Kematian mengejut komposer terkenal, Johan Nawawi telah meninggalkan impak yang dalam kepada rakan-rakannya dalam industri hiburan. 

Terdahulu, penulis lirik Habsah Hassan, komposer Datuk M.Nasir dan penyanyi Datuk DJ Dave antara yang mengeluarkan kenyataan kesal akan pemergian beliau. 

Pada waktu yang sama pengasas kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida juga antara yang tidak ketinggalan meratapi pemergian arwah. 

Datuk Seri Vida sebelum ini pernah menaja program hiburan, Gegar Vaganza yang turut disertai oleh isteri arwah, Nora Ariffin. Vida mendedahkan beliau sebenarnya dijadualkan untuk bertemu dengan arwah bersama Nora untuk urusan pemberian penajaan umrah pada hari yang sama dengan kematiannya. 

Pendedahan itu dibuat Vida dalam sebuah video 'Live' yang memperlihatkan Vida menangis teresak-esak kerana sayu. 

Menerusi video tersebut, menurut Vida lagi beliau menerima berita pemergian Johan sejurus selepas selesai membaca surah Yassin. 

Ini luahan Vida yang dipetik daripada video tersebut: 

Assalamualaikum semua. Saya baru baca surah yassin. Saya cakap kenapa saya baca yassin hari ini saya rasa lain macam sayu. Saya baru dapat tahu suami Nora meninggal dunia. Saya bagi hadiah pergi umrah kepada Johan dan Nora. Mereka sepatutnya jumpa saya hari ini di Ipoh. Terkejut saya dengar berita ini. Sabar Nora. Semoga Nora kuat. Bukan mudah nak dapat rezeki meninggal hari mulia, hari Jumaat. Tiada seksa dalam kubur. Al-fatihah kepada Johan. Tolong sayang-sayang semua kongsikan Al-fatihah kepada ibu bapa kita, atuk nenek kita yang telah meninggal dunia dan kepada suami Nora juga. 

Vida turut berpesan kepada pengikutnya agar sentiasa memohon keampunan dari Tuhan dan juga melakukan solat sunat Taubat sebelum tidur. 

Video itu menerima lebih 75 ribu tontonan dalam masa tidak sampai sejam dimuatnaik. 

Terdahulu, Allahyarham Johan Nawawi, 52, meninggal dunia secara mengejut kira-kira jam 6.30 pagi pada Jumaat lalu di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya kerana sakit jantung. 

Sumber berita: Mynewshub 




Hakcipta iluminasi.com (2017)