu
Kita semua harus menyedari - sebelum kedatangan penjajah, sistem ekonomi yang dibangunkan serta diselia oleh Raja-Raja Melayu sudahpun berjaya memacu ekonomi jajahan mereka ke satu tahap yang tinggi. Malangnya, kedatangan penjajah daripada Portugis, Belanda dan seterusnya British mengenepikan peranan yang dimainkan Raja-Raja Melayu dalam mentadbir ekonomi mereka sendiri.
Marginalisasi ekonomi ini bukan saja telahpun mengenepikan Raja-Raja Melayu, malahan turut sama membuatkan penduduk Tanah Melayu diketepikan. Bagaimanapun, kajian juga telah menunjukkan - sebelum kedatangan penjajah, masyarakat Tanah Melayu juga berhadapan dengan kekangan daripada menyertai kegiatan ekonomi yang terlalu kuat dikuasai oleh Raja-Raja serta pembesar Melayu.
Perkembangan ekonomi tanah Melayu sebenarnya sudah bermula semasa zaman kerajaan Srivijaya lagi, semenjak abad ke 7. Bagaimanapun, era yang dikatakan benar-benar mengubah Tanah Melayu menjadi sebuah hab atau pusat ekonomi berlaku semasa era Kesultanan Melaka bermula pada tahun 1402, selepas Parameswara memindahkan pusat pentadbirannya daripada Palembang ke Melaka.
Berikutan pembukaan pusat ekonomi serta pelabuhan yang kuat, status Melaka sebagai hab ekonomi mula berkembang - menjadikan Melaka tumpuan pedagang-pedagang. Pedagang dari India, Arab dan Cina mula berkunjung ke Melaka dan berikutan kedudukan yang strategik itulah, kesultanan Melaka memperkenalkan sistem cukai sebanyak 10% ke atas setiap nilai jualan atau dagangan yang diperolehi pedagang asing.
Sistem kutipan cukai itu membantu mengukuhkan kekuatan ekonomi kerajaan Melaka, sehingga membolehkan kerajaan tersebut menjalinkan hubungan dengan kerajaan China semasa era Dinasti Ming. Hubungan itu yang dikatakan terjalin selepas perkahwinan Parameswara dengan salah seorang puteri Maharaja China, memulakan kedatangan lebih ramai pedagang China ke Melaka dan keturunan ini terus kekal sehingga ke hari ini sebagai orang Baba dan Nyonya atau orang Peranakan.
Sistem ekonomi Raja Melayu yang mengabaikan rakyat
Bukan setakat di Melaka, Kedah dan Kelantan juga melalui proses perkembangan ekonomi yang mirip dengan Melaka apabila kedua-dua buah kesultanan tersebut membuka jalan perdagangan serta mula menjadikan kegiatan ekonomi, sebagai sumber utama pembangunan kerajaan.
Namun begitu, pada era tersebut - faedah-faedah yang datang daripada kegiatan ekonomi ini jarang sekali dikongsikan dengan rakyat kebanyakan. Beberapa pendapat menyebut berikutan kemahiran serta pengetahuan ekonomi pedagang luar lebih menguntungkan golongan pembesar, Raja-Raja Melayu mula memberikan jawatan serta pangkat kepada kumpulan pedagang ini sehingga mengabaikan orang Melayu sendiri.
Walaupun orang Melayu berstatus rakyat kebanyakan mula diberikan peluang untuk menjual produk-produk mereka, faedah sebenar perkembangan ekonomi hanya dirasai pembesar dan pedagang luar.
Kritikan terhadap golongan orang kebanyakan ketika itu mula kedengaran, dikatakan tidak mempunyai kemahiran ekonomi dan ini menyebabkan pembesar Melayu mula meletakkan kumpulan-kumpulan pedagang ini sebagai orang tengah perantara di antara pengeluar dengan pengguna - menyebabkan orang Melayu kebanyakan tidak lagi mampu bersaing dalam kegiatan ekonomi.
Sistem perhambaan bagi mengawal orang Melayu
Sistem kerajaan Melayu ketika itu dengan jelas mewujudkan dua sistem masyarakat yang berbeza dari segi status - kumpulan pertama adalah kumpulan pemerintah dan pembesar, sementara kumpulan satu lagi adalah kumpulan rakyat. Rakyat pada zaman tersebut boleh didefinisikan sebagai mereka yang tidak mempunyai hubungan atau hubung kait dengan mana-mana individu berstatus pembesar, baik pada peringkat kerajaan ataupun daerah.
Bagi mewujudkan kumpulan pekerja yang boleh dieksploitasi - Raja-Raja Melayu memperkenalkan 3 jenis kumpulan hamba di kalangan orang biasa.
