Kredit foto: Facebook Zahirah Macwilson & Instagram Zul Ariffin
Gara-gara kontroversi hubungan cinta Kamal Adli dan Emma Maembong, aktor Zul Ariffin akui hubungannya dengan Zahirah Macwilson 'goyang'.
Dedah Zul, bukan sahaja kemelut yang mengaitkan Zahirah sebagai orang ketiga itu menjejaskan hubungan cinta mereka, malah dia tertekan kerana ia berlaku ketika drama dan filem lakonannya sedang melonjak.
"Ketika isu itu tercetus, saya dan Zahirah bergaduh serta tidak bercakap selama tiga minggu. Saya hanya mendapat tahu mengenai isu itu apabila Emma menghubungi saya, bukan daripada mulut Zahirah atau Kamal.
"Saya akui terasa hati tetapi tidak marah. Isu ini sepatutnya dapat dielak tetapi apa boleh buat, semua sudah berlaku.
"Hubungan Kamal dan Emma sudah baik, Zahirah pula apa yang dia dapat?" katanya memetik laporan portal BH Online.
Zul membuat kenyataan tersebut di acara Anugerah Skrin 2017 pada Jumaat.
Tambah aktor berusia 31 tahun itu, dia awalnya berharap Zahirah dapat tampil bersemuka untuk menyelesaikan kemelut tersebut, namun lain pula jadinya bila aktres itu terlalu menurut perasaan hingga timbul pula isu lain.
"Saya kesal kerana isu ini tidak sepatutnya berlaku. Ada rakan di lokasi penggambaran memberitahu Zahirah tertekan apabila kami berselisih faham dan lama tidak berhubung. Apa perlu digaduhkan, hubungi saja saya.
"Perlukah Zahirah menyemarakkan hati dengan melakukan perkara yang boleh menimbulkan isu lain? Kami tiada medium lain untuk memperbaikinya. Dia hanya perlu bersemuka dengan saya.
"Jika Zahirah mahu berubah, lakukan tetapi jika sebaliknya, tidak mengapa. Saya tidak akan menyalahkannya," luahnya.
Ditanya adakah kepercayaan terhadap teman wanitanya itu sudah hilang sejak apa yang berlaku, Zul bagaimanapun enggan mengulas.
"Saya tidak boleh nak menjawab soalan ini. Saya amat terasa," ujarnya beremosi.
Sementara itu, aktor kelahiran Taiping, Perak ini turut menafikan gosip yang mengatakan dia dan Zahirah bakal berkahwin tahun hadapan.
"Tiada apa-apa perancangan ke arah itu. Memang kami pernah berbincang mengenai perkahwinan, tetapi tidak pernah menetapkan tarikhnya.
"Jika mahu bernikah, tidak perlu menunggu hingga tahun depan. Saya hanya mahu ia dijalankan mengikut syarak tanpa perancangan besar," tegasnya.
Sumber berita: BH Online