Terletak di rantau Tharsis Montes di Marikh, berhampiran khatulistiwa di hemisfera barat planet ini, Olmpus Mons (bahasa Latin untuk "Gunung OIympus") adalah gunung berapi yang membentang sepanjang 601 kilometer lebar dan 25 kilometer tinggi, kira-kira 3 kali ganda ketinggian Gunung Everest.
Keluasan Olympus Mons iaitu kira-kira 310,798 kilometer persegi jauh meninggalkan gunung berapi yang terbesar di bumi iaitu Tamu Massif yang terletak di barat laut Lautan Pasifik, dengan keluasan 292,500 kilometer persegi.
BESARKAN TEKS A- A+
Bukan itu sahaja, keluasan gunung berapi ini hampir-hampir menyamai keluasan Malaysia yang berkeluasan 330,803 kilometer persegi. Bayangkan sebuah gunung berapi yang hampir sama besar dengan saiz Malaysia, dan setinggi 25 kilometer.
Selain itu, gunung berapi Marikh ini mempunyai ketinggian lebih daripada 6 kali ketinggian gunung berapi tertinggi di dunia iaitu Mauna Kea dan Mauna Loa di Hawaii, Amerika Syarikat.
Walaupun saiznya yang agak besar, Olympus Mons sebenarnya adalah antara gunung berapi yang termuda di Marikh, yang tebentuk ketika zaman Hesperian iaitu sekitar 3.1 hingga 3.7 biilion tahun yang lalu, dengan beberapa bahagian gunung ini yang hanya berusia beberapa juta tahun sahaja.
Memandangkan usianya yang mudah, secara relatifnya, para saintis percaya bahawa gunung berapi ini mungkin masih aktif.
Namun jika gunung berapi tertinggi dalam sistem suria ini meletus, ia tidak akan mewujudkan letupan besar seperti mana yang anda bayangkan. Olympus Mons adalah apa yang dikenal sebagai gunung berapi perisai, yang terbentuk di atas titik panas lava cair.
Ia tidak meletup dengan dahsyat, sebaliknya lava yang rendah kelikatan ini akan mengalir secara perlahan-lahan tetapi berterusan untuk satu tempoh yang sangat lama.
Aliran lava yang berterusan ini kemudiannya menjadi keras dan membentuk sisi gunung berapi, oleh itu gunung berapi perisai mempunyai cerun yang beransur-ansur.
Malah, purata cerun Olympus Mons hanyalah 5%. Gunung berapi perisai seperti ini juga terdapat di Bumi, antaranya termasuklah Mauna Kea dan Mauna Loa. Dan sudah tentu sekali skala Olympus Mons sama sekali tak seperti apa yang ada di Bumi.
Gunung berapi di Marikh
Olympus Mons mampu untuk membesar jauh daripada mana-mana gunung di Bumi dan menjadi gunung tertinggi dalam sistem suria disebabkan oleh sifat permukaan Marikh yang unik.
Marikh mempunyai permukaan graviti yang lebih rendah berbanding Bumi, membolehkan lebih banyak lava terbina dari masa ke masa.
Selain itu, gunung berapi Marikh juga mempunyai kadar letusan yang lebih tinggi dan jangka hayat yang lebih lama berbanding gunung berapi di Bumi.
Walaupun sebahagian besar gunung berapi di Bumi aktif untuk tempoh beberapa juta tahun, namun para saintis mencatatkan bahawa letusan aktif oleh gunung berapi di Marikh berlangsung selama 90 juta tahun.
Ini membolehkan lebih banyak masa bagi lava untuk membina dan mencipta struktur pergunungan yang tersangat besar.
Marikh juga mempunyai pergerakan plat tektonik yang sangat terhad, bermakna permukaan ini tidak beralih selepas gunung berapi meletus.
Jadi, gunung berapi tersebut berada di lokasi yang tetapi untuk tempoh yang lebih lama. Ia memudahkan lava untuk terbina di atasnya, menghasilkan gunung gergasi yang jauh lebih besar daripada yang ada di Bumi.
Di planet kita, pergeseran plat tektonik akan mengubah kedudukan gunung berapi dan membawa kepada penghasilan gugusan pulau gunung berapi yang kecil, dan bukannya sebuah gunung berapi yang besar.
Penemuan gunung tertinggi dalam sistem suria
Oleh kerana saiz Olympus Mons yang begitu besar, ia dapat dilihat oleh ahli astronomi sejak awal tahun 1800-an lagi.
Ahli astronomi Giovanni Schiaparelli telah mengkaji permukaan marikh pada tahun 1877 dan mendokumenkan apa yang beliau percaya sebagai terusan di samping tompok yang cerah, yang dipercayai sebagai puncak kepada sesuatu yang besar.
Apabila teknologi teleskop semakin maju, beliau dapat menentukan bahawa terusan tersebut bukanlah saluran air seperti yang dijangkakannya, tetapi tompok cahaya yang dilihatnya memang merupakan puncak kepada struktur pergunungan yang besar.
Beliau menamakannya sebagai Nix Olympica, yang bermakna "Salji Olimpik". Akhirnya, pada tahun 1971, NASA menghantar probe tanpa pemandu iaitu Marine 9 ke angkasa lepas untuk menerokai permukaan Marikh dengan lebih jelas.
Ia sampai ke Marikh pada 14 November di tengah-tengah ribut debu yang besar, tetapi imej yang diambil dan dihantar ke Bumi menunjukkan apa yang Giovanni dan yang lain percaya itu bukan sahaja puncak gunung, tetapi juga sebahagian daripada gunung berapi yang tersangat besar.
NASA kemudiannya menamakannya semula daripada Nix Olympia kepada Olympus Mons untuk menggambarkan penemuan baru. Sejak itu, NASA sentiasa memerhati petunjuk kepada bila letusan seterusnya akan berlaku.