Oleh pada 11 Sep 2019 kategori

Ramai orang yang hidup akan sempat merasakan sengsaranya jatuh cinta. Ada orang yang mampu hilang akal, hilang panduan tidak tahan menanggung penderitaan akibat cinta tidak berbalas.

Rasulullah saw. juga walaupun merupakan utusan Allah swt., tidak terlepas daripada dugaan ini. Walaupun Ummu Khadijah as. akan sentiasa disebut sebagai wanita paling agung dan paling sesuai dengan Rasulullah saw, wanita pertama yang layak dikatakan cinta hati pertama Baginda - adalah seorang wanita bernama Fakhitah binti Abu Thalib.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fakhitah juga dikenali dengan nama Ummu Hani merupakan wanita pertama yang ingin dinikahi Baginda, tetapi apakan daya - perancangan Allah swt. mengatasi segala-galanya walaupun Rasulullah sendiri sebenarnya beberapa kali cuba membina perkahwinan dengan Fakhitah, yang sangat istimewa di matanya.

Siapakah Fakhitah?

kisah cinta rasulullah dengan cinta pertamanya

Fakhitah binti Abu Thalib merupakan anak kepada Abu Thalib bin Abdul Mutalib, jadi secara hubungan darahnya - dia dan Nabi Muhammad saw. adalah sepupu. Abu Thalib adalah adik kepada ayah Nabi Muhammad, Abdullah yang mengambil tanggungjawab membesarkan anak saudaranya itu di rumahnya, bersama dengan tiga orang anaknya, Fakhitah, Ali dan Jaafar.

Selepas dewasa, Muhammad pernah cuba melamar Fakhitah dengan memohon keizinan daripada pakciknya. Itu adalah kali pertama Rasulullah saw. menyatakan rasa cintanya secara rasmi terhadap seorang wanita.

Bagaimanapun, pakciknya Abi Thalib terpaksa menolak permohonan Rasulullah itu kerana sebelum itu - sudah berlaku satu perjanjian di antara dia yang ketika itu menjadi pemimpin utama orang Quraish dengan satu lagi suku bernama Bani Makhzum.

Perjanjian awal itu dibuat setelah pemimpin Bani Makhzum bersetuju menikahkah salah seorang wanita suku mereka dengan seorang lelaki Quraish dan pada zaman tersebut, tradisi itu merupakan satu perkara biasa dalam menjalin hubungan sesama puak yang ada.

Rasulullah mengundurkan diri, melihat wanita yang disukainya dinikahkan dengan seorang lelaki bernama Hubayra bin Makhzum, seorang tokoh yang terkenal di kalangan masyarakat mereka; perkahwinan mereka sangat bahagia, menjadikan Mekah tempat mereka menetap dan dikurniakan empat orang anak.

Peristiwa Israk dan Mikraj bermula dari kediaman Fakhitah

mekah pemandangan sekarang

Selepas menerima wahyu dan diangkat sebagai utusan Tuhan, Rasulullah saw. mula berdakwah mengajak penduduk Mekah supaya meninggalkan amalan dan kepercayaan mereka, kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Mula mendapat tentangan orang Musyrikin, Abu Thalib-lah yang menjadi benteng melindungi Rasulullah daripada serangan mereka yang mahu mendiamkan Baginda. Bagaimanapun, Abu Thalib sendiri belum terbuka hatinya untuk menerima Islam.

Rasulullah saw. kerap kali menjadi tetamu di rumah Fakhitah serta suaminya, yang dikatakan jauh lebih besar berbanding dengan rumah orang kebanyakan lain ketika itu.

Pada waktu tersebut, Fakhitah sudah terbuka hati menerima Islam namun suaminya enggan, tetapi nasib baiklah Hubayra tidak bertindak seperti orang-orang lain yang secara terbuka menentang Baginda. Semasa menjadi tetamu di rumah suami isteri itu pada satu malam dalam tahun 621, Rasulullah saw. yang baru selesai beribadah mendapati Malaikat Jibrail turun menemuinya.

