Penyertaan negara kita ke temasya sukan Olimpik setiap empat tahun sekali, membangkitkan semangat kenegaraan di kalangan peminat sukan tempatan.

Sukan Olimpik menemukan atlet-atlet terbaik seluruh dunia beraksi dan hanya yang terbaik di kalangan jaguh sukan negara mereka, berentap di sana. Perjuangan atlet kita untuk meraih pingat emas Olimpik pertama juga belum bertemu kejayaan, dengan hanya pingat perak menjadi pencapaian terbaik ahli sukan tempatan. Harap penantian kita berakhir di Perancis kali ini!

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kita seronok menyaksikan atlet sukan beraksi, tetapi pernah tak anda terfikir - adakah wajib penyertaan di Olimpik untuk Malaysia, memerlukan kita menghantar kontinjen atau terpulanglah, ikut suka kita nak sertai atau tak?

Siapa tahu apa jawapannya?

Semua negara wajib atau tak menyertai Olimpik?

majlis olimpik antarabangsa

Untuk menjawab soalan di atas - setiap negara anggota Majlis Kesatuan Olimpik Antarabangsa (IOC) wajib menghantar kontinjen untuk bertanding sekurang-kurangnya dalam satu acara.

Cuma anehnya, undang-undang ini tidak didedahkan kepada umum sebaliknya hanya mula diperkatakan selepas tindakan kerajaan Korea Utara mengumumkan keengganan menyertai temasya sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun atas alasan Covid-19, mengakibatkan negara itu tidak dibenarkan menyertai Olimpik musim sejuk 2022.

Kewajipan ini jarang diperkatakan, kerana kita jarang mendengar sesebuah negara dihukum kerana enggan menghantar kontinjen. Malahan tindakan banyak negara memboikot kejohanan sebelum ini juga langsung tidak menyaksikan sebarang bentuk hukuman dikenakan.

Sedangkan di dalam perlembagaan Majlis Olimpik Antarabangsa sudah dinyatakan

The NOCs have the exclusive authority for the representation of their respective countries at the Olympic Games and at the regional, continental or world multi sports competitions patronised by the IOC. In addition, each NOC is obliged to participate in the Games of the Olympiad by sending athletes.

Terjemahannya : memang ada klausa mewajibkan setiap negara anggota IOC menghantar atlet ke temasya yang berlangsung. Dalam kes Korea Utara, ekoran keputusan kerajaan Korea Utara menghalang atlet bertanding, untuk bersikap adil IOC tetap membenarkan atlet yang layak bertanding dalam kategori bebas dan hadir bukan di bawah sepanduk Korea Utara.

Pengenalan undang-undang baru 1999

gerakan boikot beijing olimpik

Klausa kewajipan yang kami petik di atas direkodkan diperkenalkan pada tahun 1999 selepas satu kes melibatkan korupsi berkait perebutan penganjuran temasya Olimpik.

Pada tahun 1998, berlaku perebutan luar biasa hak menjadi tuan rumah sehinggakan jawatan kuasa pemilihan yang terlibat didapati telah menerima sogokan wang bagi menetukan siapa yang layak. Ekoran skandal besar-besaran itu bagi memperbaiki reputasi IOC, sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan dianggotai pakar dalam bidang profesional, bidang sukan, atlet dan juga ahli politik yang dipilih dari serata dunia.

Tugas jawatankuasa ini adalah untuk memperkenalkan saranan dan cadangan baru bagi memastikan skandal sama tidak berulang. Selain itu, jawatankuasa tersebut juga dibenar mengemukakan idea bagi menambahbaik pengurusan IOC serta kualiti penganjuran temasya Olimpik sendiri.

Dalam banyak-banyak perubahan yang dicadangkan dan dipersetujui melalui undian, klausa untuk mewajibkan penyertaan negara anggota hadir ke temasya dimasukkan dan berkuatkuasa pada tahun 1999 melalui perlembagaan yang diwartakan.

Dua lagi perubahan yang diperkenalkan dalam pindaan ini adalah dengan mewajibkan penyertaan negara anggota untuk temasya sukan Olimpik musim panas dan pindaan kedua, setiap negara anggota haruslah diberikan kuota sekurang-kurangnya 6 orang atlet yang dianggap secara automatik layak bertanding dalam acara pilihan negara itu.

Kewajipan diperkenalkan bagi membendung campurtangan ahli politik

majlis olimpik malaysia

Usaha untuk mewajibkan penyertaan negara anggota IOC ke temasya yang dilangsungkan sebenarnya sudah mula berjalan sejak tahun 1984 berikutan kempen boikot besar-besaran sukan Olimpik 1980 yang turut melibatkan negara kita.

Bagaimanapun tidak ada persetujuan dapat dicapai dalam siri perbincangan yang dijalankan. IOC sejak beberapa dekad lalu melihat pengaruh politik terlalu memberikan kesan kepada kelancaran penganjuran temasya yang dilangsungkan.

Banyak kes atlet yang layak gagal menyertai pertandingan hanya kerana desakan kuasa politik negara atlet tersebut, yang memilih untuk meminggir atau memboikot temasya disebabkan kepentingan politik.

Bagi IOC, majlis Olimpik setiap negara seperti Majlis Olimpik Malaysia atau MOM haruslah bergerak bebas daripada campurtangan kerajaan dan tidak terikat dengan keputusan kerajaan yang mahu menyekat penyertaan, walaupun di atas kertas atlet itu mewakili negaranya sendiri.

Dengan memperkenalkan syarat wajib hadir ini, IOC mengharapkan syarat wajib ini mampu meredakan trend sesetengah kerajaan dunia yang gemar menjadikan temasya Olimpik sebagai buah catur perang strategi politik mereka yang kerap menghalang penyertaan atlet sehingga akhirnya merencatkan pertandingan.

Selepas pengenalan peraturan ini, mana-mana negara anggota yang enggan memberikan kerjasama untuk sekurang-kurangnya menghantar satu orang atlet bertanding dilihat sebagai melanggar peraturan tersebut.

Jadi negara tersebut akan didenda tidak dibenarkan menyertai kejohanan Olimpik yang dilangsungkan seterusnya. Bayangkan kalau Malaysia kena denda, 8 tahun jugalah kita kena menunggu untuk tengok atlet kita kembali beraksi di pentas dunia.

Apa yang jelas, satu perubahan perlu dilakukan bagi mengelakkan temasya Olimpik terus menjadi medan geopolitik kerajaan-kerajaan dunia saling bersaing sesama mereka.

Yang jadi mangsa selalunya atlet-atlet yang telah bersusah payah berusaha, berlatih untuk bertanding di peringkat tertinggi dunia. Usia ahli sukan dipuncak pula bukannya lama. Impian terpaksa dimatikan hanya kerana kemelut politik jadi angkara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)