Oleh pada 05 Nov 2022 kategori

Kejohanan Piala Dunia merupakan temasya bola sepak peringkat tertinggi, mempertandingkan kesemua pasukan kebangsaan terbaik.

Menjadi pemain yang terpilih mewakili negara masih menjadi satu penghormatan untuk setiap pemain, walaupun imbuhannya tidaklah menyamai gaji bermain untuk kelab. Rasa cinta dan bangga beraksi demi membawa pulang status juara dunia ke negara sendiri, sukar dinilai harganya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Majoriti pemain hanya berkesempatan menyertai kejohanan terbesar ini beberapa kali, sebagai wakil sebuah negara. Hanya ada 4 pemain dalam sejarah dunia, terpilih sebagai pemain untuk 2 negara mereka. Siapa mereka?

1. Luis Felipe Monti (Argentina dan Itali)

luis monti piala dunia dua negara

Anak kelahiran Buenos Aries, Argentina pada tanggal 15 Mei 1901, Luis Felipe Monti memulakan karier bola sepak pada usia 20 tahun bersama kelab amatur tempatan Huracan. 

Penampilan baik bersama beberapa kelab membolehkan Monti dipanggil untuk mula menyertai skuad kebangsaan Argentina pada tahun 1924, memenangi kejohanan Bola Sepak Amerika Selatan (kini Copa America) pada tahun 1927 dan pingat emas sukan Olimpik 1928.

Penampilan beliau dalam Piala Dunia edisi pertama di Uruguay, menyaksikan Argentina mara ke perlawanan akhir dengan Monti menjadi antara tonggak utama; sebelum akur dengan kekuatan tuan rumah, tewas 4-2 dalam perlawanan penentuan juara.

Prestasi yang cemerlang membolehkan Monti berhijrah ke Itali bersama kelab Juventus.

Apa yang mengejutkan orang ramai, perpindahan itu juga menyaksikan Monti menukarkan kewarganegaraan, diberikan keistimewaan oleh kerajaan Itali kerana etniknya yang dikatakan berasal dari masyarakat disana. 

Beberapa pihak mendakwa usaha menarik ramai pemain handalan dari luar ke Itali, adalah disebabkan keinginan kerajaan Itali ketika itu yang dipimpin Benito Mussolini ingin menjadikan Itali kuasa bola sepak dunia seberapa segera. 

Monti menjadi tonggak kelab Juventus menjuarai liga 4 musim berturut-turut, dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Itali sebagai perancang tengah utama - mengepalai pertahanan Itali menjulang Piala Dunia bagi tahun 1934.

Pencapaian ini melayakkan Monti bergelar juara dunia bersama negara angkatnya, memadam kekecewaan sebelum itu bersama negara kelahirannya.

Secara keseluruhan Monti bermain  16 kali bersama Argentina menjaringkan 5 gol dan 18 kali bersama Itali, menjaringkan 1 gol; dalam peranan yang lebih memerlukan dia  bermain sebagai pemain pertahanan.

2. Robert Prosinecki (Yugoslavia dan Croatia)

robert prosinecki wakil dua negara

Bekas bintang kelab Real Madrid dan Barcelona, Robert Prosinecki lahir pada 12 Januari 1969 di Jerman Barat sebelum kembali ke SR Croatia (nama Croatia di bawah Kesatuan Soviet) - ketika itu hanyalah salah satu wilayah di bawah jajahan kerajaan Yugoslavia.

Di sana Prosinecki mula dilatih dalam sukan bola sepak, menyertai sebuah kelab tempatan sebelum berjaya menyertai kelab besar Dinamo Zagreb. Kelab itu memberikan beliau peluang melakukan penampilan sulung pada usia 17 tahun.

Bagaimanapun pengurusan kelab gagal melihat potensi Prosinecki, membenarkan Prosinecki berpindah dan kelab Red Star Belgrade memberikan beliau peluang. Di sinilah reputasi Prosinecki mula dikenali sebagai antara pemain Yugoslavia paling berpotensi besar, menjadi tonggak utama pasukan bawah 20 tahun negara.

Pada tahun 1987, Prosinecki membintangi kesebelasan utama skuad remaja kebangsaan Yugoslavia, memenangi kejohanan Piala Dunia Belia 1990 di Chile serta bergelar pemain terbaik kejohanan tersebut. Pencapaian peribadi itu diulanginya sekali lagi dalam Piala Dunia 1990 selepas bergelar pemain muda terbaik.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, secara automatik Prosinecki menyarung jersi berbeza bergelar pemain kebangsaan Croatia.

Bersama negara 'baru', Croatia yang ketika itu membariskan generasi emas bola sepak mereka seperti Davor Suker, Zvonimir Boban dan Prosinecki sendiri berjaya mendapat tempat ketiga kejohanan Piala Dunia 1998, selepas menewaskan salah satu pasukan pilihan Belanda 2-1.