Berlakulah apa yang dinamakan sebagai peristiwa Israk dan Mikraj di mana Rasulullah saw. dibawa melawat beberapa tempat di bumi yang dianggap mulia serta diangkat melihat sendiri syurga.

Fakhitah menjadi orang pertama mengetahui apa yang telah berlaku selepas diceritakan sendiri oleh Nabi Muhammad saw. Walaupun percaya dengan apa yang dikatakan, Fakhitah merayu agar Muhammad sepupunya tidak menceritakan apa yang sudah berlaku kepada masyarakat mereka - ekoran bimbangkan keselamatannya atau dituduh sudah gila.

Bagaimanapun, Muhammad tahu tugasnya adalah menyampaikan apa yang telah berlaku - walau apa pun dugaan yang bakal menimpanya.

Berpisah selepas peristiwa Hijrah

gambaran orang arab dahulu

Hasil daripada panduan yang diterima semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah saw. dan pengikutnya memulakan proses perpindahan yang dinamakan sebagai peristiwa Hijrah, menjadikan kota Yathrib sebagai pusat aktiviti orang Islam yang baru dan dinamakan sebagai kota Madinah.

Fakhitah tidak mengikut perpindahan itu, memilih untuk terus menetap di kota Mekah bersama keluarganya walaupun dia sendiri telah menjadi seorang Muslim.

Sekitar penghujung tahun 629 sehingga bulan pertama tahun 630, tentera Islam mula merancang untuk mengambil alih kota Mekah seterusnya membebaskan kawasan itu daripada kepercayaan lama yang telah bersarang di kalangan masyarakat Quraish sendiri, selepas terbatalnya perjanjian Hudaibiyah yang dipersetujui oleh Quraish Mekah dan orang Islam di Madinah.

Selepas berjaya mengambil alih kota Mekah, Rasulullah saw. memberikan tawaran kepada penduduk Mekah untuk menerima Islam. Tawaran itu diterima oleh ramai pemimpin orang Quraish, termasuklah Abu Sufiyan bin Harb salah seorang pemimpin Quraish yang paling lantang menentang Muhammad.

Malangnya, Hubayra terus enggan menerima dan patuh dengan Islam, menyebabkan dia terpaksa melarikan diri ke sebuah kota bernama Najran yang pada ketika itu dikuasai orang Kristian bagi mendapatkan perlindungan. Secara automatik perkahwinan di antara Fakhitah dengan suaminya yang enggan memeluk Islam terputus atas keengganan Hubayra.

Fakhitah meneruskan hidup sendirian dengan anak-anak yang pada ketika itu masih kecil.

Lamaran kedua Rasulullah saw.

tangan berdoa

Sedih melihat akan nasib sepupunya itu, Rasulullah saw. sekali lagi lagi melamar Fakhitah bagi memastikan kebajikan Fakhitah dan anak-anaknya yang kini tidak berbapa terpelihara.

Bagaimanapun, lamaran kedua ini ditolak oleh Fakhitah sendiri disebabkan oleh rasa bimbang keadaan dirinya yang semakin tua serta mempunyai anak, akan menyusahkan usaha dakwah Rasulullah saw. Selain itu, Fakhitah juga merasakan dia tidak dapat berlaku adil dengan bekas suaminya - seandainya mengahwini Rasulullah ketika itu.

Fakhitah berjaya membesarkan kesemua anaknya sendirian, disamping menjadi salah seorang periwayat hadis yang terkenal - menjadi sumber ramai pengikut Muslim dengan kemampuan menghafal 46 hadis.

Selepas berlakunya peristiwa hijrah dan kembalinya kota Mekah kepada orang Islam, Fakhitah membawa keluarganya berpindah ke Madinah bagi membantu memperkembangkan lagi ajaran Islam yang dibawa oleh sepupunya.

Sekitar tahun ke 40 selepas hijrah; Fakhitah binti Abi Thalib - wanita pertama yang disukai Rasulullah saw. meninggal dunia, meninggalkan banyak jasa serta dianggap sebagai salah seorang sahabat Rasulullah saw. yang paling setia.

Rujukan

Fiqih jihad: sebuah karya monumental terlengkap tentang jihad




Hakcipta iluminasi.com (2017)