Kredit foto: Instagram Elyana Official Fans Club

Sebagai tanda sokongan kepada penyanyi Elyana yang sedang melawan kanser limfoma tahap empat, kelab peminat beliau bakal menganjurkan majlis doa selamat dan solat hajat pada jam 8 malam, Khamis depan di masjid di Seksyen 15, Shah Alam.

Menurut teman baik Elyana, Zuhairry Zainal, keputusan mengadakan majlis penuh keberkatan itu adalah susulan pengumuman mengejutkan yang diterima mereka sewaktu penyanyi itu membuat ucapan di konsert rancangan realiti, Gegar Vaganza (GV4), minggu lalu.

"Saya dapat tahu mulanya ada lebih daripada satu majlis ingin dianjurkan. Selepas berbincang, ahli kelab sepakat berkumpul beramai-ramai dan menganjurkan satu majlis besar, minggu depan.

"Setakat ini, saya diberitahu ramai peminat termasuk bukan ahli kelab mahu menghadiri majlis doa selamat dan solat hajat yang dirancang.

"Insya-Allah, Elyana sudah mengesahkan akan menyertai majlis itu," katanya menerusi laporan portal BH Online.

Difahamkan, Zuhairry antara insan terawal yang dimaklumkan tentang penyakit dihidapi beliau.

Sebagai teman yang sudah mendampingi Elyana sejak 18 tahun lalu, Zuhairry tahu wanita berkenaan tidak berniat sama sekali menagih simpati ramai dengan pendedahan yang dibuat.

"Kalau Elyana berniat menagih simpati, mungkin dari awal lagi sudah diceritakan masalahnya.

"Sekarang ini, antara sebab Elyana mengelak untuk ditemubual media adalah kerana tidak mahu cerita itu terus berpanjangan, seolah-olah dia meminta simpati,” katanya.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut majlis yang bakal diadakan, boleh hubungi nombor berikut.

Pertanyaan lanjut (WhatsApp sahaja):

Media/Penaja - Acu 011 3222 3441

Pendaftaran - Ika 011 2382 8465

Sumber berita: BH Online & Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)