Seringkali kedengaran rungutan pengguna di negara kita ini, berkenaan kos yang perlu dibayar rakyat Malaysia untuk mendapatkan bekalan internet jalur lebar.
Tak dapat dinafikan, kos yang kita bayar agak tinggi jika dibandingkan dengan purata pendapatan rakyat Malaysia setiap bulan namun dalam masa yang sama, kita juga sedang dalam proses penambah baikan yang ketara - jika dibandingkan situasi 10 tahun lalu dengan sekarang.
BESARKAN TEKS A- A+
Persoalannya di sini, benarkah harga pakej internet jalur lebar di Malaysia tinggi? Mari kita bandingkan harga yang kita bayar dengan kos yang dikenakan ke atas pengguna lain, di negara berjiran kita.
1. Malaysia
Untuk memudahkan perbandingan, penulis akan hanya menggunakan satu saja pengendali internet jalur lebar (ISP) di setiap negara dan di negara kita, sebut pasal internet pasti akan kita teringat Unifi.
Unifi merupakan ISP yang menjadi standard asas kepada semua perkhidmatan internet jalur lebar, disebabkan oleh kedudukannya sebagai pengendali utama dan terbesar di negara kita.
Standard perbandingan yang akan kami gunakan adalah perkhidmatan mestilah berasaskan jalur lebar serta menggunakan sambungan fiber tanpa ada had kepada penggunaan data.
Pakej paling murah bagi pelanggan jalur lebar Unifi adalah pakej RM89 yang memberikan akses tanpa had pada kelajuan 30mb/s.
2. Singapura
Singapura mempunyai dua ISP besar iaitu Singtel dan Starhub yang saling bersaing harga, menjadikan tawaran yang diberikan kepada pengguna agak berbaloi untuk dilanggani.
Kedua-duanya menawarkan perkhidmatan ultra pantas, dengan tawaran kelajuan 1Gb/s (1000Mb/s) pada harga rendah.
Singtel menawarkan kelajuan tersebut tanpa had dengan bayaran bulanan SGD49.90 atau sekitar RM151.90, diwajibkan keperluan kontrak selama 2 tahun. Sementara itu Starhub pula lebih murah - memberikan pelanggan kelajuan sama pada harga SGD39.90 atau RM121.90 dengan kontrak durasi serupa.
Jika 1Gb/s tak memadai untuk anda (!!) Starhub turut menawarkan pakej kelajuan 2Gb/s pada harga SGD62.90 atau RM191.40. Fuuhh!
3. Thailand
Thailand mempunyai pelbagai jenis perkhidmatan ISP disebabkan oleh sistem yang diamalkan kerajaan Thailand, membenarkan ISP saling bersaing antara satu sama lain dalam pasaran terbuka.
Di antara kesemua ISP yang ada di Thailand, True Online Internet merupakan pendahulu pasaran, mempunyai jumlah langgan terbesar berbanding pesaing-pesaingnya dan pakejnya lebih gila berbanding pakej di Singapura!
Pakej paling murah yang ditawarkan oleh True Online adalah pakej 200Mb/s tanpa had pada harga RM80.50.
Sekiranya dibandingkan dengan Singapura, pakej 1Gb/s di Thailand jauh lebih menarik kerana hanya dengan bayaran bulanan RM175 sebulan, anda akan mendapat sambungan 1GB/s tanpa had, saluran televisyen lengkap dengan langgan sukan serta sambungan hospot sebanyak 30Gb sebulan.
4. Filipina
Filipina mempunyai beberapa alternatif dalam melanggan ISP, tetapi untuk perbandingan kali ini - kami pilih PLDT atau Philippine Long Distance Telephone Company yang mirip dengan apa yang kita ada di sini, menerusi TM.
Persamaan itu juga tidak berhenti di situ saja. PLDT turut menawarkan pakej internet jalur lebar yang agak mirip dengan Unifi di Malaysia, dengan pilihan antara 50Mb, 100Mb, 150Mb dan yang terlaju 300Mb/s.
Untuk melanggan pakej 50Mb/s sebulan, pengguna PLDT perlu membayar yuran sebanyak P2499 atau RM211.15. Dengan harga tersebut, pengguna juga akan menerima saluran TV digital 55 beresolusi SD serta 8 saluran beresolusi HD dan talian telefon tetap.
5. Indonesia
Indonesia mempunyai pelbagai jenis tawaran ISP dengan IndiHome yang ditawarkan oleh Telkom Indonesia, menjadi antara pilihan utama pengguna di sana - disokong oleh kekukuhan syarikat tersebut yang dimiliki kerajaan mereka sendiri.
IndiHome ketika ini masih menawarkan pakej 10Mb/s untuk pengguna pada harga IDR300,000 atau sekitar RM86.80 sebagai harga bulanan. Untuk pakej tersebut, setiap pengguna akan mendapat 300 minit percuma panggilan serta ruangan simpanan dalam awan sebanyak 16Gb.
Untuk mendapatkan kelajuan 100Mb/s, pengguna IndiHome perlu membayar harga IDR885,000 atau RM256.10.
Pakej paling pantas kelolaan Indihome adalah pakej 300Mb/s yang setakat ini hanya ditawarkan di beberapa negeri tertentu.
Rumusannya
Jika dibandingkan dengan Singapura dan Thailand, memang kita agak jauh ke belakang dari segi kelajuan dan harga yang perlu kita tanggung. Namun jika dibandingkan dengan FIlipina dan Indonesia, kita layak dikatakan sedikit baik berbanding tawaran mereka.
Kami letakkan informasi yang ada untuk anda dalam bentuk jadual, bagi memudahkan anda memahami di mana letaknya kita dari segi pakej internet bajet.
Negara | Kelajuan | Harga |
Malaysia | 30Mb/s | RM89 |
Singapura | 1Gb/s | RM121 |
Thailand | 200Mb/s | RM80.50 |
Filipina | 50Mb/s | RM211 |
Indonesia | 10Mb/s | RM86 |