Gunung Everest diselubungi dengan pelbagai fenomena aneh, penampakan hantu dan juga pelbagai misteri yang sukar dirungkai. Misi menyelamat di gunung tertinggi ini juga mungkin merupakan misi membunuh diri. Dengan keadaan cuaca yang sangat ekstrim, gunung ini menjadi kubur kepada pendaki yang terkandas atau bernasib malang. Mayat pendaki seringkali dibiarkan membeku di dalam salji.
BESARKAN TEKS A- A+
Jadi tidak hairanlah jika ramai yang melaporkan kejadian ngeri di gunung Everest ini. Samada kisah seram ini palsu atau betul ianya masih menjadi perbualan. Kami kongsikan bersama anda beberapa kisah seram yang seringkali dikongsi di antara para pendaki gunung paling tinggi di dunia ini.
1. Mayat paling popular menjadi maskot gunung Everest
Disebalik ratusan mayat terbiar yang boleh dijumpai di gunung ini, salah satunya yang paling popular dan menjadi buah mulut orang ramai ialah mayat seorang lelaki yang dikenali sebagai "Si Kasut Hijau" yang nama sebenarnya ialah Tsewang Paljor. Mayat itu kini menjadi sebagai tanda puncak Timur Laut bahagian gunung itu.
Ramai pendaki mengambil kesempatan mengambil gambar bersama mayat yang popular ini dan salah satu di antara pendaki yang bernasib malang iaitu David Sharp, mati akibat hyporthemia betul-betul bersebelahan mayat "si kasut hijau" ini.
2. Mayat bergelimpangan di kiri dan kanan laluan pendaki
Gunung Everest memang terkenal kerana mayatnya. Pendaki datang dari seluruh pelusuk dunia untuk mendaki gunung tertinggi ini namun tidak semuanya selamat dengan keadaan ekstrim di situ. Terdapat tanah runtuh, tebing licin dan perubahan cuaca mendadak yang terbukti membunuh.
Malangnya banyak mayat yang dibiarkan tanpa dikenalpasti. Pada tahun 2017, 4 mayat telah dijumpai di dalam khemah berdekatan base camp gunung ini. Para penganalisis berpendapat mereka mati akibat altitude sickness. Namun yang lebih menyeramkan tiada satu pun agensi pendakian yang melaporkan kehilangan para pendaki waktu itu.
3. Roh pendaki yang mati datang meminta diberi makan
Seorang pendaki dari kaum Sherpa dari Nepal iaitu Pemba Dorje menceritakan sewaktu dia membuat pendakian pada tahun 2004, dia didatangi oleh satu lembaga hitam. Dia berkata semasa dia berhenti berehat di ketulan batu besar, beberapa roh menyerupai lembaga hitam datang kepadanya sambil menghulurkan tangan meminta diberi makanan.
Dia berpendapat itu mungkin roh pendaki yang mati di situ sebelum ini. Ini mungkin disebabkan salah satu tradisi menghormati pendaki yang terkorban ialah dengan membiarkan sahaja mayat mereka bersemadi di gunung itu.
4. Benda terbang yang pelik memerhatikan pada pendaki
Pada tahun 1933 seorang pendaki iaitu Frank Smythe memberitahu semasa pendakiannya dia merasakan yang dia tidak keseorangan. Ketika itu dia menghampiri kawasan pendakian yang paling ramai memakan korban. Semasa berhenti berehat untuk seketika, dia telah didatangi oleh seorang lelaki.
Walaupun merasa aneh kerana tidak tahu dari mana lelaki itu datang namun dia memberikan makanan yang dibawanya untuk dikongsikan bersama lelaki yang tidak dikenali itu. Selepas itu dia meneruskan pendakian bersendirian dan mendapati seperti ada 2 objek hitam yang peling sedang terbang mengikutinya.
Salah satu objek itu seperti sedang bercangkung dan mempunyai sayap separa siap dan satu lagi seperti bonjolan asap yang keluar dari cerek panas. Objek itu mengikutinya untuk beberapa jangka waktu dan kemudian hilang begitu sahaja dengan sendirinya.
