Dalam salah satu artikel kami berkaitan Point Nemo, timbul banyak persoalan daripada pembaca berkenaan isu satelit, orbit bumi dan ruang angkasa. Pelbagai persoalan timbul berkenaan pergerakan satelit dan mengapa masalah 'sampah angkasa' yang kami utarakan sebenarnya boleh menjadi masalah besar sekiranya tidak diawasi, satu hari nanti.
Dalam artikel kali ini, kami cuba menjawab satu persoalan yang banyak diajukan oleh pembaca dalam ruangan komen artikel tersebut. Adakah satelit wujud dan bagaimana satelit bergerak di angkasa?
BESARKAN TEKS A- A+
BENARKAH SATELIT WUJUD?
Tahukah anda, satelit memang boleh dilihat pada waktu-waktu tertentu?
Waktu yang paling senang untuk kita melihat sendiri kewujudan satelit menggunakan teleskop, adalah pada waktu sebelum matahari terbit dan selepas matahari terbenam. Pada ketika ini, kedudukan matahari akan membuatkan satelit membalikkan cahaya matahari dan lebih memudahkan kita mengenalpasti kedudukan satelit-satelit ini.
Bagi mereka yang mempunyai teleskop dan berminat hendak melihat detik di mana International Space Station berada pada kedudukan paling hampir dengan kita, anda boleh merujuk pada laman web ini dan semak kedudukan anda. Anda akan dapat mengetahui tarikh dan waktu paling optimum untuk anda menunggu ISS mengorbit paling hampir dengan kita.
Bagi Kuala Lumpur, ISS akan kelihatan di langit kita pada 15 Februari 2018, selama 1 minit.
ADAKAH SATELIT BERGERAK?
Untuk memahami pergerakan satelit, kita perlu memahami fakta paling penting yang menjadikan sesuatu itu layak digelar satelit - pergerakannya terbatas menurut garisan orbit. Sebagai contoh, bulan sentiasa berada pada garisan orbitnya kerana ditarik oleh kuasa graviti bumi. Tanpa wujudnya kesan graviti bumi pada bulan, bulan itu sendiri akan terkeluar daripada garisan orbitnya dan akan 'terapung' jauh dari bumi.
Satelit digelarkan satelit, kerana satelit dikawal oleh tarikan graviti bumi untuk memastikan kedudukan satelit bergerak mengikut garis orbit yang ditetapkan, berdasarkan ketinggian satelit itu diletakkan.
Kesemua satelit, daripada sekecil-kecil satelit komunimasi, stesen angkasa ISS hinggalah objek sebesar-besar bulan - semuanya ditakrif sebagai satelit kerana pergerakannya bergantung kepada tarikan graviti bumi. Oleh kerana itulah walaupun tidak menyerupai satelit yang biasa kita lihat, ISS juga sebenarnya layak digelar sebuah satelit.
JENIS-JENIS ORBIT YANG ADA
Topik ini terlalu panjang untuk dirungkaikan satu per satu berikutan wujud pelbagai jenis orbit bumi yang ada dan digunakan untuk pelbagai jenis tujuan. Secara amnya, wujud 3 jenis kategori utama orbit bumi.
Orbit bumi rendah atau Low Earth Orbit (LEO), Orbit Bumi Sederhana atau Medium Earth Orbit dan Orbit Bumi Tinggi atau High Earth Orbit (HEO).
Sputnik-1, satelit buatan manusia pertama, ISS, bekas stesen angkasa Russia MIR dan juga teleskop angkasa Hubble semuanya beroperasi pada kedudukan orbit LEO. Ini bermakna jaraknya dengan lautan adalah kurang 2000 kilometer dari aras laut. Satelit yang berada pada kedudukan LEO mampu mengorbit bumi beberapa kali dalam sehari. Sebagai contoh; ISS berpusing mengelilingi bumi setiap hari sebanyak 16 kali.
Sistem navigasi yang kerap kali kita gunakan menerusi Waze dan Google Maps pula menggunakan satelit komunikasi GPS yang diletakkan pada jarak 20,350 km dari paras laut. Pada ketinggian ini, satelit GPS mampu mengorbit bumi setiap 12 jam atau 2 kali sehari, sambil membantu kita mendapatkan kedudukan lokasi dengan lebih mudah. Pada ketinggian ini, satelit GPS sudah berada dalam kawasan MEO.
Satelit yang berfungsi pada kedudukan paling jauh dari bumi adalah satelit telekomunikasi, seperti satelit negara kita MEASAT yang terletak pada kedudukan 35,786 km dari paras laut.
