Oleh pada 07 Mar 2018 kategori

Rasulullah S.A.W diutuskan kepada umat manusia bukanlah hanya untuk membimbing orang Islam tetapi semua makhluk yang bernama manusia. Baginda adalah orang yang paling bijaksana dalam berkata-kata dan segala apa yang dikatakan baginda adalah benar belaka.

iluminasi.com ingin kongsikan antara 10 nasihat Rasulullah S.A.W kepada sahabatnya Abu Dzar Al-Ghifari ketika beliau terlihat baginda berseorangan di masjid di Madinah. Abu Dzar mengambil peluang untuk meminta nasihat daripada baginda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Gunakan kesempatan muda, sihat, kaya, lapang dan hidup

rasulullah pesan gunakan masa muda sebelum tua

"Wahai Abu Dzar! Ambillah kesempatan terhadap 5 perkara sebelum dirampas 5 perkara. Masa muda sebelum masa tua, masa sihat sebelum sakit, kekayaan sebelum kemiskinan, masa lapang sebelum sempit, dan masa hidup sebelum mati,".

Di sini kita dapat melihatkan betapa pentingnya untuk tidak mengambil mudah segala apa yang kita ada, sebelum ia ditarik balik yang kita tak tahu bila akan berlaku. Hanya apabila kita kehilangannya barulah kita akan menyesal. 

2. Jangan bertangguh

"Wahai Abu Dzar! Berjaga-jaga dengan sikap bertangguh kerana engkau hidup pada hari ini dan bukan hari esok. Jika ada hari esok untuk engkau, berbuatlah engkau pada hari esok seperti mana hari ini. Dan jika tiada esok bagimu, pasti akan engkau menyesal dengan sepenuh kesal akan peluang yang engkau terlepas hari ini,"

Tak kiralah apa sahaja yang perkara yang baik, jangan ditangguhkan kerana kita tak tahu sama ada masih ada peluang untuk kita pada hari esok. Rasulullah S.A.W sendiri merupakan seorang yang tidak bertangguh seperti sabda baginda lagi :

"Wahai Abu Dhar! Apabila engkau bangun pagi jangan bercakap pada dirimu tentang malam, dan pada malamnya tak perlu engkau risau mengenai pagi esok kerana pastinya engkau tidak tahu apa keadaanmu esok,".

3. Jangan buang masa

rasulullah pesan jangan buang masa

"Ketahuilah bahawa engkau berada dalam dua bahaya, iaitu ketawa terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan dan kemalasan walaupun tidak letih,".

Nasihat ini sememangnya tepat mengenai kepada kita di zaman serba canggih dimana teknologi canggih membuatkan kita membuang masa dan malas. Ketika mana media sosial membolehkan kita berhubung dengan keluarga dan rakan dengan lebih mudah, ia telah membuatkan kita leka dan lalai.

4. Akui kejahilan diri

"Wahai Abu Dzar! Apabila ditanyakan tentang sesuatu yang engkau tidak tahu, katakanlah, "Aku tidak tahu!". Engkau akan terselamat daripada akibatnya. Janganlah engkau menghukum sesuatu yang engkau tidak tahu,".

Ramai di antara kita yang mudah menghukum dengan sesuatu yang kita tidak arif, akibat daripada maklumat yang tidak diketahui kesahihannya. Ayat ini mengajar kita supaya kita tidak sewenang-wenangnya berkata perkara yang kita tak tahu.

Dalam era dimana segala maklumat di hujung jari, Google menjadi tempat kita merujuk walaupun kemungkinan sebahagiannya tidak benar dan ini mengundang kecelakaan.

5. Amalkan apa yang anda sampaikan

"Wahai Abu Dzar! Akan sampai satu hari dimana ahli syurga akan pergi kepada ahli neraka dan berkata, "Apa yang membuatkan kamu semua masuk neraka? Kami pastinya masuk syurga disebabkan kamu semua mengajarkan kami!". Dan ahli neraka menjawab, "Kami hanya menyuruh orang lain melakukan kebaikan tetapi kami sendiri tidak melakukannya,".

Agak seram mendengarkan mesej ini kerana ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita. Bagi penulis yang sedang menulis artikel ini berharap penulis sendiri tidak terperangkap dalam menasihati orang lain, namun tidak dipraktikkan dalam hidup. 

Amalkan apa yang kita sampaikan, jangan jadi hipokrit.

6. Jangan perkecilkan dosa sendiri

jangan kecilkan dosa sendiri

"Sesungguhnya mereka yang beriman melihat dosa-dosa mereka seperti batu-batu besar, dan mereka takut ia akan jatuh menghempap mereka. Dan sesungguhnya mereka yang tak beriman berasakan dosa mereka seperti seekor lalat terbang melepasi hidung mereka. 

"Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya apabila Allah mengkehendaki sesuatu kebaikan kepada hambanya, Dia akan menampakkan dosa-dosa mereka di depan mata mereka. Dan apabila Dia mengkehendaki keburukan terhadap hambanya, Dia akan membuatkan mereka lupa akan dosa-dosa mereka,"

Bagi setiap tindakan yang melanggar perintah Allah pasti akan dirasai oleh mereka yang beriman. Amatlah berbahaya jika kita tidak berasakan apa-apa terhadap dosa yang dilakukan, sama ada kepercayaan kita semakin berkurangan, ia menunjukkan hubungan kita dengan Allah yang semakin jauh.

Sabda baginda lagi untuk menguatkan sabda di atas:

"Wahai Abu Dzar! Janganlah engkau melihatkan betapa kecilnya dosa yang dilakukan, tetapi lihatlah siapa yang engkau ingkari,".

7. Utamakan solat

jangan tinggal solat

"Wahai Abu Dzar! Allah telah membuatkan aku untuk cintakan solat seperti makanan dicintai oleh mereka yang lapar, dan air oleh mereka yang dahaga. Dan sesungguhnya yang lapar apabila makan akan kenyang dan yang minum akan hilang dahaga, namun aku tak pernah puas dengan solat,".

Lihatlah bagaimana kecintaan baginda terhadap solat, namun bagi kita, solat bulat-bulat dianggap sebagai kewajipan atau tugasan. Malah ada yang berasakan ia sebagai beban. Baginda juga menerangkan kepentingan solat sebagai jalan untuk memohon sesuatu:

"Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya, selagi engkau masih dalam solat, engkau sedang mengetuk pintu Yang Maha Kuasa, dan sesiapa yang mengetuk pintu tersebut akan dibuka sendiri oleh Dia,".

8. Ingat Allah ketika senang

"Mahukah aku ajarkan sesuatu yang menguntungkan engkau dengan bantuan Allah? Aku menjawab, "Ya Rasulullah S.A.W", dan baginda bersabda: "Kenalilah Allah S.W.T ketika engkau lapang dan senang dan Allah akan mengingati engkau di waktu engkau susah,".

Ya, hakikatnya majoriti daripada kita hanya akan sujud dan berdoa kepada Allah hanya ketika kita memerlukan pertolongan dan dilanda musibah. Apabila hidup kita senang dan lapang, Allah seperti tidak wujud bagi kita. 

9. Jangan terikat dengan dunia

jangan terlalu terikat dengan dunia

"Wahai Abu Dzar! Dunia ini semata-mata penjara bagi orang beriman dan syurga kepada mereka yang tidak,".

Dengan kehidupan kita sekarang ini yang hanya memandang kebendaan sehinggakan semua orang berlumba-lumba untuk menjadi kaya tanpa mengira halal haram, menunjukkan bahawa kita semakin terpesong.

Kita disuruh mencari kekayaan dunia tetapi tidaklah sehingga ia melupakan kita akan hari akhirat. Malah harta itu sendiri akan membuatkan seseorang yang beriman masuk syurga lebih lambat berbanding orang miskin yang beriman.

Rasulullah S.A.W bersabda : “Orang beriman yang miskin akan masuk syurga sebelum orang-orang kaya iaitu lebih dulu setengah hari yang sama dengan 500 tahun.”

10. Jauhi mengumpat

patung anime berhijab

"Wahai Abu Dzar! Berjaga-jagalah dengan mengumpat kerana ia lebih jahat daripada berzina! Jadi aku bertanya, "Wahai Rasulullah S.A.W, kenapa engkau berkata begitu?". Baginda pun menjawab : "Kerana manusia boleh berzina dan bertaubat kepada Allah dan Allah pasti akan mengampunkannya. Tetapi dosa mengumpat tidak boleh diampunkan sehinggalah orang yang diumpat memaafkannya,".

Ini antara perkara yang paling dahsyat, dan dalam masa yang sama paling banyak dilakukan dalam masyarakat ketika ini. Disebabkan kemudahan media sosial, mengumpat menjadi lebih mudah, malah menjadi tabiat seolah-olah ia sesuatu yang baik untuk dilakukan.

nasihat rasulullah

Ingatlah, setiap apa yang diucapkan di dunia akan dipertangungjawabkan di ahkhirat kelak. Jadi sebelum komen di media sosial, fikir masak-masak. Untuk selamat, amalkanlah apa yang dinasihatkan Rasulullah S.A.W kepada Abu Dzar, iaitu langsung tidak mengendahkan gosip :

"Wahai Abu Dzar! Tinggalkan perkara yang tidak melibatkan engkau. Diam daripada berkata-kata perkara yang tidak melibatkan engkau, dan jagalah lidahmu seperti mana engkau menjaga hartamu,".

Perbualan penuh antara Rasulullah S.A.W dan Abu Dzar boleh dirujuk di sini.

Rujukan : 

1. Imam Reza

2. Muslim Vibe




Hakcipta iluminasi.com (2017)