Dalam masyarakat kita sebut tentang benda haram mesti akan berkisar kepada 3 isu utama : arak, daging khinzir atau isu belaan anjing.

Bagaimanapun sedar tak sedar, wujud juga beberapa situasi lain yang sebenarnya turut boleh menjadi haram statusnya disebabkan oleh sikap kita sendiri sebagai yang menggunakannya.

Lebih malang, realitinya ramai dah menyedari apa yang mereka lakukan salah - tetapi tekad memilih untuk tidak mengendahkannya. Produk yang penulis maksudkan dalam artikel ini adalah peranti Android-Box yang baru saja diwartakan fatwa berkenaannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perasaan marah terhadap pembekal TV satelit berbayar

astro hilang siaran aduan

Tidak dapat dinafikan di negara kita, kurangnya persaingan di antara syarikat-syarikat pembekal saluran TV satelit berbayar sedikit sebanyak mewujudkan monopoli dalam pasaran sebelum muncul era TV berasaskan internet.

Dulu pengguna negara kita yang berkemampuan, masih mempunyai pilihan berbeza dalam melanggan TV satelit. Namun setelah penutupan beberapa syarikat, pasaran negara kita akhirnya dikuasai satu gergasi saluran televisyen yang cukup popular tanpa perlu kami sebutkan namanya.

Syarikat ini kekal menjadi antara penyelia kandungan rancangan tempatan dan antarabangsa yang penulis harus katakan antara terbaik di negara kita, walaupun ada pesaing lain yang muncul secara 'internet protocol TV' atau IPTV cuba bersaing dengan gergasi ini.

Monopoli gergasi ini dalam pasaran menyebabkan caj yang dikenakan kepada pengguna ditingkatkan tahun demi tahun, dikatakan berpunca daripada kos pembelian kandungan yang semakin meningkat serta keperluan untuk menambah baik sistem sedia ada bagi memberikan pelanggan perkhidmatan yang jauh lebih padu.

Dulu penulis bil bulanan baru RM86. Bila dah naik ke RM110 ke atas terpaksalah penulis ucapkan selamat tinggal kepada siaran bola sepak langsung di rumah.

Sentimen berang dengan caj tinggi dan monopoli

Rungutan orang ramai berkenaan caj yang meningkat semakin membarah, memulakan sentimen benci di kalangan pengguna terhadap syarikat gergasi ini,

Situasi ini mengakibatkan orang ramai mula mencari alternatif berbeza, tak kisahlah secara sah atau cara salah dalam mendapatkan saluran - kebiasaannya juga adalah saluran yang disediakan syarikat gergasi disebabkan oleh popularitinya.

Di sinilah kotak-kotak peranti Android-Box mula menjadi rebutan, kerana kewujudan banyak pengendali luar entah siapa-siapa yang menyediakan 'saluran-saluran milik syarikat gergasi tadi dengan kos langganan murah walaupun jelas siaran itu dicuri.

Tawaran ini mengakibatkan ramai orang yang sudah diulit sentimen marah tidak lagi mempedulikan halal haram saluran yang mereka beli, menghalalkan semua tindakan mereka hanya kerana mereka merasakan 'monopoli syarikat gergasi itu tak adil!'

Anda tergolong dalam golongan sedemikian ke?

Haram tetap haram

usb stick pendrive kartun kanak kanak malaysia

1001 alasan digunakan segelintir masyarakat kita untuk membenarkan tindakan ini.

Kami juga pernah berhadapan kumpulan sebegini apabila kami mempertikaikan tindakan ibu bapa membelikan anak-anak mereka Pendrive/USB stickmengandungi bermacam jenis animasi kartun keluaran tempatan, dijual pencuri tidak bertanggung jawab.

Alasan orang kita mudah saja bunyinya; "mahal, satu DVD hanya ada beberapa episod, kalau dah tak mampu nak buat macam mana, buat apa bayar kalau takat ulang-ulang cerita sama" - semua itu menjadi hujah yang merasakan mereka ada hak untuk membeli peranti Android Box atau USB Stick ini bagi memenuhi kepuasan nafsu hiburan mereka.

Tetapi penulis harus tekankan di sini - benda haram tetap haram, yang harus boleh berubah jadi haram.

Hukum asal membeli Android-Box pada awal adalah harus. Tidak ada masalah untuk anda membeli peranti Android Box sekiranya anda menggunakannya untuk mengakses saluran yang sah.

Bagaimanapun lebih ramai di kalangan ahli masyarakat kita kebiasaannya menggunakan Android Box ini secara meluas untuk mendapatkan saluran-saluran syarikat TV satelit berbayar tadi secara haram disebabkan yuran lebih murah.

Mungkin ramai beranggapan berbeza dengan arak atau daging babi kita tidak mampu 'merasai' keharamannya kerana ia adalah sesuatu yang kita tonton. Namun anda tak boleh nak nafikan barang curi adalah barang curi walaupun produk itu berbentuk digital sekalipun.

Carilah alternatif yang halal

alternatif kepada astro

Tidak ada sesiapa suka barangan milik mereka dicuri.

Begitulah juga dengan pengendali syarikat TV satelit berbayar serta ribuan pengkarya yang menjual titik peluh mereka kepada syarikat TV satelit tadi untuk ditayangkan. Kesedaran masyarakat kita walaupun semakin hari semakin baik berkenaan status harta intelek, masih banyak ruang perlu diperbaiki.

Alasan bahawa caj mahal yang dikenakan membenarkan harta-harta intelek ini diseleweng - adalah hujah yang terlalu kebudak-budakan serta berakal singkat.

Lagipun ketika ini pengguna di Malaysia sudah mempunyai alternatif berbeza yang cukup mesra kos bagi pengguna berpoket nipis.

Penyedia kandungan antarabangsa banyak menawarkan pakej bermula pada harga belasan ringgit sebulan untuk anda mengakses jutaan kandungan media dari dalam dan luar negara secara sah melalui peranti Android-Box anda - asalkan anda ada saluran internet yang memadai dari segi kelajuan dan kapasiti muat turun.

Lebih ramai rakyat Malaysia melanggan saluran-saluran alternatif yang ada, lebih tinggi tekanan pasaran dan persaingan dirasai diharap membolehkan monopoli yang dinikmati syarikat TV satelit gergasi itu, terlerai.

Bukankah situasi tersebut yang kita harapkan berlaku?

Kita memang layak rasa berang sekiranya pakej langganan kita kerap terganggu siarannya semasa hujan namun itu tetap tidak melayakkan kita mencuri saluran, dengan alasan keluarga kita dapat melakukan penjimatan wang ringgit secara bulanan.

Rujukan

Hukum membeli dan menggunakan Android-Box




Hakcipta iluminasi.com (2017)