Pada jarak ini, sesebuah satelit akan mengorbit bumi mengikut tempoh yang sama dengan putaran bumi. Ini akan menyebabkan kedudukan satelit itu dengan bumi konsisten setiap masa, mengunci kedudukan satelit dengan kawasan liputannya lalu membolehkan isyarat komunikasi dihantar terus kepada negara yang berada dalam lingkungan litupan satelit itu. Pergerakan selari satelit dengan bumi yang sama ini dinamakan sebagai 'geosynchronous orbit.'
Jarak 35,786 km ini pula digunakan kerana itu adalah titik sempadan di antara orbit MEO dengan orbit HEO.
Apabila sesuatu satelit terkeluar melebihi daripada jarak ini, pusingan orbitnya akan menjadi tidak sekata lagi dengan putaran bumi dan tempoh yang diperlukan satelit itu untuk mengorbit bumi dalam satu pusing lengkap, menjadi lebih lama.
GRAVEYARD ORBIT
Semua satelit buatan manusia mempunyai jangka hayat tertentu. Menggunakan MEASAT sebagai contoh - MEASAT-1 mempunyai jangka hayat 12 tahun sebelum perlu digantikan.
Apa yang berlaku pada MEASAT-1 selepas tamat tempoh bertugas?
Bagi satelit yang terletak tidak jauh dari bumi dalam lingkungan LEO, kebanyakannya akan dijatuhkan dalam jatuhan kawalan, dibiarkan hancur semasa jatuhan akibat tekanan dan bakinya dipastikan jatuh di Point Nemo seperti yang kami sudah sebutkan dalam artikel sebelum ini.
Bagi satelit komunikasi seperti MEASAT yang berada jauh di luar sana pula, selepas tamat tempoh perkhidmatan, satelit-satelit ini akan dikawal buat kali terakhir sebelum dihantar masuk ke ruangan orbit 300 km lebih tinggi dari kedudukan asal, yang digelarkan 'geo graveyard belt.'
Nama saintifiknya 'supersynchronous orbit.'
Pada ketinggian 36,100 km dari aras laut, satelit-satelit ini 'dipencenkan' dan dibiarkan terapung mengikut orbit yang lebih perlahan berbanding putaran bumi. Di situlah semua satelit yang tidak lagi digunakan dikumpulkan untuk sama-sama terapung mengelilingi bumi. Walaupun begitu, penyelidik masih belum dapat menjawab apa risiko dan kesan jangka panjangnya tindakan ini terhadap bumi satu hari nanti.
Graveyard orbit ini dpilih kerana secara teknikalnya, lebih mudah untuk satelit ditolak lebih jauh pada ketinggian itu berbanding dengan menariknya semula masuk ke bumi. Sudah menjadi amalan biasa kesemua negara untuk menghantar satelit-satelit tua ini ke situ dan MEASAT-1, satelit pertama kita yang setia berkhidmat untuk kita semua, kini sedang berehat di 'graveyard orbit' selepas selesai memberikan kita televisyen satelit selama beberapa tahun.
DARI BUMI KE ANGKASA TURUN KE BUMI
Satelit MEASAT paling muda, Measat-3B telah pun dilancarkan pada tahun 2014 dari French Guiana, dengan jangka hayat 15 tahun untuk meluaskan lagi rangkaian televisyen dan komunikasi di sekitar Malaysia, Indonesia, India dan Australia. Dikatakan rangkaian 3 buah satelit MEASAT ketika ini - MEASAT 3, 3A dan 3B mampu membantu mengelakkan masalah siaran hilang ketika hujan yang kerap dihadapi pelanggan televisyen berbayar Astro.
Roket yang menghantar MEASAT-3B hanya mengambil masa 48 minit untuk sampai ke orbitnya. Sebagai perbandingan, roket yang membawa angkasawan ke bulan mengambil masa lebih 2 setengah hari untuk tiba, dengan bulan mempunyai jarak purata 384,400 km dari bumi.
Sekiranya kita mahu keluar dari bumi, kita perlu mencapai kelajuan 28,324 km/j bagi mempunyai daya yang cukup untuk melawan kuasa graviti. Untuk benar-benar keluar daripada pengaruh graviti bumi dan sampai ke bulan (ataupun planet lain!) kita memerlukan roket yang mampu mencapai kelajuan 40,233 km/j. Pada kelajuan itu, seseorang angkasawan akan terbang pada jarak 11 kilometer setiap satu saat. Kelajuan itu dinamakan escape velocity.
Begitulah serba sedikit kisah tentang satelit dan orbit yang kami dapat kongsikan hari ini. Sekiranya anda mempunyai masalah berkaitan siaran Astro yang tergendala ketika hujan, kami harap anda bersabar dengan dugaan.