Kekecewaan gagal layak ke akhir selepas tewas kepada Perancis di peringkat separuh akhir, sekurang-kurangnya terubat kerana Prosinecki menjaringkan salah satu gol perlawanan tersebut. Dalam 15 penampilan bersama Yugoslavia, Prosinecki menjaringkan 4 gol tetapi memperbaiki rekod peribadi bersama Croatia, dengan 10 gol dalam 49 penampilan.

3. Robert Jarni (Yugoslavia dan Croatia)

robert jarni dua negara

Ketika ini Robert Jani merupakan jurulatih pasukan belia kebangsaan Croatia. Satu ketika dulu, dia merupakan antara nama besar bola sepak Croatia dalam era generasi emas mereka.

Dikenali sebagai antara pemain pertahanan kiri terbaik dunia semasa era kegemilangannya, prestasi baik Jarni melayakkan dia menabur khidmat bersama kelab gergasi Eropah seperti Juventus dan Real Madrid.

Bezanya dengan Prosinecki, Jarni memulakan karier kebangsaan bersama Croatia lebih awal sejak tahun 1990 ketika Croatia bergelut dengan tuntutan kemerdekaan, melayakkan dia bergelar pemain paling banyak caps antarabangsa negaranya - sehinggalah rekodnya dipintas pada tahun 2006.

Seperti Prosinecki dan rakan segenerasinya, Jarni memulakan penglibatan bersama skuad kebangsaan belia Yugoslavia dan terpilih bersama skuad utama pada tahun 1990. Dia bermain sebanyak 7 kali termasuklah menyertai kesemua perlawanan Croatia dalam kejohanan Piala Dunia 1990 di Itali.

Pada penghujung tahun sama, Jarni mula bermain dalam perlawanan bersama pasukan Croatia, sehingga menyertai kejohanan Piala Eropah 1996, Piala Dunia 1998 dan juga edisi 2002. Hantaran Jarni yang tepat disudahkan Prosinecki bagi menewaskan Belanda, membolehkan Croatia menang pingat gangsa edisi 1998.

Kekecewaan dirasai seluruh pemain Croatia selepas prestasi hambar di edisi 2002, membuatkan Jarni menarik diri daripada terus menyertai skuad kebangsaan.

Dia menamatkan karier bersama skuad Croatia dengan penampilan 80 kali, hanya menjaringkan 1 gol tapi banyak menyumbang hantaran yang menghasilkan gol. 

4. Ferenc Puskas (Hungary dan Sepanyol)

ferenc puskas dua negara

Bagi peminat sukan bola sepak, nama Ferenc Puskas rasanya sudah tidak perlu diperkenalkan.

Seorang legenda bola sepak yang terkenal, nama beliau kini diabadikan dalam Anugerah Puskas FIFA, yang mengiktiraf gol-gol terbaik dijaringkan sepanjang kalendar sukan bola sepak secara tahunan.

Uniknya perjalanan karier Puskas berbeza berbanding nama lain yang kami senaraikan di atas. Hanya dia saja sehingga kini - secara teknikannya tersenarai bermain dalam 3 negara berbeza disebabkan pergolakan politik masyarakat.

Anak kelahiran Hungary yang lahir di Budapest pada 1 April 1927, bola sepak sebati dalam jiwa Puskas ekoran minat ayahnya yang juga seorang pemain bola sepak.

Ketika Hungary masih bergelar kuasa bola sepak dunia - Puskas menjadi watak utamanya sejak tahun 1945, melakukan penampilan pertama bersama Hungary pada 20 Ogos 1945. Puskas bergelar juara Olimpik tahun 1952 selepas menewaskan Yugoslavia.

Prestasi baik dan reputasi tinggi meletakkan Hungary sebagai antara pasukan pilihan kejohanan Piala Dunia 1954, mudah membenam satu lagi pasukan pilihan Jerman Barat 8-3 dalam perlawanan kumpulan. 

Namun malang bagi Hungary selepas mendominasi perlawanan peringkat kumpulan dan kalah mati, Jerman Barat kembali membalas dendam dalam perlawanan akhir dengan menewaskan Hungary 3-2. 

Ketika beraksi bersama Hungary dalam kejohanan Piala Eropah 1956, negara beliau dicerobohi tentera Soviet yang mengambil alih tampuk pemerintahan. Puskas bersama pemain Hungary yang lain memilih untuk tidak kembali ke negara mereka, berkelana ke sekitar Eropah berusaha mendapatkan status penduduk.

Puskas ke Sepanyol tetapi hanya layak mendapat status penduduk tetap pada tahun 1962. Bagaimanapun nasib menyebelahi Puskas. Dia sempat melakukan penampilan bersama Sepanyol dalam 4 perlawanan pada usia 35 tahun, menyertai Piala Dunia edisi tahun tersebut yang berlangsung di Chile. 

Kelayakan sebagai penduduk tetap turut membolehkan Puskas menyertai pasukan kebangsaan negara autonomi Madrid, yang ditubuhkan khas bagi menyertai perlawanan persahabatan dengan wilayah-wilayah autonomi lain di Sepanyol.

Dia menyertai satu perlawanan menentang pasukan Andalusia pada bulan Oktober 1963, menjaringkan dua gol dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 4-0.




Hakcipta iluminasi.com (2017)