Boleh dikatakan hampir semua orang tahu tentang bola sepak. Sebelum ini, kami pernah berkongsi satu artikel mengenai perbezaan istilah football dan soccer. Kali ini, kami ingin kongsikan 14 fakta pelik dan menarik yang anda mungkin tak tahu tentang bola sepak dari seluruh dunia:
1. Asal-usul bola sepak
Bola sepak berasal dari China sejak tahun 476 sebelum Masihi. Ketika zaman Dinasti Han, permainan Tsu Chu dimain menggunakan sebiji bola yang diperbuat daripada kulit dan diisi dengan bulu dan rambut. Bola perlu disepak ke dalam jaring yang dipasang pada batang buluh. Sekitar 500 tahun kemudian, orang Jepun pula mula mengasaskan permainan Kemari yang masih dimain sehingga ke hari ini. Kemari berbeza dengan Tsu Chu kerana tidak bersifat kompetitif, sebaliknya pemain hanya berdiri dalam satu bulatan sambil cuba melontarkan bola tanpa jatuh ke tanah.
BESARKAN TEKS A- A+
2. Sukan paling popular
Bola sepak merupakan sukan yang paling popular, paling banyak dimainkan dan perlawanan yang paling banyak disaksikan di seluruh dunia. Seramai lebih empat bilion penonton menyaksikan Piala Dunia di kaca televisyen.
3. Kejohanan bola sepak terbesar
Kejohanan bola sepak yang terbesar mencatatkan lebih 5,098 pasukan yang menyertainya. Perlawanan divisi kedua liga tujuh sebelah di Bangkok pada tahun 1999 itu telah disertai oleh lebih 35,000 orang pemain.
4. Gol paling banyak oleh seorang pemain dalam satu perlawanan
Gol paling banyak dijaringkan oleh seorang pemain ialah sebanyak 16 gol dalam satu perlawanan. Gol-gol itu dijaringkan oleh Stefan "Stanis" Dembicki (Perancis), pemain pasukan Racing Club de Lens pada Disember 1942. Dalam perlawanan itu, pasukannya telah menang dengan jaringan 32-0.
5. Jaringan gol terpantas
Menurut Rekod Dunia Guinness, gol yang terpantas pernah dijaringkan setelah perlawanan bermula adalah seawal 2.8 saat oleh Ricardo Olivera yang bermain untuk pasukan Rio Negro menentang Soreno pada Disember 1998. Sebelum itu, jaringan terpantas dipegang oleh Colin Cowperthwaite dari Britain dengan rekod pantas 3 saat semasa bermain untuk pasukan Barrow menentang Kettering pada tahun 1979.
6. Warna baju penjaga gol
Penjaga gol tidak perlu memakai baju yang berlainan warna dengan pasukannya sehinggalah tahun 1913. Perbezaan warna dan pakaian bagi penjaga gol ini supaya mudah dilihat oleh pengadil apabila dikerumuni pemain bola yang lain. Sebelum tahun 1970, warna baju penjaga gol hanya dihadkan kepada beberapa warna sahaja seperti hijau, biru, merah terang dan putih.
7. Larian seorang pemain bola
Menurut Runner's World, secara purata, seorang pemain bola perlu berlari sejauh 11.27 km dalam setiap perlawanan dalam kejohanan Piala Dunia. Apa yang lebih menarik, pengadil perlawanan perlu berlari lebih banyak daripada jarak itu, iaitu antara 9.7km hingga 13km.
8. Pengaruh bola keranjang
Dr. James Naismith telah mencipta permainan bola keranjang pada tahun 1891. Namun, sukan itu tidak mempunyai bola sendiri sehinggalah tiga tahun kemudian. Pada zaman awal, pemain bola keranjang menggunakan bola sepak yang dilontarkan ke dalam bakul buah pic yang digantung pada kedua-dua hujung gimnasium.
9. Kelab bola sepak pertama
Kelab bola yang pertama yang ditubuhkan ialah Kelab Bola Sheffield. Ia diasaskan pada tahun 1857 oleh Kolonel Nathaniel Cresswick dan Mejar William Priest iaitu dua orang pegawai tentera British. Kelab ini pada mulanya bermain di bawah peraturan Sheffield dan hanya mula menerima peraturan FA secara rasmi pada tahun 1878.
10. Kehebatan pasukan Eropah dalam Piala Dunia
Pasukan negara dari negara Eropah telah berjaya memasuki kesemua pusingan akhir dalam kejohanan Piala Dunia kecuali pada tahun 1930 dan 1950 yang dibolot oleh negara Amerika Selatan.
11. Jaringan gol terbanyak dalam satu perlawanan
Jumlah jaringan paling banyak dihasilkan ialah 149-0 dalam satu perlawanan pada 31 Oktober 2002. Pasukan Stade Olympique de L'emyrne dari Madagascar telah menjaringkan gol sendiri sebagai tanda protes terhadap pengadil yang tidak adil pada perlawanan sebelumnya. Akibat perbuatan itu, jurulatih pasukan itu telah digantung kerja selama tiga tahun dan diharamkan melawat stadium bagi tempoh yang sama.
12. Kecederaan aneh
Celestine Babayaro, pemain Chelsea kelahiran Nigeria telah mengalami kecederaan ketika meraikan gol pertamanya untuk Chelsea pada permainan pra-musim pada tahun 1993, manakala Luigi Riva pula pernah dengan tidak sengaja mematahkan tangan seorang penonton yang sedang bersorak dengan sepakan bolanya yang amat kuat.
13. Rusuhan bola sepak
Pada tahun 1964 di Lima, satu keputusan pengadil telah mengakibatkan rusuhan penonton yang mengorbankan sehingga lebih 300 nyawa dan menyebabkan 500 mangsa yang lain tercedera. Disebabkan kejadian itu, pihak kerajaan telah mengisytiharkan darurat di seluruh Peru.
14. Panahan maut
Pada tahun 1998, satu panahan kilat telah membunuh kesemua 11 anggota pasukan bola. Kejadian itu berlaku di Congo semasa perlawanan di antara kampung Bena Tshadi dan Basangana. Dilaporkan kejadian itu berpunca daripada perbuatan sihir kerana tiada seorang pun pemain daripada pasukan lawan yang tercedera.