Sedang enak menonton filem di saluran TV, cuaca di luar mula menampakkan perubahan. Awan gelap mula kelihatan dan tak lama selepas itu, titis-titis hujan mula mencurah menimpa bumi.
Siaran anda yang sebelum itu cerah, jelas dan terang, terjejas sehinggakan gambar dan audionya mula tidak selari. Skrin sekejap gelap, sekejap elok. Hujan semakin lebat, televisyen anda tidak lagi menayangkan apa bentuk imej sekalipun - gelap semuanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Tinggal anda ditemani notis 'gangguan siaran' yang akan muncul setiap kali hujan tiba. Anda mula rasa meradang, kalau boleh nak tamatkan langganan anda saat itu juga. Sabar. Fahamkan dulu kenapa situasi sebegitu kerap berlaku.
Fahamkan berkenaan gelombang berfrekuensi tinggi
Semua pengguna TV satelit khasnya TV satelit yang berbayar pasti kerapkali berhadapan dengan situasi yang digambarkan di atas kan?
Apa yang anda hadapi bukanlah satu masalah kurangnya kualiti perkhidmatan disebabkan ketidak cekapan syarikat pengendali TV di Malaysia. Fenomena sebegitu berlaku di mana-mana saja kerana ia berkait kitaran alam semulajadi.
Berbeza dengan siaran TV pancaran biasa, siaran TV satelit menggunakan gelombang berfrekuensi tinggi dipancar dalam jalur Ku Band melalui frekuensi 10.7-12.75Ghz. Bagi siaran TV satelit di negara kita, wujud jarak frekuensi yang sudah ditetapkan khas hanya untuk kegunaan ini sahaja.
Ku Band atau 'Jalur Ku' digunakan bagi membolehkan gelombang yang lebih 'kuat' dipancar dari satelit, terus kepada penerima yakni piring.
Ekoran daripada kekuatan gelombang tadi, saiz piring boleh diselaraskan untuk bersaiz yang lebih kecil kerana gelombang yang tinggi lebih mudah 'ditangkap' penerima berbanding gelombang lebih perlahan.
Lebih lemah gelombang siaran, lebih besar saiz piring atau antenna penerima diperlukan. Lebih kuat gelombang, lebih kecil saiz piring yang diperlukan untuk mendapatkannya. Jelas?
Kenapa TV siaran biasa tidak terganggu dengan hujan pula?
Jika anda masih ingat dengan sistem siaran televisyen lama kita atau terbaru MyFreeView, siaran percuma kita menggunakan gelombang talaan VHF atau UHF.
Kedua-dua jenis frekuensi itu adalah jenis gelombang berfrekuensi rendah yang dipancar pada julat frekuensi 52Mhz ke 600Mhz, berkelajuan perlahan berbanding siaran Ku Band.
Kelebihan utama dua gelombang perlahan ini berbanding gelombang Ku adalah sifatnya yang kalis perubahan cuaca. Disebabkan oleh pancarannya yang lebih perlahan, perubahan cuaca tidak memberikan kesan besar terhadap kualiti siaran.
Walau bagaimanapun, kita memerlukan penerima/piring/antenna yang lebih besar saiz fizikalnya bagi mendapatkan siaran yang benar-benar optimum. Siaran Ku Band pula, sangat dipengaruhi perubahan cuaca khasnya apabila berkait dengan kelembapan udara.
Kadang-kadang tak hujan pun boleh tak ada siaran. Kenapa itu berlaku? Siaran yang menggunakan Ku Band, sangat dipengaruhi faktor fenomena yang diistilahkan sebagai 'rain fade' atau gangguan hujan, kepada kualiti siaran yang ada.
Semakin lebat hujan, semakin tinggi kadar 'rain fade' akan berlaku.
Apa yang berlaku ketika 'rain fade' adalah tindak balas antara gelombang satelit dengan air, yang dinamakan sebagai 'penyebaran Mie' atau 'Mie scattering', terjadi kepada gelombang berfrekuensi melebihi 10Ghz ketika melalui titis-titis air.
Ku Band mempunyai frekuensi melebihi 10.7Ghz. Apabila siaran dipancar dan perlu melepasi titis-titis air, kadar kekuatan isyarat berfrekuensi lebih 10Ghz akan mula lemah.
