Cakap sahaja Gunung Everest, pastinya ramai tahu dimanakah lokasinya. Popularitinya sebagai gunung altitud tertinggi dunia menyebabkan ramai pendaki hebat dari seluruh dunia cuba untuk menawan puncak gunung ini pada setiap tahun.

Dari segi kedudukan geografi, gunung ini terletak di banjaran Himalaya atau lebih tepat lagi di kawasan persempadanan antara Nepal dan Tibet. Secara umum, terdapat dua laluan utama untuk sampai ke puncak iaitu daripada arah timur selatan (Nepal) dan dari arah Utara (Tibet/China).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sesetengah pihak mendakwa pendakian dari Nepal lebih mudah. Namun, setiap jalan menjanjikan cabaran yang berbeza dan setiap pendaki tetap perlu menghadapi pelbagai cabaran seperti acute mountain sickness (AMS), frostbite, tekanan oksigen rendah dan pelbagai cabaran lain.

Sebelum nama Everest diberikan, gunung ini dikenali sebagai Chomolungma oleh rakyat tempatan di Tibet dan Sagarmatha oleh orang Nepal. Sementara itu, orang British pula menggelarnya Peak XV.

Cubaan mengukur ketinggian Gunung Everest

daki gunung everest

Sejak lebih 150 tahun lamanya, para saintis cuba untuk mengukur ketinggian sebenar gunung ini. Untuk mendapatkan 1 ketinggian rasmi gunung ini, kerajaan Nepal telah mengarahkan 1 kajian dilakukan. Untuk makluman, rekod ketinggian rasmi Gunung Everest adalah 8,848 meter.

Ketinggian rasmi ini diiktiraf oleh kedua-dua pihak iaitu Nepal dan China. Ianya diperolehi daripada kajian yang dilakukan oleh sepasukan saintis dari India pada tahun 1955. Ketinggian ini turut disahkan oleh pihak China yang turut melakukan kaji selidik mereka sendiri pada tahun 1975.

Pada tahun 2005, China sekali melakukan kaji selidik untuk mengetahui sekiranya terdapat sebarang perubahan pada ketinggian Gunung Everest. Dalam kajian semula ini, mereka telah mendapati ketinggian Gunung Everest adalah 8844.43 meter sekiranya ukuran ketinggian diukur daripada batu di puncak.

Perbezaan ini telah mencetuskan perbalahan antara kedua belah pihak Nepal dan China sama ada ukuran ketinggian Gunung Everest sepatutnya diukur daripada batu (8,844 m, China) atau salji (8,848 m, Nepal).

Sehinggalah pada tahun 2010 apabila keduanya telah mencapai persetujuan bahawa ketinggian Gunung Everest secara rasmi direkodkan pada 8,848 meter dan pihak Nepal pada masa sama mengiktiraf hasil kaji selidik China yang mendakwa ketinggian batu di puncak Gunung Everest adalah 8,844 meter.

Siapakah sebenarnya George Everest?

sejarah nama everest

Lahir di Wales pada tahun 1790, George Everest melanjutkan pengajian di sekolah ketenteraan di England sebelum menghabiskan banyak masanya di India. Beliau awalnya bekerja untuk Syarikat India Timur (East India Company) sebelum menyertai pasukan Great Trigonometrical Survey pada tahun 1823.

Beliau bersama organisasi ini selama 25 tahun dan telah bermula daripada bawah sebelum akhirnya dilantik sebagai Ketua Juru Ukur India pada tahun 1830. Setelah bersara, beliau kembali ke Great Britain pada tahun 1843 dan telah diberikan darjah kebesaran "Knight" pada tahun 1861.

Konflik dengan penduduk tempatan

ukuran everest 67

Idea penggunaan nama "Everest" ini bukanlah dicadangkan oleh beliau sendiri sebaliknya dilakukan oleh Andrew Waugh, iaitu penggantinya selepas itu. Menariknya, George Everest sendiri pada mulanya tidak bersetuju dengan penggunaan namanya bagi gunung ini kerana lebih gemar menggunakan nama yang lebih sinonim atau dekat dengan rakyat tempatan,

Menurut Andrew Waugh, dalam tulisannya kepada pihak Royal Geographical Society pada tahun 1856, beliau telah mencadangkan nama Everest kepada gunung ini kerana beliau tidak mengetahui bahawa penduduk tempatan sudahpun memberi nama atau gelaran kepada gunung ini.

Pemberian nama "Everest" ini kepada gunung ini juga telah mencetuskan konflik dengan penduduk tempatan sehinggakan pasukan kaji selidik ini pernah dihalang untuk memasuki Nepal satu ketika dahulu. Selain nama "Everest" ini yang tidak mesra dengan penduduk tempatan, mereka juga menentangnya kerana menghadapi kesukaran menyebutnya.

Setelah beberapa konflik atau masalah yang timblul, akhirnya pada tahun 1865 gunung ini secara rasminya telah dikenali sebagai Gunung Everest. Satu tahun kemudian iaitu pada tahun 1866, George Everest yang ketika itu berumur 76 tahun meninggal dunia. Tidak dapat dipastikan bahawa beliau sendiri tahu bahawa namanya diabadikan pada gunung ini atau tidak sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. Wikipedia
  3. History



Hakcipta iluminasi.com (2017)