Baru-baru ini negara gempar apabila ada seorang selebriti tempatan bergelar Datuk didakwa menipu kerana menawarkan skim pembelian rumah dengan harga mampu milik RM50,000.
Selebriti tersebut telah membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya difitnah oleh sebuah laman Facebook terkemuka yang sering membongkarkan aktiviti-aktiviti scammer di Malaysia sehingga dia dikatakan mengalami kerugian teruk.
Kami bukan ingin mengulas lanjut tentang isu tersebut kerana ia masih dalam siasatan polis, namun apa yang kami ingin kongsikan adalah 5 lagi skim (atau scam?) hartanah yang tak masuk akal pernah berlaku di seluruh dunia:
BESARKAN TEKS A- A+
#1 Gunung berapi
Anda mesti mengenali Robert Ripley yang merupakan pengasas kepada "Ripley's Believe It or Not." Tahukah anda, beliau amat berminat dengan gunung berapi sehingga pernah cuba untuk membeli Gunung Berapi Paricutin di Mexico pada tahun 1945?
Beliau membuat tawaran kepada petani yang merupakan tuan tanah itu, namun transaksi pembelian tidak berjaya dibuat kerana kerajaan Mexico campur tangan dan menghalang Ripley.
Sehingga ke hari ini, pihak Ripley's masih berminat mencari gunung berapi untuk dibeli. Jika anda ada tanah gunung berapi untuk dijual, boleh hubungi mereka ya. (Sumber)
#2 Menara Eiffel
Pada tahun 1925, sebuah akhbar di Paris melaporkan tentang keadaan Menara Eiffel yang teruk dan bagaimana ia akan lebih menjimatkan kos kerajaan untuk merobohkannya daripada menghabiskan wang untuk membaiki dan membuat penyelenggaraan.
Artikel berita itu telah memberikan idea kepada seorang penipu terkenal yang berasal dari Czech beranama Victor Lustig. Dia telah membuat dokumen palsu yang menyatakan dia berjawatan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pos dan Telegraf Perancis.
Kemudian Victor menjemput lima orang usahawan barangan logam ke sebuah hotel mewah dan memberitahu mereka yang pihak kerajaan telah memutuskan untuk merobohkan menara itu dan kesemua 7,000 tan besi akan dijual kepada pembida paling tinggi. Para usahawan logam itu yakin dengan kredibiliti dan pembentangan Victor dan mula membuat dokumen untuk membida sehinggalah Victor memilih bidaan usahawan bernama André Poisson.
Victor memberi maklumat kepada André bahawa sejumlah "bayaran tepi" akan memastikan kertas kerja syarikatnya terpilih untuk projek bidaan tersebut. André pun bersetuju membuat bayaran rasuah itu kepada Victor. Victor menghabiskan wangnya dengan berseronok di Austria sebelum pulang semula ke Paris untuk membuat penipuan yang sama buat kali kedua kepada pengusaha logam yang lain. Victor tahu yang kesemua mangsa penipuannya malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa disebabkan kebodohan diri sendiri dan juga kerana kesalahan membayar rasuah.
Akhirnya nasib tidak menyebelahi Victor. Dia berjaya diberkas pada tahun 1936 dan meninggal dalam penjara 11 tahun kemudian. (Sumber)
#3 Jambatan Brooklyn
Sejak pembinaan Jambatan Brooklyn pada tahun 1883, pelbagai skim penipuan telah dibuat untuk "menjual" jambatan itu kepada ramai orang. Salah seorang "jurujual" yang paling terkemuka ialah George C. Parker yang menyasarkan pelancong dan orang asing. Dia memberikan peluang untuk golongan ini membina pondok tol untuk mengutip bayaran tol di jambatan terkenal tersebut.
George mendakwa yang dia telah menipu sekurang-kurangnya dua mangsa setiap minggu dan berjaya memeras antara $50 hingga $50,000 daripada mereka.
Tidak puas dengan Jambatan Brooklyn, George mula meluaskan pasarannya dengan penjualan Patung Liberty, Makam Grant dan Muzium Seni Metropolitan.
