Pada 11 Mei 2019, 11 orang sudah dilaporkan meninggal dunia semasa melakukan pendakian puncak tertinggi di dunia, Gunung Everest.
Beberapa orang yang mendaki ada kalanya hanya menyedari di sekeliling mereka terdapat tubuh-tubuh manusia tidak bernyawa apabila matahari kembali bersinar.
Apa saja yang diperkatakan dalam media berkenaan Everest; kematian, kelam-kabut, huru-hara, beratur panjang semuanya benar-benar terjadi bagi mereka yang berada di situ.
BESARKAN TEKS A- A+
Cuaca yang buruk dikeruhkan peningkatan jumlah pendaki, disebabkan kelonggaran kerajaan Nepal.
Malangnya dengan peningkatan itu jugalah menyebabkan ramai pendaki kurang berpengalaman diberikan peluang serupa, sehinggakan ada ketikanya lebih 800 orang serentak dikatakan sedang cuba menguasai Everest.
Adalah menjadi kebiasaan mereka akan perlu melalui satu kawasan di mana mereka perlu melangkahi tubuh seorang pendaki lain; yang kini tidak lagi bernyawa untuk meneruskan perjalanan.
Kesukaran yang susah untuk digambarkan
Bagi yang tidak pernah merasai kesan berada 8,000 meter di atas aras laut - sukar untuk memahami tekanan yang dihadapi daripada segi psikologi dan juga fizikal.
Ketika berada di atas sana ramai mengakui mereka hilang kemampuan untuk berfikir semasa berada dalam keadaan sulit, menyerah kalah mahu berpatah balik.
Apa yang sangat menakutkan, mereka yang sudah berputus asa tidak ada lagi jalan pulang, melainkan meneruskan pendakian kerana barisan panjang manusia di belakang membuatkan cubaan berpatah balik mustahil dilakukan.
Kes kematian pertama yang dilaporkan di Everst melibatkan kumpulan 7 orang pendaki yang meninggal dunia disebabkan salji runtuh.
Berbeza dengan era terdahulu, kebanyakan kes kematian pada zaman sekarang lebih kerap berlaku disebabkan kepenatan melampau, berpunca daripada terlalu ramai pendaki yang ada sepanjang laluan - mengakibatkan ramai pendaki yang sudah tidak lagi berupaya terpaksa juga meneruskan pendakian dalam keadaan terdesak.
Penambahan pendaki yang meninggikan risiko
Beberapa kematian yang telah berlaku beberapa tahun kebelakang mencetuskan perbincangan, berkenaan keperluan kawalan yang lebih ketat oleh pihak kerajaan Nepal memastikan risiko dapat direndahkan.
Tahun 2019 sahaja kerajaan Nepal telah mengeluarkan lebih 381 permit mendaki, disebabkan minat pendaki untuk cuba mendaki Everest dengan pertambahan ketara pendaki dari India dan China.
Disebabkan permintaan besar, banyak syarikat ditubuhkan bagi menguruskan pendaki dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
Dengan pertambahan luar kawal ini - syarat serta peraturan yang dulu ketat kini jadi lebih ringan. Peraturan tegas dalam memastikan pendaki yang benar-benar layak, berpengalaman serta mempunyai ketahanan badan optimum juga diambil lebih ringan demi mengejar keuntungan.
Satu lagi masalah - pendaki-pendaki yang berjaya ke puncak dikatakan terlalu banyak meluangkan masa di puncak, menyebabkan puncak Everest menjadi padat membahayakan nyawa mereka yang seronok meraikan kejayaan.
Meninggal tanpa disempurnakan
Ramai pendaki yang berjaya menyifatkan kecelakaan biasanya berlaku disebabkan oleh kelemahan pendaki sendiri.
Selain daripada membahayakan diri sendiri, mereka juga sebenarnya membahayakan orang lain kerana pendaki-pendaki ini perlu sama-sama beratur dalam meneruskan pendakian mereka.
Atas sebab itulah semakin banyak pihak mula mendesak agar kerajaan Nepal kembali memperketatkan syarat kelayakan, dalam memastikan risiko dapat dikurangkan.
Apatah lagi apabila nasib pendaki yang meninggal dunia di Everest biasanya terpaksa dibiarkan berkubur di situ.
Yang membezakan si mati hanyalah lokasi tapak di mana mereka bersemadi.
Ada yang jatuh tidak ditemui, ada yang duduk di tempat tersorok sebelum meninggal dunia, ada yang malang meninggal di sepanjang laluan, terbiar di situ terpaksa dilangkah tubuhnya yang tidak lagi bernawa.
Tidak ada pihak sanggup menyemadikan si mati dengan lebih sempurna, kerana pendaki lain pun pada ketika itu sedang bersabung nyawa.
Hendak tak hendak keputusan yang sukar, perlu diambil bagi memastikan yang masih hidup tetap terpelihara.
Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel ‘Walking over bodies’: mountaineers describe carnage on Everest' yang diterbitkan pada 28 Mei 2019.