Phoolan Devi dilahirkan dalam keluarga miskin kasta Mallah di Uttar Pradesh, India. Semasa membesar, dia terkenal kerana mulutnya yang lancang dan sifatnya yang panas baran. Dia sering bertelagah dengan ahli keluarganya, terutamanya dengan sepupunya yang menjadi ketua rumah apabila datuk dan neneknya meninggal dunia.
Devi telah dikahwinkan oleh keluarganya ketika berusia 11 tahun dengan seorang lelaki miskin yang berusia 3 kali ganda umurnya. Malangnya, suami Devi itu seorang kaki dera. Devi telah melarikan diri akibat tidak tahan dan pulang ke rumah keluarganya. Namun, perkara itu dianggap sebagai sesuatu yang memalukan buat mereka.
BESARKAN TEKS A- A+
Sebagai pengajaran, sepupunya telah membuatkan Devi ditahan di lokap selama 3 hari serta didera ketika dalam tahanan. Setelah Devi dibebaskan, dia dihantar semula ke rumah keluarganya dan diberi amaran bahawa dia patut memperbetulkan tingkah lakunya.
Keluarganya kemudian menyerahkan semula Devi kepada suaminya namun suaminya enggan menerimanya semula. Akhirnya, suaminya bersetuju setelah keluarga Devi menawarkan untuk memberikan beberapa hadiah kepadanya. Selepas itu, suaminya kembali mendera Devi semula dan kali ini Devi melarikan diri sekali lagi.
Mula terlibat dengan kumpulan penjenayah
Kini Devi dipinggirkan masyarakat kerana melarikan diri dari suami merupakan sesuatu perbuatan yang dikecam masyarakat perkampungan di India. Pada tahun 1979. Phoolan Devi telah terlibat dengan kumpulan penyamun.
Pada suatu malam, ketua kumpulan penyamun yang disertainya iaitu Babu Gujjar ingin merogol Devi tetapi seorang lagi ahli kumpulan itu, Vikram Mallah, telah masuk campur dan cuba menghentikannya. Ketika mereka berdua sedang bergelut, Vikram telah membunuh Babu Gujjar dan mengambil alih tempatnya sebagai ketua pada keesokan harinya.
Devi dan Vikram kemudiannya terlibat dalam hubungan percintaan. Pasangan itu telah menerajui kumpulan penyamun dan menjalankan aktiviti merompak di perkampungan sekitar Bundelkhand, India Tengah. Akhirnya, kumpulan itu tiba di kampung suami Devi yang menderanya dahulu. Devi pergi ke rumah lamanya, lalu mengheret suaminya ke tengah jalan sebelum menikam dan membiarkannya untuk mati.
Walaupun begitu, suaminya itu selamat tetapi menjadi buangan masyarakat dan dihina orang kampungnya kerana dia takut untuk melawan kumpulan penyamun itu. Setelah kumpulan itu menjarah kampung suami Devi, pertelingkahan di dalam kumpulan itu semakin menjadi tegang.
Masalah perbezaan kasta
Dua beradik iaitu Shri Ram dan Lalla Ram, yang juga merupakan ahli kumpulan Devi itu sememangnya marah atas kematian bekas ketua mereka, Babu Gujjar, telah mempersoalkan kehadiran Devi dalam kumpulan itu. Kasta juga menjadi perkara yang dipersoalkan.
Adik-beradik Ram itu berasal dari kasta Rajput yang darjatnya lebih tinggi berbanding Devi dan Vikram yang berasal dari kasta Mallah. Mereka berdua itu telah mengambil ahli baru yang terdiri dari kasta Rajput dan sering merendah-rendahkan ahli kumpulannya yang berkasta Mallah. Keadaan tegang itu berakhir dengan pertempuran senjata api dan mengakibatkan Devi dan Vikram melarikan diri.
Namun, ianya tidak lama apabila kumpulan baru yang dibimbing oleh adik-beradik Ram dan ahli kumpulannya yang berkasta Rajput telah berjaya menjejaki Devi dan Vikram. Mereka kemudian telah membunuh Vikram dan menjadikan Devi sebagai tahanan.
Devi ditahan selama 3 minggu dan telah diseksa serta dirogol berulang kali oleh kumpulan itu. Akhirnya Devi berjaya melepaskan diri apabila diselamatkan oleh ahli kumpulan lamanya yang merupakan penyokong Vikram dari kasta Mallah.
Penubuhan kumpulan baru dan misi membalas dendam
Mereka kemudian menubuhkan kumpulan baru di mana ahlinya terdiri dari mereka yang berkasta Mallah sahaja. Ketika itu Devi telah bercinta pula dengan salah seorang ahli kumpulannya iaitu Man Singh Yadav. Mereka telah menyerang dan merompak kasta yang lebih tinggi di seluruh kampung di Bundelkhand. Ini menjadikan Devi dipandang sebagai Robin Hood.
Namun, Devi bukan sahaja sekadar merompak malah ingin membalas dendam terhadap mereka yang pernah menyerangnya sebelum ini. Setelah beberapa bulan merompak, mereka telah kembali ke kampung Behmai pada 14 Februari 1981. Namun, dia tidak menemui seorang pun dari mereka yang pernah menyeksanya. Kebanyakan daripada mereka telah meninggalkan kampung itu untuk mencari pekerjaan.
Pada ketika ini, Devi mempunyai dendam yang sangat mendalam terhadap golongan kasta Rajput. Walaupun tidak menemui mereka yang pernah menyeksanya, dia telah mengarahkan setiap lelaki Rajput termasuk dari kampung berhampiran yang datang untuk menghadiri satu majlis perkahwinan supaya beratur dalam satu barisan panjang. Dia kemudian mengarahkan ahli kumpulannya untuk menembak mati mereka semua. Pada hari itu, 22 orang lelaki Rajput telah kehilangan nyawa.
Walaupun pembunuhan beramai-ramai di Behmai itu telah menggemparkan semua orang, namun Devi dan kumpulannya tidak pernah ditangkap. Selama lebih 2 tahun mereka meneruskan aktiviti merompak dan menyamun di sekitar Uttar Pradesh dan Madhya Pradesh.
Bernasib baik dan malang pada masa yang sama
Phoolan Devi dan Man Singh Yadav akhirnya bersetuju untuk menyerahkan diri kepada pihak berkuasa Madhya Pradesh pada tahun 1983. Dia telah ditahan dan didakwa dengan 84 pertuduhan termasuk merompak dan menculik. Dia telah dipenjarakan selama 11 tahun sementara menunggu untuk dibicarakan. Tanda disangka-sangka, semua tuduhannya digugurkan oleh kerajaan Uttar Pradesh. Phoolan Devi dibebaskan pada tahun 1994.
2 tahun selepas dibebaskan dari penjara, Phoolan Devi telah bertanding untuk jawatan di Parlimen sebagai wakil Parti Samajwadi dan telah terpilih sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1996 dan 1999. Pada 25 Julai 2001 ketika masih memegang jawatan ahli Parlimen, Devi telah ditembak mati oleh 3 lelaki bertopeng di luar kediamannya.
Ia dipercayai sebagai satu tindak balas terhadap pembunuhan beramai-ramai terhadap kasta Rajput yang dilakukan Devi dan kumpulannya di kampung Behmai dahulu. Hanya seorang penembak iaitu Sher Singh Rana sahaja yang berjaya ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada tahun 2014.