Kredit foto: Instagram Elyana

Susulan pengakuan yang dibuat penyanyi Elyana tentang keadaan kesihatannya sebagai penghidap Kanser Limfoma tahap empat, beliau berharap para peminat dapat memahami situasi sebenar yang dilaluinya.

Tidak dinafikan, ramai netizen yang mendoakan kesejahteraan bekas peserta Gegar Vaganza 4 ini, di samping memperlihatkan betapa mereka mengambil berat tentang beliau.

Begitupun, kelihatannya lewat ini Elyana sering tampil meluahkan rasa tidak puas hati di Instagram kerana mendakwa segelintir pihak seakan mempertikaikan status kesihatannya.

Malah dalam kenyataan di Instastory dua hari lalu, beliau sekali lagi tampil dengan pengakuan beremosi.

“Ramai yang tanya saya, kenapa saya tak nampak sakit? Pelik... diorang kata. Jawapan saya, sebab saya tak nak orang nampak saya sakit.

“Menyembunyikan kesakitan sebenarnya lebih pedih dari sakit. Jadi, hargailah perasaan manusia kerana kita tidak tahu apa yang mereka sedang perjuangkan dan sembunyikan untuk menghibur orang sekeliling,” akuinya.

Di kesempatan itu, Elyana memberitahu dia sudah terbiasa mengharungi penderitaan tersebut, justeru tidak begitu mengharapkan simpati daripada mana-mana pihak.

“Bukan senang untuk menghiburkan orang ramai. Cuba anda jadi saya. Saya sayang anda semua. Pelik kan... tak pernah jumpa pun sayang..

“Terimalah sayang saya ni. Saya tak minta apa-apa balasan pun, jauh lagi minta simpati. Saya 'OK' berjuang sendiri. Dah biasa dari dulu,” tulisnya lagi.

Akhir sekali, penyanyi yang terkenal dengan sikap positifnya ini memohon agar para peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk kesemua orang di sekeliling mereka.

“Cuma satu saya minta, tolong doakan yang baik-baik untuk kita semua. Dan, jagalah hati dan perasaan sesama manusia,” luahnya.

Sumber berita: Sinar Harian




Hakcipta iluminasi.com (2017)