Kredit foto: Instagram Raja Azura
Pengacara Raja Azura mendedahkan penglibatannya dalam pertandingan nyanyian Gegar Vaganza Musim Keempat (GV4) hanyalah kerana ingin memeriahkan lagi industri muzik.
Menjawab persoalan netizen yang mempertikaikan pemilihannya dalam program itu, Raja Azura memberitahu dia mendapat kelayakan kerana pernah muncul dalam lagu Dan Bunga Berguguran menerusi sebuah album terbitan tahun 1998.
"Pengacara sudah, pelakon sudah, penyanyi pun sudah, penyampai radio pun sudah. Akhir sekali peserta sahaja belum. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya, yang tidak sokong pun terima kasih.
"Bagi netizen yang bertanya Kak Engku boleh nyanyi ke tidak, jawab saya bolehlah menyanyi untuk memeriahkan dan menghiburkan industri seni
"Pada yang tidak tahu, lagu dari dalam album yang diterbitkan pada tahun 1998 berjudul Dan Bunga Berguguran. Doakan semua berjalan lancar dan mampu menghiburkan anda semua," dedahnya.
Sementara itu, Raja Azura yang juga dikenali sebagai Kak Engku itu memberitahu dia tidak akan sekali-kali tunduk dengan kritikan negatif yang dilontarkan netizen.
Sebaliknya perkara itu akan menjadi cabaran buatnya untuk terus bertahan dalam pertandingan.
Kredit foto: Instagram Raja Azura
Dalam masa sama, beliau mengakui persaingan hebat antara penyanyi yang bertanding pada musim ini.
"Apa-apa pun tunggu sahaja konsert pertama nanti, kepada semua yang mesej saya dan beri komen negatif dan positif saya ambil ia sebagai cabaran.
"Kalau ada rezeki, adalah, kalau tiada saya nyanyi depan cermin dan dalam bilik air sahaja," katanya berseloroh.
Menerusi GV4, Raja Azura bakal disaingi barisan peserta wanita yang terdiri daripada penyanyi Elyana, Liza Hanim, Aishah, Syura dan Haida.
Manakala penyanyi lelaki yang terlibat ialah Aqasha, Ferhad, Hazami, Lan Kristal, Firman dan Tia Jinbara.
Gegar Vaganza 4 ke udara secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil Kuala Lumpur bermula 29 Oktober ini.
Sumber berita: Mstar