Kredit foto: elle.my
Aktres Elfira Loy akur dengan ketentuan takdir yang menetapkan jodohnya dengan penyanyi Sufian Suhaimi tidak panjang.
Elfira yang nekad meneruskan kehidupan, berkata, pertunangan adalah proses mengenali hati budi kedua-dua belah pihak yang mana turut melibatkan ahli keluarga.
“Apa sudah berlaku, biarlah berlalu. Saya reda dengan ketentuan ini.
“Bagi saya, pertunangan adalah proses mengenali bukan hanya antara saya dan Sufian tetapi termasuk ahli keluarga.
“Keputusan diambil untuk menenangkan hati semua pihak. Kami berdua sedia maklum andai ada yang tidak enak kami perlu ambil kira mencari penyelesaian,” katanya kepada Harian Metro.
Elfira mengakui perpisahan dengan Sufian adalah memori terbaik, malah dia tidak menyimpan rasa kesal.
“Apa yang terjadi ini adalah memori terbaik dan tidak perlu saya kesalkan.
“Mengapa perlu menyesal andai sudah tertulis inilah rezeki dan kebahagian yang diaturkan Allah,” katanya penuh positif.
Mengulas dakwaan netizen kononnya ibu beliau dikatakan mengongkong serta punca perpisahan itu, Elfira menegaskan tiada apa lagi yang perlu diperkatakan kerana hanya keluarga kedua-dua belah pihak yang mengetahui isu sebenar.
“Masyarakat tidak tahu kecuali keluarga. Jadi, jangan membuat spekulasi punca perpisahan ini.
“Saya harap orang luar tidak masuk campur. Biarlah rahsia itu hanya diketahui kedua belah keluarga,” katanya sambil mendedahkan hubungannya dengan Sufian masih berjalan dengan baik.
Mereka bertunang pada 6 Oktober lalu dan sepatutnya merancang berkahwin sekitar Mac ini.
Hubungan itu secara rasmi terputus apabila keluarga Elfira memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian di Johor, Ahad lalu.
Sumber berita: Harian Metro