Pergerakan gelombang tidak lagi berlaku dengan optimum disebabkan gelombang yang dipancar mula diserap air, menyebabkan gangguan atau penurunan kualiti gelombang - seterusnya menjejaskan kualiti gambar atau siaran yang kita terima.
Situasi ini memang tak boleh nak dielakkan kerana wujud hubungkait ketara di antara kelajuan gelombang yang dipancarkan serta kadar serapan air yang akan berlaku, apabila sesuatu gelombang bergerak dalam frekuensi tertentu.
Fenomena ini adalah satu lumrah alam semulajadi.
Kenapa pembekal TV satelit tak guna gelombang lebih perlahan?
Kami sudah menjelaskan kenapa siaran TV satelit kita semasa hujan boleh terganggu.
Pasti ada di antara anda yang mempersoalkan kenapa TV satelit tak menggunakan siaran dalam bentuk gelombang frekuensi rendah yang terbukti kalis cuaca.
Tujuan utama siaran dijalankan dalam Ku Band, adalah disebabkan sifat gelombang itu yang komunikasinya berlangsung secara fokus dari segi talaannya.
Penggunaan Ku Band membolehkan saiz penerima atau 'piring' tidak terlalu besar diperlukan, disebabkan ketepatan kadar hantar/terima gelombang berfrekuensi tinggi tadi yang mampu 'ditembak' dengan sangat efisien asalkan piring ditalakan dengan tepat.
Ku Band juga memudahkan pelbagai isyarat atau siaran yang berbeza di hantar dari satu satelit yang sama kepada berjuta-juta penerima walaupun jarak pemasangan piring yang diguna pengguna, tidak jauh antara satu sama lain.
Gelombang ini juga mampu meminimakan ralat berlaku seandainya ada satelit lain, berdekatan pemancarnya yang turut sama menghantar isyarat komunikasi.
Dalam erti kata lain Ku Band digunakan kerana gelombangnya mampu mensasarkan titik penerima dengan betul dan penerimanya pula hanya akan menerima gelombang yang sepatutnya mereka terima.
Masih ingat tak lama dulu bagaimana penduduk Perlis dan Kedah serta Johor, mampu mendapatkan saluran TV Thailand dan Singapura hanya dengan menggunakan antenna dalam rumah?
Penggunaan Ku Band mengehadkan 'masalah' ini, membolehkan hanya pengguna sasaran menerima siaran yang dipancarkan.
Apa solusi kepada masalah hilang siaran?
Kita yang duduk di negara beriklim tropika terdedah kepada taburan hujan yang tinggi.
Hubungan di antara taburan hujan dan kualiti isyarat satelit telah diperjelaskan dengan terperinci dalam kajian 3 tahun, oleh penyelidik dari Universiti Sains Malaysia. Kami sertakan pautannya di bawah.
Kajian itu merekodkan kadar taburan hujan di kawasan sekitar universiti tersebut dan hubungkaitnya dengan kualiti isyarat yang mampu diterima satelit eksperimen yang digunakan kumpulan penyelidik itu.
Sekiranya anda masih mempersoalkan kenapa masalah siaran terganggu ini belum ditemui jawapannya, kami harap artikel ini menjawab kritikan anda. Satu-satunya solusi yang ada disebabkan keterbatasan teknologi adalah dengan memperbesarkan saiz penerima 'piring' yang biasanya dipasang di luar rumah kita.
Walaupun begitu dengan membesarkan saiz piring, tidak dijamin masalah 'rain fade' akan benar-benar diatasi kerana masalah hilang siaran ini berlaku sebelum siaran sampai di piring lagi.
Lagipun, tak boleh penulis bayangkan seandainya piring satelit lebih besar dipasangkan. Buruk taman perumahan kita khasnya di kawasan perumahan bertingkat, ditutupi piring satelit besar.
Solusi lebih mudah adalah bertukar terus kepada siaran TV berasaskan protokol internet (IPTV). Walau bagaimanapun isunya pula ketika waktu internet down, TV pun kebiasaannya terputuslah siarannya.
Sekiranya dengan sistem IPTV pun masih berlaku putus siaran waktu hujan, memang eloklah ditamatkan terus anda punya langganan.
Rujukan
Rainfall effects on Ku-band satellite link design in rainy tropical climate