Kredit foto: Facebook Sinar FM
Menjadi mangsa kecaman netizen, penyanyi Elyana tampil dalam sebuah kiriman Instagram yang meluahkan rasa hatinya.
Seakan kecewa dengan tohmahan yang terus-terusan dilemparkan, Elyana menganggap netizen tidak merasai apa yang dilaluinya selama ini
"Terima kasih kerana menghina wanita ini. Terima kasih juga kepada yang mendoakan dia cepat mati.
"Terima kasih juga yang mengambil kesempatan. Terima kasih kerana menuduh saya inginkan perhatian.
"Terima kasih juga kepada yang menuduh tanpa bertanya cerita sebenar. Terima kasih kepada anda yang mengatakan saya berbohong.
"Terima kasih untuk anda yang gembira apabila saya sering di malukan di khalayak ramai. Terima kasih semua.
"Tak apa lah.. mungkin anda belum lagi merasa apa yang saya rasa selama ini," tulisnya di ruangan kapsyen dalam nada kecewa.
Tambah Elyana, dia akur dengan ketentuan yang ditakdirkan Tuhan terhadapnya, walaupun jauh di sudut hati mengakui dia hanyalah insan biasa yang mempunyai perasaan dan keinginan seperti orang lain.
Berkongsi harapan selepas menerima hinaan itu, Elyana berkata, dia mahu netizen yang tidak mempunyai perkataan yang baik untuk ditulis di media sosial supaya berdiam dan menjaga amalan sendiri.
"Saya juga sama seperti anda semua manusia biasa, tidak kuat.. punya keinginan, punya cita-cita, ingin merasa sihat tanpa menahan sakit.
"Tapi ini takdir saya. Saya terima.
"Kita semua akan mati. Bukan pesakit kanser sahaja. Saya harap kita jaga amalan kita sendiri. Jika tidak ada apa-apa yang baik untuk dikatakan, ditulis dan dilakukan, lebih baik diam," katanya yang kali terakhir tampil dengan album Jadi Diriku.
Terdahulu, penyanyi Kau Atau Aku yang tersingkir di minggu kelima Gegar Vaganza 4 itu, meruntun emosi ramai apabila mendedahkan dia adalah penghidap kanser limfoma tahap empat.
Meskipun dihujani kata-kata semangat peminat, namun ada netizen yang tidak sensitif melontarkan pelbagai bentuk kecaman di media sosial, termasuk mempertikaikan imejnya yang tidak berhijab.
Kredit foto: Instagram Elyana