Kumpulan pertama adalah mereka yang disebutkan sebagai 'hamba abdi', kebiasaannya datang daripada individu-individu yang bersalah dan berjaya ditawan, dengan waris-waris kepada individu juga bertanggungjawab meneruskan tugas yang ditinggalkan. Kebiasaannya, kumpulan hamba abdi ini datang daripada kumpulan orang asal atau mana-mana individu bukan Muslim yang didapati melakukan kesalahan. Mereka akan diberikan tugasan sebagai pekerja istana.
gambar sekadar hiasan
Oleh kerana agama Islam pada ketika itu melarang perhambaan, orang Melayu hanya boleh diisytiharkan sebagai hamba melalui cara 'hamba hutang' atau orang berhutang. Seseorang individu Melayu akan dianggap sebagai seorang orang berhutang apabila dia didapati meminjam daripada pembesar wang atau bantuan. Apabila bantuan sudah diberikan, seseorang itu menjadi 'orang berhutang' sehinggalah dia membayar kembali jumlah yang dipinjamkan kepadanya.
Sistem orang berhutang ini dikatakan berpunca daripada keperluan pembesar-pembesar Melayu mempunyai pasukan pengawal keselamatan masing-masing, jadi dengan memberikan pinjaman kepada individu khasnya lelaki - lelaki itu akan dimestikan berkhidmat dengan pembesar Melayu. Walaupun berstatus 'orang berhutang', beberapa faedah akan diterima mereka. Orang berhutang akan diberikan kediaman untuk didiami dan akan dijodohkan dengan wanita sebagai isteri, selain mendapat bantuan dari segi sara hidup.
Kumpulan hamba ketiga adalah hamba raja atau hamba sultan. Mereka ini pula biasanya datang dari kelompok orang kebanyakan yang sudi memperhambakan diri kepada golongan pembesar, tanpa sebarang bayaran. Bagaimanapun, makan dan minum mereka akan disediakan pihak istana selagi mana mereka berkhidmat. Persalinan pakaian juga akan diperuntukkan kepada kelompok ini.
Kedatangan penjajah menoktahkan pengaruh orang Melayu dalam ekonomi
Dengan kewujudan sistem perhambaan yang disebutkan di atas, masyarakat Melayu berstatus rakyat biasa jarang sekali mempunyai peluang menceburi bidang ekonomi. Jadi aktiviti ekonomi dimonopoli oleh Raja-Raja Melayu dengan pedagang-pedagang asing memainkan peranan sebagai peniaga.
Walaupun begitu, hanya selepas kedatangan penjajah Portugis lah kuasa orang Melayu ke atas ekonomi di Tanah Melayu sendiri semakin berkurangan. Ekoran daripada kealpaan Raja-Raja Melayu melantik orang-orang Cina sebagai orang tengah dalam urusan perniagaan dan perdagangan, kedatangan penjajah memudahkan mereka menguasai sepenuhnya sistem ekonomi Tanah Melayu.
Orang-orang Cina yang dilantik sebagai perantara, mula diangkat oleh Portugis sebagai orang kanan mereka dalam usaha memudahkan mereka mentadbir masyarakat setempat. Berbanding dengan kumpulan peniaga Arab dan India yang turut sama menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan mereka, Portugis memilih untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan komuniti Cina.
Kuasa monopoli yang sebelum itu dipegang Raja-Raja Melayu mula kendur selepas kuasa mereka hilang ke tangan penjajah dan Portugis, dengan bantuan peniaga Cina mula mengembangkan pengaruh mereka. Hasil daripada kerjasama ini, kemasukan pedagang-pedagang Cina menjadi keutamaan pemerintah/penjajah ketika itu - membenarkan pembukaan penempatan baru kaum Cina di Melaka serta memberikan lebih banyak ruang untuk orang Cina melebarkan aktiviti ekonomi.
Hubungan peniaga Cina dengan penjajah Portugis diteruskan lagi ketika era penjajahan Belanda, menyebabkan lebih ramai orang Cina hadir ke Tanah Melayu secara tetap tanpa ada sebarang rintangan daripada Raja-Raja Melayu atau orang Melayu sendiri.
Pada era awal penjajahan inilah, pengaruh orang Melayu ke atas kegiatan ekonomi yang sebelum itu dikuasai Raja-Raja Melayu lenyap. Orang Melayu lebih banyak menjalankan kegiatan sendiri seperti mengerjakan sawah dan ladang - sebelum perjanjian di antara Belanda dan British menghadiahkan bumi yang sangat bertuah ini kepada penjajah era baru.
Rujukan
The Malay Economy and Exploitation: An Insight into the Past
The Peoples of Southeast Asia Today: Ethnography, Ethnology, and Change in a Complex Region