5. Sesetengah penduduk tempatan dirasuk hantu pendaki yang terkorban
Seorang penduduk tempatan perkampungan Himalaya yang berdekatan iaitu Mohan Singh, melaporkan dia ternampak seorang kelibat lelaki yang tidak dikenalinya sedang memotong kayu pokok yang ditebangnya sendiri di hadapan rumahnya pada musim sejuk tahun 2009.
Tiba-tiba sahaja awan bertukar menjadi gelap dan lelaki misteri itu terus menerpa Singh sambil memegang bajunya dan bertanya mengapa dia menebang pokok di hadapan rumahnya itu.
Kata Singh lagi dia terkejut apabila mendapati tangan lelaki itu menembusi badannya dan selepas itu lelaki misteri itu berubah bentuk menjadi 9 kaki tinggi besarnya dan kemudian mengecil sehingga sebesar seekor ayam.
Selepas melarikan diri dari lelaki misteri itu, Singh mendapat demam yang teruk. Dia telah meminta bantuan seorang paderi Hindu untuk datang dan melakukan upacara penyembelihan kambing bagi menghalau roh jahat yang mengganggunya.
6. Penemuan tapak kaki "Yeti"
Perdebatan tentang kewujudan Yeti atau gergasi salji ini sebenarnya datang dari pelbagai gambar yang diambil oleh pendaki-pendaki yang menemui bekas tapak kaki makhluk itu. Salah seorang pendaki iaitu Eric Shipton berkongsi cerita penemuannya.
Dia memberitahu suatu hari ketika sedang mendaki di ketinggian 19,000 kaki, dia telah menjumpai kesan tapak kaki di dalam timbunan salji. Dia dan rakan-rakannya cuba untuk mengikuti jejak itu namun berhenti setelah setengah kilometer kerana peralatan dan kelengkapan berat yang mereka bawa.
Mereka berpendapat kesan tapak kaki itu berkemungkinan tidak sampai 24 jam yang lepas dan mereka yakin kesan tapak kaki itu kepunyaan bukan sahaja satu tetapi 2 makhluk yang berkemungkinan Yeti itu.
7. Satu lembaga telah membantu pendaki untuk mengharungi malam yang sukar
Pada tahun 1975, Dougal Haston dan Doug Scott mendakwa mereka didatangi "pendaki ketiga" dan membantu mereka mengharungi salah satu malam yang paling dahsyat cuacanya. Mereka berdua merupakan pendaki pertama yang berjaya mendaki gunung Everest menggunakan laluan yang belum pernah ditanda atau dilalui oleh pendaki lain.
Lembaga pendaki ketiga itu dikatakan meneman mereka dan memberikan mereka semangat untuk terus berjuang pada malam di mana cuacanya paling teruk mereka alami.
8. Roh tentera yang lemas menjadi penjaga sempadan
Baba Harbhajan Singh, seorang tentera India dikenali sebagai "Wira Nathula" telah mati pada tahun 1968 kerana tergelincir jatuh ke dalam salah satu anak sungai ketika mengembala sekumpulan kaldai di Himalaya. Mayatnya dijumpai oleh pasukan penyelamat yang telah ditunjukkan sendiri oleh rohnya.
Salah seorang tentera telah bermimpi Singh datang ke dalam mimpinya dengan menunggang kuda memberitahu di mana lokasi terletaknya mayat tubuh badannya. Sehingga kini ada laporan mengatakan bahawa roh Singh dilihat menjaga sempadan India dan Nepal itu.
Itulah sebahagian daripada kisah seram yang diceritakan oleh para pendaki dan juga penduduk tempatan. Ada sesetengah pihak menganggap kisah ini benar kerana banyaknya mayat yang dibiarkan di sana dan ada juga yang berpendapat kerana keadaan ekstim gunung ini membuatkan para pendaki berhalusinasi. Anda tentukan sendiri.