Selepas banyak waran tangkap dikeluarkan ke atas George, dia berjaya diberkas dan mati dalam penjara pada tahun 1936. (Sumber)
#4 Tanah di bulan
Pada tahun 80-an, seorang lelaki bernama Dennis Hope telah bercita-cita untuk membina kerjaya dalam bidang hartanah. Semasa berangan sambil memandang ke luar tingkap, dia teringat bahawasanya Triti Luar Angkasa Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1967 menyatakan tiada negara yang boleh memiliki bulan tetapi tiada syarat diletakkan untuk individu perseorangan.
Dia kemudian menulis sepucuk surat kepada Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan hasratnya untuk mendapatkan hak milik bulan secara mutlak namun suratnya tidak dibalas. Dalam suratnya, Dennis telah memperincikan maklumat hak miliknya dan juga rancangannya untuk mensubbahagikan tanah di sana untuk dijual.
Disebabkan tiada maklum balas daripada PBB, dia mula menjual tanah di bulan seluas 611 juta ekar. Pelanggannya termasuklah tiga orang bekas Presiden AS iaitu H.W. Bush, Ronald Reagan dan Jimmy Carter. Walaupun didesak oleh Institut Antarabangsa Undang-undang Angkasa untuk menghentikan skim tersebut, Dennis masih teguh dengan pendiriannya yang "memiliki" bulan dan mencari pembeli. (Sumber)
#5 Big Ben, Trafalgar Square dan Istana Buckingham
Selepas memegang watak sebagai pelancong Amerika yang ditipu oleh penipu Inggeris, aktor dari Scotland bernama Arthur Ferguson merancang satu skim untuk benar-benar menipu orang Amerika yang melawat London.
Selepas Perang Dunia Kedua, ekonomi agak rapuh di Britain. Jadi, pelakon itu telah menyamar sebagai ejen dari Pejabat Perdana Menteri yang ditugaskan untuk menjual beberapa mercu tanda terkenal London untuk membantu negara menyelesaikan masalah kewangan.
Hasil penyamarannya membuahkan hasil kerana dia berjaya menipu ramai pelancong asing. Harga yang biasa ditawarkan untuk Big Ben ialah $5,000, $30,000 bagi Tiang Nelson di Trafalgar Square dan wang pendahuluan sebanyak $10,000 bagi Istana Buckingham.
Selepas beberapa tahun merompak pelancong secara diam-diam, perbuatannya dihidu oleh pihak berkuasa selepas banyak aduan diterima oleh Kedutaan Amerika. Arthur kemudian segera berpindah ke Amerika Syarikat dan menyambung penipuannya di sana dengan menjual mercu tanda kebanggaan orang Amerika pula. Arthur berjaya ditahan pihak polis selepas cuba untuk menjual Patung Liberty dan dipenjarakan selama 5 tahun. (Sumber)
Kes DBI masih dalam siasatan. Netizen digesa jangan terus keluarkan dakwaan melulu.
Apabila kita baca semua kisah scam seperti ini dan juga yang terjadi di Malaysia, mesti kita rasa seolah-olah mangsa ini hanya warga tua dari kampung atau orang yang tidak berpendidikan. Tapi tanggapan itu sebenarnya salah kerana orang muda yang berpendidikan tinggi dan berpangkat besar pun selalu juga menjadi mangsa penipuan.
Manakan tidak, Perdana Menteri Amerika Syarikat pun sanggup melabur untuk membeli tanah di bulan.
Maka, kita sebagai pengguna perlu sentiasa perlu berhati-hati sebelum membuat apa-apa pelaburan yang melibatkan wang - tidak kiralah dalam bidang hartanah, skim pelaburan atau apa jua bidang, dalam jumlah yang kecil mahupun besar. Buat semakan terlebih dahulu tentang ejen dan syarikat yang menjual serta galilah maklumat sedalam-dalamnya agar tidak menjadi mangsa seterusnya. Baca lanjut tips dan cara untuk mengelakkan diri daripada ditipu scammer.
Janganlah kerana ditawarkan harga yang murah dan faedah yang menarik, anda terus bersetuju menyerahkan wang simpanan secara membabi buta.