Kediaman merupakan satu keperluan kepada setiap individu, baik yang masih bergelar bujang ataupun sudah berkeluarga.

Sama ada anda menyewa atau membeli, kita sebagai orang ramai tidak boleh terlepas lari daripada taktik yang digunapakai pemaju-pemaju hartanah dalam mencipta peluang dan memaksimakan keuntungan.

Ada banyak perkara yang aneh, ganjil dan membingungkan dapat kita lihat dengan mata kasar kita berlaku akibat pembangunan hartanah di kawasan sekitar kita. Kenapa perkara sebegini dibiarkan berleluasa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Menggalakkan orang berhutang lebih tinggi

beban hutang cashback

'Cashback' sudah menjadi satu tawaran promosi yang sering digunakan oleh pemaju, dalam memasarkan produk kediaman mereka. Ramai yang faham, fahamlah apa sebenarnya cashback itu. 

Yang tak faham pasti mengandaikan cashback itu adalah jumlah diskaun atau rebat yang akan diterima semula dalam tangan, Sedangkan apa yang akan diubah serta dinaikkan adalah jumlah pinjaman yang bakal dikenakan kepada pelanggan.

Sama ada digelarkan rebat, cashback atau insentif, wang tunai yang akan 'dipulangkan' semula kepada anda itu sebenarnya hanyalah wang pinjaman anda sendiri. Anda sebenarnya membeli kediaman anda itu pada harga lebih tinggi daripada sepatutnya.

Namun ramai yang menyedapkan hati sendiri dengan mengatakan cashback ini sangat bermanfaat, boleh digunakan untuk membeli perabot, kelengkapan rumah, ubah suai dan sebagainya. Tak kisahlah...tetapi tolonglah sedar, itu duit anda. 

Anda bakal berdepan kadar faedah lebih kerana amaun pinjaman anda perlu diletak pada kadar lebih tinggi.

2. Kewujudan banyak 'apartment servis'

kawasan padat tanpa infrastruktur lengkap

Apartment servis atau service apartment merupakan satu trend yang semakin popular di kalangan pemaju hartanah Malaysia. Kenapa? 

Ini kerana dengan mewujudkan hartanah jenis ini, pemaju boleh memajukan kawasan-kawasan berstatus komersial dalam dua model, hartanah kediaman dan hartanah komersial serentak dalam satu-satu lot atau bidang tanah.

Nampak menarik untuk didiami kan? Tetapi sebelum anda beli sebuah service apartment, kenalpasti dulu statusnya. Ini kerana kawasan kediaman yang dibina di atas lot komersial berkemungkinan besar mempunyai tarif cukai mengikut lot komersial, bukan lot kediaman.

Sudah ada ramai pemilik unit jenis ini berhadapan masalah tarif elektrik dan air lebih tinggi, kadar cukai mengikut kategori komersial dan banyak lagi beban kewangan tambahan; semuanya disebabkan status kediaman mereka yang didirikan di atas tanah untuk kegunaan lain.

3. Penjenamaan ala-ala barat

nama kawasan kediaman ala inggeris

Nak termuntah penulis menyebut nama-nama kawasan perumahan baru yang dibangunkan di Malaysia, khususnya di sekitar Lembah Klang lokasi penulis mencari rezeki.

Kami yakin orang barat sendiri aneh kenapa istilah-istilah asli mereka digunakan secara meluas di Malaysia. 'Residences, Heights, Green, Hills' malahan ada yang menggunakan nama 'Eastwood' membanjiri negara kita. Entah bila pelakon Clint Eeastwood hadir ke sini merasmikannya, entahlah.

Kami tidak tahu kenapa pihak berkuasa, khususnya kerajaan Malaysia membenarkan trend sebegini menular sebegitu teruk sehingga menenggelamkan bahasa kebangsaan kita. 

Antara nama unik dalam Bahasa Melayu yang masih kedengaran seperti Setia Alam Sari, Bandar Sri Sendayan, Warisan Tropika, Nusa Impian dan sebagainya, membuktikan dari segi komersial, nama yang formal dalam bahasa kebangsaan kita tak lah selekeh mana.

4. Trend kediaman supra-tinggi

kediaman tinggi berkapasiti tinggi

Dulu kondominium, setakat 21 tingkat, 22 tingkat dah dikira tinggi. Sekarang 42 tingkat dah dikira biasa. 

Bukan setakat jumlah tingkatnya banyak, setiap lantai atau tingkat pula mempunyai belasan atau puluhan unit dan setiap kawasan perumahan pula mempunyai beberapa blok berbeza.

Jika dikira, entah berapa ratus unit mampu ditempatkan dalam setiap blok yang ada. Padat sungguh bilangannya, tetapi pintu masuk ada satu saja. 

Persoalannya, dengan kewujudan masalah hartanah tidak terjual yang tinggi (overhang properties) di negara kita, kenapakah kawasan-kawasan kediaman berkepadatan tinggi ala Hong Kong ini semakin mekar dibangunkan bak cendawan lepas hujan?

Pemilik-pemilik kediaman rendah di kawasan sekitar akhirnya berhadapan penurunan kualiti hidup, akibat kemunculan projek-projek baru ini. Yang dulunya senang nak sidai baju, kini matahari terlindung ditutupi 42 tingkat bangunan besar.

Apa yang sangat membingungkan penulis berkenaan isu ini...

5. Mana pergi infrastrukturnya? 

jalan keluar kawasan perumahan tak sesuai dengan populasi

Bila dah dipersetujui untuk dibuka kawasan kediaman jenis tinggi yang padat, kenalah dipastikan infrastruktur kawasan sekitar mampu menampung penambahan penduduk yang ada. Namun biasanya jelas ini tidak berlaku.

Jalan masuk ke kawasan itu masih sama, mengakibatkan jalan raya sesak setiap kali tiba waktu puncak kerana orang ramai berebut nak ke destinasi masing-masing.

Tidak ada perancangan kawasan hijau atau taman simpanan, untuk dijadikan kawasan rekreasi atau taman awam kelihatan.

Yang ada hanyalah taman permainan kanak-kanak cukup syarat, adalah buaian dua dengan jongkang-jongket asal boleh. Tidak ada akses mudah kepada penduduk untuk mengambil pengangkutan awam dan perhentian bas tidak ditambah. 

Lagi satu yang menyedihkan kalau anda dah terbeli apartment servis, kawasan lot kedai di bahagian bawah kediaman anda akhirnya terbiar saja kerana perniagaan di sana tidak menguntungkan mana-mana peniaga. 

Kawasan jalan raya penuh kereta diparkir, kerana parkir dalaman tak mencukupi. Nak keluar rumah pun menyumpah-nyumpah kita kerana terpaksa bergerak perlahan dalam laluan yang sempit macam neraka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)