Kredit foto: Instagram Elyana
Penyanyi, Elyana, menyifatkan Dukun sebagai peninggalan berharga buat para peminatnya apabila beliau sudah 'pergi' nanti.
Elyana, 31, yang sebelum ini membuat pengumuman mengejutkan tentang penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya, berkata, apa sahaja karya yang diterbitkannya pada masa kini dianggap menjadi yang terakhir daripadanya.
"Apabila filem ini ditayangkan, saya anggap ini adalah karya terakhir dalam bidang lakonan. Apatah lagi selepas disahkan menghidap kanser ini saya ambil keputusan untuk berehat daripada berlakon," katanya kepada Harian Metro.
Begitupun, kemunculan terhad penyanyi lagu Ironi itu iaitu hanya dalam beberapa babak filem seram berkenaan tetap disifatkannya sebagai rezeki yang mampu mengubat kerinduan peminat terhadap penglibatan beliau di layar perak.
Kredit foto: Instagram Elyana
"Penayangan filem ini juga rezeki untuk saya. Meski ia ditayangkan selepas 12 tahun, sekurang-kurangnya ia jadi buah tangan dan pengubat rindu kepada peminat. Walaupun tidak banyak babak, tetapi ia cukup bermakna untuk saya," katanya yang terlebih dahulu muncul dalam filem Gong, Dunia Baru The Movie dan Hooperz.
Dalam nada seakan pasti, dedah ibu kepada seorang cahaya mata ini, 'Dukun' akan menjadi filem lakonan terakhirnya sebelum meninggal dunia.
"Saya fikir, Dukun adalah produk terakhir sebelum meninggal dunia. Bukan saja filem ini, tetapi apa saja dilakukan sekarang saya ingin tinggalkan kenangan untuk orang terdekat terutama keluarga," ujarnya.
Dalam pada itu, bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini akui setiap kali melihat hasil lakonan dan nyanyiannya, dia akan terkenangkan ibunya kerana wanita itu banyak membantunya dalam pengurusan karier seni selama ini.
"Mak selalu ada bersama saya dalam setiap perkara. Dia selalu bawa saya pergi menjayakan persembahan. Malah, dia juga yang selalu berunding soal penggambaran drama atau filem.
"Jadi, banyak kenangan bersama mak. Disebabkan itu, saya sentiasa berfikir masa yang ada ini atau apa saja saya buat sekarang biarlah menjadi memori indah untuk mereka," katanya.
Menurutnya lagi, watak Nadia yang dipegang dalam filem itu dilakonkan ketika dia masih berusia 18 tahun iaitu sebelum menghidap kanser.