Ura-ura cadangan untuk menukarkan kejohanan sukan bola sepak Piala Dunia kepada kejohanan 2 tahun sekali, masih dalam proses perbincangan pihak terlibat.
Cadangan inididasari berdasarkan kadar keuntungan yang lebih kerap boleh dijana, berikutan kekerapan penganjuran yang meningkat seandainya cadangan ini dapat dilaksanakan.
Piala Dunia dikenali sebagai kejohanan yang berlangsung setiap 4 tahun sekali, dengan hak penganjuran sebagai tuan rumah berpindah-pindah di antara benua. Kenapa Piala Dunia berlangsung setiap 4 tahun?
BESARKAN TEKS A- A+
Olimpik sebagai asas penganjuran
Sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia, temasya Sukan Olimpik moden sudah jauh lebih awal pada tahun 1896. Salah satu acara yang cuba dipertandingkan dalam temasya Olimpik adalah bola sepak.
Kisahnya, dalam era tersebut disebabkan kekangan logistik dan fasiliti yang boleh digunapakai, perlawanan bola sepak biasanya terhad dianjurkan dalam kejohanan tempatan, dikendalikan oleh persatuan bola sepak peringkat daerah atau negeri.
Jarang masyarakat ketika itu dapat menyaksikan perlawanan di antara negara berlangsung kecuali bagi negara-negara berjiran; seperti perlawanan di antara England dengan Scotland yang berlangsung pada tahun 1872.
Perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan itu, menjadi perlawanan pertama dalam sejarah masyarakat dunia menampilkan dua pasukan yang mewakili dua negara berentap atas padang.
Sambutan penyokong serta masyarakat antarabangsa yang mahu melihat pasukan-pasukan negara berentap antara satu sama lain, membolehkan bola sepak dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik 1900 di Paris, Perancis sebagai acara persembahan.
Penubuhan FIFA
Bagi memperkemaskan perkembangan sukan agar berkembang ke satu hala tuju yang konkrit, usaha menubuhkan sebuah badan khusus bagi menyelia sukan bola sepak dijalankan.
Beberapa negara Eropah mula berbincang sesama mereka bagi menubuhkan satu jawatankuasa khas memantau perjalanan dan susun atur sukan itu pada tahun 1904, dengan penyertaan negara seperti Perancis, Belgium, Denmark, Belanda, Sweden dan Switzerland.
Sepanyol pula ketika itu tiada wakil negara, diwakili pentadbir kelab Madrid Football Club (kini Real Madrid).
Mereka bersepakat mewujudkan kerjasama menubuhkan Fédération internationale de Football Association, diolah menggunakan bahasa Perancis dengan singkatannya FIFA, oleh kerana Perancis menawarkan diri menjadi tuan rumah persidangan kali pertama.
Itulah sebabnya nama FIFA secara rasmi terus ditulis dalam bahasa Perancis sehingga sekarang. Mesti ramai tak perasan kan nama penuh FIFA sebenarnya bukan dalam bahasa Inggeris?
Berikutan kejayaan penubuhan sebuah badan khusus mentadbir perjalanan sukan bola sepak, FIFA mula diberikan peluang memainkan peranan menyokong penganjuran acara bola sepak bermula dalam beberapa kejohanan lain pada tahun 1906 dan sukan Olimpik bermula dengan temasya 1908.
Terpaksa bergantung dengan kehendak sukan Olimpik
Bersetuju untuk menjalinkan kerjasama, Jawatankuasa Olimpik dan FIFA memulakan hubungan pertama secara rasmi dengan penganjuran acara bola sepak Olimpik 1908 di London.
Bagaimanapun kebanyakan perlawanan berkesudahan dengan keputusan yang agak berat sebelah, berikutan kualiti pemain yang tidak seimbang antara negara yang menghantar pasukan. Punca utamanya adalah disebabkan syarat ketat Olimpik memerlukan semua peserta atau pemain yang bertanding dalam temasya, haruslah bergelar seorang atlet amatur.
