Jika anda seorang yang meminati haiwan peliharaan, pasti banyak belanja perlu anda keluarkan secara bulanan dalam mendapatkan makanan haiwan peliharaan anda.

Dengan kewujudan pelbagai jenama produk yang mempunyai pelbagai jenis rasa dalam resipinya, makanan haiwan peliharaan merupakan satu industri besar yang memang harus diakui agak mengeringkan poket.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Datang dalam pelbagai jenis perisa, pernahkah anda terfikir adakah haiwan peliharaan anda peduli makanan mereka mempunyai rasa tuna segar atau hidangan makanan laut di dalamnya? Persoalan lebih kelakar untuk dibayangkan; siapa sebenarnya yang menentukan rasa makanan haiwan dalam setiap varian?

Tukang perasa makanan haiwan profesional

pet food tester tukang cuba makanan haiwan profesional

Kita tahu memang ada individu profesional yang tugasnya menggunakan kemahiran dan deria mereka untuk membantu pengeluar produk, dalam menghasilkan rasa produk yang menepati selera tekak pasaran. 

'Food tester' atau tukang rasa makanan mempunyai tanggungjawab mencuba semua variasi produk terlebih dahulu, memberikan maklum balas tentang rasa, tekstur dan penambaikan yang perlu dilakukan sebelum sesuatu produk dikeluarkan secara komersial. 

Begitulah juga dengan makanan haiwan. Jangan ingat makanan haiwan akan diuji kepada haiwan semata-mata, sebaliknya manusia yang menjawat jawatan profesional serupa memainkan peranan dalam menentukan kriteria kelulusan setiap makanan haiwan dalam pasaran.

Ini kerana selain daripada memastikan setiap produk yang dikeluarkan menepati keperluan haiwan dalam aspek tekstur dan diet, pengeluar perlu juga memastikan produk yang terhasil sesuai untuk digunakan oleh tuan punya haiwan. 

Dalam menilai, selain rasa, bau makanan yang dibangunkan juga perlu selesa dengan deria hidu manusia. Bau yang terlalu menusuk, akan menyebabkan tuan punya haiwan pula loya.

Bagi menilai rasa, hendak tak hendak seorang juruuji perlu memakan dan merasa sendiri terlebih dahulu produk yang ada. Disinilah perlunya pandangan manusia. 

Kerjaya sebagai penguji makanan haiwan profesional

pekerjaan tukang rasa makanan haiwan 910

Dalam industri, penguji makanan haiwan boleh dibahagikan kepada dua, melibatkan pihak profesional yang tugasnya menyertai proses pembikinan produk makanan haiwan sejak mula bukan saja sebagai tukang rasa bahkan bertindak sebagai penyelidiknya. 

Kumpulan kedua pula merangkumi individu yang hanya melibatkan diri sebagai peserta ujian, menawarkan khidmat untuk mencuba makanan yang ingin diperkenalkan dalam sesi ujian dan temuramah secara terkawal.

Ujian biasanya dijalankan dengan dua kaedah. Yang pertama, semua peserta ujian perlu menghidu makanan haiwan yang disediakan, memberikan gred dan penilaian kepada setiap satu sampel yang ada. Ini kerana produk yang akan meninggalkan aroma busuk berpanjangan kepada kediaman selepas dibuka, akan menjejaskan jualan produk itu. 

Selepas selesai melakukan penilaian terhadap bau dan aroma, semua peserta akan melakukan ujian rasa. 

Dengan menggunakan sudu, setiap peserta biasanya akan menilai tahap kesedapan menu yang disediakan kerana kajian telah menunjukkan - seandainya manusia merasakan sesuatu yang mereka makan itu boleh tahan rasanya, berkemungkinan besar haiwan peliharaan kita seperti anjing dan kucing pun akan merasai nikmatnya.

Majoriti penguji tidaklah akan menelan makanan yang mereka ambil, cukup sekadar merasa dan mengunyahnya sebelum diluahkan semula. Tak salah kalau nak telan, jika dia nak.

Kenapa makanan haiwan perlu ada perasa? 

safiq rahim model makanan kucing

Perbezaan di antara dua jenis makanan haiwan yang merangkumi kucing atau anjing, ditentukan oleh beberapa faktor. Secara ringkas, kucing mempunyai deria yang lebih mementingkan tekstur yang sesuai dan anjing pula lebih gemar makanan yang mempunyai bau yang kuat. 

Bagaimana pula dengan pelbagai jenis perasa yang ada? Benarkah haiwan peliharaan peduli tentang jenis rasa makanan mereka. Tidak. Ini kerana jika dibandingkan dengan manusia, deria rasa pada lidah anjing dan kucing jauh lebih lemah berbanding kita. 

Dengan kekurangan ini, realitinya apa saja jenis perasa yang anda berikan kepada kucing atau anjing anda - haiwan anda akan makan tanpa banyak soal, asalkan tekstur dan aromanya kena dengan selera mereka.

Jadi kenapa perlu ada perasa pada makanan haiwan yang dijual di pasaraya? 

Semua perasa yang ada tercetak dalam setiap bungkusan atau tin makanan haiwan, dibuat berdasarkan kepada kecenderungan tabiat membeli anda.

Dengan mengadunkan perasa tertentu ke dalam makanan haiwan, keyakinan pembeli terhadap sesuatu produk akan meningkat seterusnya memudahkan penerimaan berlaku.

Kita sebagai bakal pembeli akan cenderung untuk lebih percaya bahawa anjing atau kucing kita gemar perisa-perisa tertentu, sedangkan realitinya seperti yang kami sebutkan - haiwan peliharaan anda tidak kisah pun sama ada makanan mereka datang dalam perisa tuna, makanan laut atau daging bakar.

Jika anda berminat untuk menjadi tukang rasa makanan haiwan, kerjaya ini memang ada peluang besar menanti anda. Menurut laman SalaryExpert, purata gaji tahunan seorang tukang rasa makanan profesional adalah sekitar RM56,045. Harus kami ingatkan, ini tukang rasa secara am bukan menjurus hanya kepada makanan haiwan.

Dalam negara yang mempunyai penyelidikan makanan haiwan lebih besar seperti Amerika Syarikat, purata gaji yang ditawarkan khas untuk menjadi tukang rasa makanan haiwan adalah jauh lebih tinggi sekitar $39,800 atau RM174,500 setahun.

Memang kerjaya ini merupakan antara kerjaya yang peluangnya ada bagi mereka yang berani mencuba. Namun seseorang itu haruslah membuang rasa geli dan takut untuk mencuba sesuatu hidangan yang aneh...Dalam memastikan anjing dan kucing peliharaan yang ada akan gemarkannya. Meow!




Hakcipta iluminasi.com (2017)