Ramai peminat bola sepak gemar menonton bola sepak, bukan hanya kerana kualiti perlawanan yang dipersembahkan malahan drama yang berlaku di atas padang.
Walaupun drama-drama atas padang menjadi penyedap cerita kepada perlawanan bola sepak yang sedang berlangsung, sudah banyak kali dibuktikan sukan bola sepak bukanlah sukan yang mempunyai peraturan bersifat adil. Ada banyak kelompongan dan kelemahan dalam undang-undang bola sepak yang akhirnya menyebabkan pemain serta peminat kecewa dengan apa yang telah berlaku di atas padang.
BESARKAN TEKS A- A+
Sistem pengadil ke empat dan sistem VAR yang telah diperkenalkan banyak membantu mengatasi kelemahan pengadilan atas padang namun harus kita akui, masih banyak kelemahan yang ada. Ini adalah lima kelemahan dalam sistem peraturan bola sepak yang penulis rasakan perlu diolah, ditambah baik atau dimansuhkan sama sekali.
1. Hukuman rehat atas kesalahan
Dalam sukan hoki ais, sekiranya mana-mana pemain didapati melanggar peraturan mereka boleh diminta untuk keluar dan duduk di satu ruangan khas, sementara pasukan mereka perlu beraksi kurang seorang pemain. Selepas 2 minit, pemain itu akan dibenarkan beraksi kembali menyertai perlawanan.
Ada banyak situasi dalam sukan bola sepak di mana hukuman serupa lebih sesuai dikenakan, seperti tindakan kekasaran yang tidak disengajakan atau protes berlebihan terhadap keputusan pengadil. Pemain boleh diminta keluar sementara 5 minit misalnya, menyebabkan pasukannya terpaksa bermain 10 orang tanpa menjejaskan kualiti perlawanan yang berlangsung.
Sudah banyak perlawanan dirosakkan oleh keputusan pengadil yang perlu membuang pemain hanya disebabkan isu teknikal, jadi pengenalan 'waktu keluar sementara' ini pasti boleh menyeimbangkan perlawanan dengan lebih adil - tidak menghukum pasukan secara berlebihan.
2. Kad kuning untuk meraikan jaringan
Dalam banyak temubual dengan pemain bola sepak bertaraf dunia, satu persamaan yang kerap kali mereka sebutkan berkait dengan perasaan yang datang setiap kali menjaringkan gol. Ramai pemain mengaku mereka hilang kawalan diri, berada dalam keadaan euforia apatah lagi menjaringkan gol dalam perlawanan yang penting.
Salah satu kesalahan meraikan jaringan yang dikenakan kad kuning adalah membuka baju semasa sambutan. Sudah menjadi satu acara simbolik pemain menyertakan mesej di bawah baju mereka untuk ditayangkan kepada orang ramai dan malangnya tindakan itu seakan tidak disenangi pihak FIFA. Pada penulis, biarkanlah pemain gembira dengan cara mereka sendiri. Membuka baju secara sengaja atau untuk menayangkan mesej merupakan sesuatu yang unik dalam sukan bola sepak. Tindakan ini tidak sepatutnya dihukum - melainkan mesej buruk dipaparkan.
3. Taktik lakonan pemain bertaraf Oscar
Pemain lejen Rivaldo terkenal dengan gelecekannya, namun dia juga terkenal sebagai pelakon bertaraf bintang. Dalam perlawanan Piala Dunia 2002 antara Brazil dan Turki, Rivaldo bertindak menipu pengadil berlakon cedera seperti disepak dengan bola dimukanya oleh Hakan Unsal, dari Turki.
Walaupun rakaman perlawanan menunjukkan bola hanya terkena pada kaki Rivaldo, lakonan hebat itu menyebabkan Hakan Unsal dibuang padang memudahkan tugas Brazil bertahan, ketika itu mendahului 2-1 hasil gol jaringan Rivaldo sendiri.
Dengan teknologi VAR yang ada, lebih mudah untuk pengadil mengenal pasti lakonan pemain. Pengenalan hukuman yang lebih keras seperti gantung 1 atau 3 perlawanan akibat simulasi, sudah pasti akan menyebabkan pemain tidak mudah lagi berpura-pura dalam mencapai kemenangan.
Sekiranya pemain didapati berlakon hanya selepas perlawanan berakhir, berikan mereka kad kuning dalam rekod.
4. Kekasaran pemain terakhir membawa kepada kad merah
Dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di antara Barcelona dan Arsenal pada tahun 2006, penjaga gol Arsenal iaitu Jens Lehmann dibuang padang selepas mengasari pemain Barcelona sebagai pemain terakhir di barisan pasukannya. Ini menyebabkan perlawanan akhir yang pada ketika itu menemukan dua pasukan paling baik dari segi corak permainan menjadi perlawanan di mana satu pasukan menyerang lawan satu pasukan bertahan semata-mata.
Situasi yang berlaku kerap kali berulang disebabkan peraturan serupa. Ada masanya pasukan yang menjadi mangsa keadaan hilang seorang pemain dan dikenakan sepakan penalti - jadi dah dikira berganda-ganda hukumannya. Sudahlah perlu bermain 10 orang dan ketinggalan satu gol.
Peraturan ini perlu dimansuhkan oleh FIFA daripada mana-mana kejohanan, diubah kepada layangan kad kuning dan sepakan penalti, tidak kira di mana pun kekasaran dilakukan oleh pemain terakhir barisan pertahanan.
5. Cari kaedah baru ganti penentuan sepakan penalti
Walaupun sepakan penalti mempunyai unsur yang sangat dramatik bagi penonton, kemenangan dalam perlawanan akhir yang diputuskan melalui tendangan penalti agak kurang 'berprestij' berbanding menang dalam situasi perlawanan berlangsung seperti biasa.
Ini kerana sepakan penalti bergantung sepenuhnya pada nasib. Lihat saja bagaimana sepakan penalti ditentukan - balingan syiling bagi menentukan siapa yang akan menyepak dahulu dan di bahagian gol mana mereka akan menyepak.
Banyak pasukan dengan sengaja berlatih mengambil sepakan penalti, setiap kali ada perlawanan penting berlangsung. Hasilnya dapat dilihat, apabila perlawanan tiba ke masa tambahan, banyak pasukan mengubah taktik mengharapkan agar perlawanan dilanjutkan ke penentuan kotak penalti.
Apa solusinya? Setakat ini beberapa kaedah yang telah dicuba gagal dikekalkan, seperti peraturan jaringan emas. Idea untuk menterbalikkan senario, melakukan sepakan penalti dulu sebelum masa tambahan merupakan antara idea yang pernah disuarakan. Pemenang sepakan penalti yang sudah selesai dilangsungkan akan dianggap sebagai pemenang, sekiranya perlawanan masa tambahan berakhir dengan keputusan seri.
Jadi nak tak nak, perlawanan masa tambahan akan berlangsung dengan lebih rancak.