Kredit foto: Instagram Elyana

Penyanyi dan pelakon Elyana, 31, nekad untuk memperlihatkan sisi postifnya, sekaligus enggan terus bercerita tentang penyakit yang dihidapi,

Menderita kanser limfoma tahap empat, Elyana mengaku kadang kala timbul rasa menyesal dengan tindakannya mendedahkan penyakit itu kepada khalayak sebelum ini.

Ini berikutan penyanyi yang meledak dengan lagu Kalis Rindu itu berterusan disalah anggap kononnya sengaja mereka-reka cerita untuk meraih perhatian daripada masyarakat.

“Kadang-kadang saya ada juga terdetik rasa menyesal mendedahkan tentang penyakit saya ini kepada umum kerana ada yang menuduh saya mengada-adakan cerita apabila melihat saya masih ke sana sini dan aktif bekerja.

“Dulu saya stress kerana terpaksa menyembunyikan kondisi sebenar diri saya kepada orang ramai, tetapi sekarang stress kerana persepsi dan pandangan negatif yang dilemparkan kepada saya pula," katanya menurut portal Sinar Harian.

Namun, tambah Elyana, di penghujungnya, dia hanya mampu mengutamakan kegembiraan diri tanpa perlu memikirkan persepsi orang ramai.

menyesal cerita penyakit saya elyana 2

Kredit foto: Instagram Elyana

“Sampai satu tahap saya fikir hidup kita ini seperti serba tak kena di mana pergi kanan salah, kiri pun salah dan begitulah seterusnya. Jadi akhirnya saya putuskan untuk buat saja apa yang boleh buat saya gembira,” luahnya. 

Jujurnya, kata Elyana, dia tidaklah terlalu tertekan dengan tuduhan yang dilemparkan netizen tentang keadaannya yang bertarung nyawa itu.

Namun, adakalanya tidak mampu membendung perasaannya lagi apabila ada yang bersikap keterlaluan hingga terpaksa meluahkan segala-gala di laman sosial.

“Saya memang tak layan sangat kecaman netizen, tapi bila dah melampau saya pun tak dapat tahan juga. Itu yang membuatkan saya kadang-kadang melepaskan perasaan di Insta Story.

“Saya tak suka nak tunjukkan keadaan sakit saya kerana tidak mahu berada dalam keadaan yang murung, diam dan tentunya akan buat orang rasa tak selesa dengan saya.

“Jadi sebolehnya saya nak tampil sentiasa aktif dan ceria depan orang kerana memanglah itulah personaliti saya sejak dulu,” katanya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)