Syarat ini menjadi kekangan utama untuk negara-negara yang pada ketika itu sudah mula membentuk skuad bola sepak sendiri, dibarisi pemain-pemain berstatus profesional.
Situasi pemain amatur ini kekal dalam beberapa siri kejohanan Olimpik, menyebabkan FIFA mula merasakan kemajuan sukan bola sepak tidak boleh berlaku selagi mana mereka masih menuruti syarat penganjuran Olimpik.
Status amatur yang wajib diikuti dikhuatiri FIFA, hanya mengakibatkan banyak pasukan gagal menyediakan pasukan yang benar-benar mantap beraksi. Faktor inilah yang menjadi punca kenapa kepimpinan tertinggi FIFA mengorak langkah mahu mewujudkan satu kejohanan berbeza di bawah payung sendiri.
Temasya Olimpik 1928 di Belanda menyaksikan bola sepak naik menjadi acara paling popular dengan menyaksikan Uruguay menewaskan Argentina untuk memenangi pingat emas.
Menyedari itulah detik terbaik untuk mereka berpecah dari Olimpik, FIFA memulakan pelan kejohanan bola sepak antara negara dengan sasaran kejohanan pertama akan dimulakan dalam tahun 1930.
Berpecah daripada Olimpik
Bagi memastikan peminat sukan bola sepak tidak terkeliru dengan kewujudan satu kejohanan bola sepak baru, FIFA mengumumkan bola sepak tidak akan dipertandingkan dalam tahun 1932.
Hanya satu kejohanan, iaitu kejohanan Piala Dunia 1930 diambil kira sebagai kejohanan bola sepak rasmi yang disahkan FIFA. Walaupun sudah berpisah, FIFA tetap menghormati jasa baik Olimpik yang sudah memberikan mereka platform pendedahan dan tapak mula.
Demi memastikan penjadualan kedua-dua buah kejohanan tidak terganggu, FIFA bersetuju untuk menganjurkan Piala Dunia setiap 4 tahun sekali sama seperti Olimpik, dengan penganjurannya berlangsung dalam tahun ke 2 selepas setiap kali Olimpik berlangsung.
Penganjuran Piala Dunia 1930 bertempat di Uruguay, menyaksikan tuan rumah mengulangi pencapaian mereka di Olimpik 1928 dengan membenam Argentina 4-2, melayakkan Uruguay bergelar pemenang pertama Piala Dunia.
Kejohanan yang disertai 13 buah negara majoritinya oleh pasukan dari benua Amerika Selatan disebabkan oleh kesukaran pasukan dari Eropah untuk hadir, tetap diterima baik membuktikan Piala Dunia boleh berkembang lebih besar.
Penganjuran dalam zaman moden
Jika dinilai dalam aspek sekarang, 4 tahun jarak di antara setiap kejohanan Piala Dunia sebenarnya harus dilihat wajar dikekalkan.
Ini kerana skop penganjuran perlu ditanggung negara tuan rumah bagi mempersiapkan fasiliti yang diperlukan, jauh lebih besar berbanding Piala Dunia edisi terdahulu.
Seandainya dinilai pada aspek pemain dan pasukan, dalam zaman sekarang pun sudah wujud kejohanan bersifat dalam benua seperti Piala Asia, Piala Eropah dan Piala Negara-Negara Afrika yang mengisi kalendar kejohanan, dianjur berselang 2 tahun dengan tarikh Piala Dunia.
Adakah pertukaran penganjuran Piala Dunia ke 2 tahun sekali lebih baik atau hanya akan mengakibatkan lambakan kejohanan sehingga Piala Dunia hilang prestijnya?
Ada kemungkinan situasi sebegitu akan berlaku, tetapi kami yakin potensi penganjuran yang membawa kepada janaan untung komersial sudah jadi satu kepentingan yang tidak lagi dapat dihiraukan.
Bila agaknya Piala Dunia akan berlangsung 2 tahun sekali? Mungkin 10 tahun akan datang, apa yang sedang hangat dibincangkan akan kelihatan hasilnya secara lebih terang.