Oleh pada 13 Oct 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Zahirah Macwilson

Aktres Zahirah Macwilson menganggap cinta lokasi tidak sewajarnya timbul di kalangan pelakon dalam produksi penggambaran.

Kata Zahirah, dia tidak percaya pendekatan yang digunakan untuk membina keserasian tersebut kerana pelakon sewajarnya bersifat profesional dalam kerjaya.

Gandingan dalam lakonan harus berakhir tanpa membawa perasaan itu di luar lokasi penggambaran.

"Saya sebenarnya tidak percaya dengan cinta lokasi kerana bagi saya perkara seperti itu tidak perlu ada.

"Sebagai pelakon mereka harus bersikap profesional dalam mencari keserasian dengan pasangan dalam sesebuah drama.

"Bagi saya cukuplah sekadar berkawan di set penggambaran sahaja tetapi tidak perlu sehingga membawa rasa itu sehingga ke luar set," katanya yang dipetik daripada laporan portal Astro Gempak.

Zahirah membuat kenyataan tersebut sewaktu ditemui di sesi FB Live untuk drama bersiri Duda Pujaan Dara yang berlangsung baru-baru ini.

Menyentuh perkembangan kerjaya, Zahira kini sibuk menyiapkan penggambaran drama La Luna arahan sutradara Liza Ismail.

Aktres berusia 22 tahun itu mengharapkan penerimaan baik peminat untuk watak barunya kali ini.

"Saya berharap agar dapat melakukan yang terbaik untuk drama kali ini dan watak yang akan dibawa akan memberi kesan kepada penonton apabila ia disiarkan nanti," ujarnya.

La Luna antara lain membariskan pelakon Azrel Ismail, Afiq Muiz dan Elisya Sandha.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)