Kredit foto: Instagram Elyana
Kerana masalah kesihatan, penyanyi Elyana terpaksa mengambil keputusan untuk menggugurkan kandungannya yang baru menjengah usia dua bulan pada 7 Mac lalu.
Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 31, dalam penjelasan kepada portal Mstar Online mengatakan tindakan itu diambil kerana dia kini sedang mengambil pelbagai jenis ubat.
“Sebenarnya 10 hari lalu saya terpaksa menggugurkan kandungan yang sudah berusia dua bulan. Keputusan tersebut terpaksa dilakukan atas sebab keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
“Tambahan pula sekarang saya perlu makan ubat yang banyak,” jelas penyanyi yang menghidap kanser limfoma tahap empat itu sewaktu ditemui di Jelajah Suria FM di IOI City Mall, di Putrajaya pada Sabtu.
Dalam pada itu, Elyana akui bersedih dengan tindakan yang terpaksa diambilnya kerana keinginan asal untuk memiliki anak yang ramai, malah pernah mengalami keguguran kerana hamil luar rahim pada awal 2016.
Namun dalam masa sama, pelantun Rela ini juga khuatir sekiranya kesihatan bayi yang dilahirkan akan terjejas angkara ubat-ubatan yang diambil.
“Saya memang nak sangat anak sebab suka ada anak yang ramai. Sebelum ini pun saya pernah cuba dapatkan anak angkat tapi rezeki tak ada.
“Tiba-tiba dapat tahu hamil tapi terpaksa gugurkan. Saya sangat sedih sebab memang nak sangat anak. Sebelum ini pernah gugur tapi disebabkan hamil luar rahim.
“Kalau kanser saya ini masih peringkat awal mungkin saya boleh kuat tapi peringkat sekarang takut nanti bayi lahir tidak cukup sihat," katanya.
Sebelum membuat keputusan terbabit, Elyana juga mendapatkan pandangan ustaz berkaitan perbuatannya menurut persepsi Islam.
“Saya ada tanya pendapat ustaz juga mengenai perkara ini dan dia beritahu jika dah memudaratkan kesihatan, memang perlu lakukan proses gugurkan,” katanya.
Terdahulu, Elyana meruntun emosi ramai di program realiti Gegar Vaganza musim keempat apabila mengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat.
Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Hussin, 42, disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak tujuh tahun lalu.