Oleh pada 24 Jun 2017 kategori

Pastinya anda pernah melalui situasi apabila anda di dalam surau atau masjid dan sedang solat, seseorang melintasi betul-betul depan anda, tanpa rasa bersalah dan berdosa. Jika dilihat, masih banyak ruang kosong untuk dilintasi namun depan juga yang hendak dilintasinya, mungkin kerana itu jalan yang paling dekat. Tindakan ini amatlah biadap dan langsung tidak menghormati orang yang sedang solat dan perkara ini diambil remeh oleh kebanyakan orang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mungkin si pelintas itu tidak tahu ia merupakan satu kesalahan, atau mungkin dia tergesa-gesa dan mahu cepat. Namun, adalah tanggungjawab kita untuk berbuat sesuatu, dan menegur perbuatan itu kerana ia adalah salah. Orang yang solat haruslah meletakkan sutrah, iaitu sesuatu objek sebagai halangan antara dirinya dan seorang yang lintas di hadapannya, jika merasakan akan ada orang melintas. Namun, jika tidak diletakkan sutrah sekalipun, orang yang melintas adalah bersalah dan berdosa. Apatah lagi jika di hadapan anda adalah dinding dan masih dilintasi orang lain.

Larangan Rasulullah S.A.W 

sutrah

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan larangan Rasulullah S.A.W akan perbuatan ini. Antaranya adalah:

Solat tanpa sutrah

Dari Abu Juhaim Al Anshari, Rasulullah S.A.W bersabda : 

لَوْ يَعْلَمُ الْمَارُّ بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي مَاذَا عَلَيْهِ مِنَ الإِْثْمِ لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا لَهُ مِنْ أَنْ يَمُرَّ بَيْنَ يَدَيْهِ

“Andainya seseorang yang melintas di depan orang yang solat itu mengetahui dosanya perbuatan itu, nescaya diam berdiri selama 40 tahun itu lebih baik baginya daripada melintas” (HR. Al Bukhari 510, Muslim 507)

Tidak disebutkan dengan jelas akan dosanya tetapi jika seseorang itu tahu akan besarnya dosa itu, pasti dia akan sanggup berdiri selama 40 tahun daripada melintas. Gambaran itu sudah mencukupi.

Tetapi terdapat perbahasan ulama dalam mentasfir lafaz "بَيْنَ يَدَيِ الْمُصَلِّي" (di depan orang solat) akan jarak yang tidak boleh dilintasi orang. Pendapatnya adalah :

  1. Tiga hasta
  2. Satu langkah
  3. Antara kaki dan tempat sujud orang yang solat
  4. Bergantung kepada pendapat orang setempat.

sutrah 2

Namun pendapat yang paling kuat adalah oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al ‘Utsaimin adalah pendapat nombor 3, kerana orang yang solat tak memerlukan ruang lebih daripada itu. (Syarhul Mumthi, 3/246)

Solat dengan sutrah

sutrah 3 341

Dalam hal menggunakan sutrah, tiada perbezaan pendapat bahawa ianya adalah boleh untuk melintasi melepasi sutrah tersebut, dan bukan di antara orang sedang solat dan sutrah, kerana ia berdosa.

Dari Abu Sa’id Al Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda :

إذا صلَّى أحدُكُم إلى شيءٍ يستُرُهُ من الناسِ،فأرادَ أحَدٌ أنْ يَجتازَ بين يديْهِ، فليدفَعْهُ، فإنْ أبى فَليُقاتِلهُ، فإنما هو شيطانٌ

“Jika salah seorang dari kalian solat menghadap sesuatu yang jadikan sutrah terhadap orang lain, kemudian ada seseorang yang cuba melintas di antara ia dengan sutrah, maka cegahlah. Jika dia enggan dicegah maka tolaklah dia dengan keras, kerana sesungguhnya ia adalah syaitan” (HR. Al Bukhari 509, Muslim 505)

Solat berjemaah

sutrah4

Jika solat secara berjemaah, sutrah tidak perlu diletakkan oleh makmum kerana sutrah bagi imam adalah sutrah bagi para jemaah. Tetapi, persoalannya adakah boleh untuk melintasi di hadapan jemaah lain? Sebagai contoh, anda solat berjemaah, tetapi terbatal wudhu akibat terkentut atau hendak terkencing, bolehkah anda keluar dari saf dengan melintas di hadapan jemaah lain? Terdapat dua pendapat dalam hal ini:

1. Tak boleh

Berdasarkan hadis Abu Juhaim terdapat larangan umum. Dan juga gangguan yang dicetuskan daripada melintas dihadapan jemaah itu adalah sama dengan gangguan yang dicetuskan bagi orang yang solat bersendirian.

2. Boleh

Berdasarkan perbuatan Abdullah Bin Abbas R.A, beliau berkata :

قْبَلْتُ رَاكِبًا عَلَى حِمَارٍ أَتَانٍ وَأَنَا يَوْمَئِذٍ قَدْ نَاهَزْتُ الِاحْتِلَامَ ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ بِمِنًى إِلَى غَيْرِ جِدَارٍ ، فَمَرَرْتُ بَيْنَ يَدَيْ بَعْضِ الصَّفِّ ، فَنَزَلْتُ وَأَرْسَلْتُ الْأَتَانَ تَرْتَعُ ، وَدَخَلْتُ فِي الصَّفِّ فَلَمْ يُنْكِرْ ذَلِكَ عَلَيَّ أَحَدٌ

“Aku datang dengan menunggang keldai betina. Ketika itu aku hampir baligh. Rasulullah S.A.W sedang solat di Mina dengan tidak menghadap ke dinding. Maka aku lintas di depan sebahagian saf. Kemudian aku melepas keldai betina itu supaya mencari makan sesukanya. Lalu aku masuk kembali di tengah saf dan tidak ada seorang pun yang mengingkari perbuatanku itu” (HR. Al Bukhari 76, Muslim 504).

Berdasarkan hadis ini, ianya boleh melintas di depan makmum dalam saf. Ini adalah kerana setiap perbuatan para sahabat yang diketahui Rasulullah S.A.W dan tidak ditegur, maka ia merupakan dalil. Ia dipanggil sebagai sunnah taqririyyah iaitu berasal dari persetujuan Rasulullah S.A.W terhadap sesuatu perbuatan atau perkataan.

Namun, apa yang lebih baik adalah jika boleh mencari jalan untuk tidak melintas di hadapan orang solat, itu adalah yang terbaik kerana kita tidak mahu mengganggu kekhusyukan orang yang solat itu.

Ambil kisah dan sebarkan

Jadi begitulah hukum dan larangan Rasulullah S.A.W terhadap perbuatan melintas di hadapan orang yang sedang solat. Jika kita solat di dalam masjid, carilah ruang yang lebih baik untuk lalu dan bukanlah di hadapan orang yang sedang solat, paling tidak pun di antara celah-celah orang yang solat, agar perintah Rasulullah S.A.W ini tidak dilanggar. Namun jika tiada juga ruang, maka adalah lebih baik kita tunggu sebentar sehingga habis solat, sambil itu boleh berzikir dan berselawat, itu adalah lebih baik. 

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)