Oleh pada 11 Mar 2020 kategori

Satu ketika dahulu pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, terdapat seorang lelaki bernama asli Musailamah bin Habib dari Bani Hanifah. Dia dikenali dengan nama panggilan Musailamah Al-Kadzab (si pembohong), kerana mengaku dirinya sebagai nabi.

Di Yamamah, iaitu tempat tinggal Musailamah, dia dikenali sebagai seorang yang baik. Malah, terdapat kisah yang menceritakan bahawa Musailamah mempunyai pengikut sebelum wahyu Allah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tak cukup dengan itu, Musailamah dikatakan sangat pandai berkata-kata, bijak mencari simpati serta mempunyai pertuturan yang lemah-lembut.

Musailamah dikatakan mempunyai pengaruh yang kuat, lebih-lebih lagi dalam kalangan Bani Hanifah.

Namun ternyata di sebalik kata-kata yang sangat lemah lembut, Musailamah sebenarnya bijak membohong dan menipu.

Ketika Musailamah mengumumkan tentang kenabiannya yang mana adalah satu pembohongan dan palsu, Rasulullah SAW berada di Mekah. Dikisahkan di dalam Kitab Tarikh Ar Rusul Wa Al Mulk karya Ath Thabari, bahawa Musailamah menghantar orang-orang dari Bani Hanifah ke Mekah.

Tujuan menghantar orang-orang ini adalah untuk mendengar bacaan Al-Quran dari para sahabat Rasulullah SAW. Dan sebaik sahaja mereka pulang, para utusan tersebut diminta untuk membacakan al-Quran kepada Musailamah.

Sejurus selepas bacaan diperdengarkan, Musailamah pun membalasnya dengan bacaan lain bagi meniru bacaan al-Quran. Musailamah mengaku di hadapan orang ramai bahawa bacaan tersebut adalah wahyu dari Tuhan.

nabi muhammad saw

Seperti yang diceritakan dalam karya Hasan Ramadhan iaitu Kitab Ajaib wa Tharaif Abra At-Taarikh, Amru bin Ash pernah mengirimkan utusan untuk Musailamah.

Musailamah bertemu dengan Amru dan bertanya: "Apa yang telah diturunkan kepada temanmu (Nabi Muhammad SAW) pada waktu ini?". Soalan itu lantas dijawab oleh Amru dengan berkata, "Telah diturunkan kepadanya suatu surah yang ringkas namun mendalam,".

"Surah apa?", tanya Musailamah. Amru kemudiannya berkata, "Telah diturunkan kepadanya:

وَالْعَصْرِ. إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ. إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya menaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran (QS Al Ash: 1-3),'" jawab Amru.

Ayat itu membuatkan Musailamah berfikir sejenak, lalu mengangkat kepalanya dan berkata, "Aku juga telah mendapat surah yang sama jenis,".

Amru yang berasa ingin tahu lantas bertanya, "Apakah ia?".

Musailamah pun menjawab:

يا وَبَرُ يا وبَرُ، إنّمَا أنتَ إيْرَادٌ وَصَدَرٌ، وسَائِرُكَ نَفْرٌ نَقْرٌ.

“Wahai bulu, wahai bulu. Sesungguhnya kamu hanyalan sebutan dan muncul. Sedangkan keseluruhanmu adalah lubang.” Musailamah kemudiannya bertanyakan kepada Amru, "Bagaimana menurutmu?".

al quran mukjizat rasulullah saw

Menurut kisah-kisah yang diceritakan, Amru serta sahabat-sahabat Rasulullah SAW tidak percaya akan ayat palsu yang keluar dari mulut Musailamah.

Dari segi isi, ayat yang diucapkan oleh Musailamah adalah jelas sangat danskal jika dibandingkan dengan wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Antaranya seperti surah an-Nahl yang menceritakan tentang lebah, yang mana terdapat penjelasan berkenaan dengan kebaikan dan kandungan madu yang masih belum diketahui oleh bangsa Arab pada ketika itu.

Ini sangat jauh bezanya berbanding dengan surah palsu oleh Musailamah iaitu ad-Difda, bermaksud katak:

يا ضِفداَعة بنت الضفدعين، نَقِي لَكُمْ تنقين، نصفك في الماء ونِصفُك فِي الطين، لا الماء تكدرين، ولا الشراب تمنعين.

Maksudnya: "Wahai kodok betina anak dari dua pasang katak. Bersihlah apa yang kamu bersihkan. Air tidak kamu kotori. Dan peminum tidak kamu halangi. Kepala di dalam air, sedangkan ekormu di darat."

Apa yang umat Islam perlu ingat adalah al-Quran merupakan mukjizat Nabi Muhammad SAW, dan kitab yang merupakan kalam Allah ini mempunyai bahasa yang sangat indah serta makna yang mendalam.

Al-Quran merupakan satu mukjizat yang telah diturunkan pada ketika bangsa Arab sangat menggemari sastera atau menulis syair.

Dan pada saat al-Quran diturunkan kepada baginda, suku kaum Quraisy menjadi sangat hairan kerana Nabi Muhammad yang merupaka seorang pengembala kambing yang tidak tahu membaca serta menulis mampu mengucapkan ayat-ayat al-Quran yang sangat indah.

Semua ini berlaku dengan kekuasaan Allah SWT yang Maha Berkuasa. Maha suci Allah. 

Wallahualam.

Rujukan:

1. Musailamah

2. Ayat Palsu Musailamah

3. Tribun News




Hakcipta iluminasi.com (2017)