deez nuts sebagai calon presiden amerika syarikat

Populariti yang dicapai oleh gerakan bebas #undirosak dilihat sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada tahap pengaruh parti-parti politik sedia ada di negara kita, yang selama ini kelihatan terhad kepada 2 perikatan besar sahaja.

Dalam sistem demokrasi di mana sesiapa saja boleh meletakkan dirinya sebagai calon, kadangkala berlaku beberapa perkara yang tidak dijangkakan berlaku dalam proses pilihanraya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Itulah yang berlaku dalam proses pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang telah dimenangi Donald Trump. Oleh kerana tidak berpuas hati dengan kewujudan dua parti dominan serta proses pilihanraya itu sendiri, seorang individu bertindak nekad meletakkan dirinya sebagai salah seorang calon Presiden Amerika Syarikat. Namanya? - "Deez Nuts."

DEEZ NUTS - CALON PRESIDEN USA

deez nuts keluar berita

Nama Deez Nuts mula menjadi terkenal selepas berjaya mendapat 9 peratus undi menyokong melalui proses undian Public Policy Polling (PPP) daripada kawasan Carolina Utara. PPP adalah sistem undian melalui telefon yang dilakukan sebagai peramal kepada keputusan pemilihan sebenar, dengan keputusan undian yang didapati melalui PPP kerap menjadi petunjuk awal pilihan pengundi.

Deez Nuts juga dilaporkan berjaya mencapai undian 8 peratus bagi kawasan Minnesota dan 7 peratus bagi Iowa. Walaupun angkanya kecil jika dibandingkan dengan angka yang diperolehi oleh Donald Trump dan pencabar beliau, Hillary Trump - kemampuan "Deez Nuts" menjadi pencabar Trump dan Clinton dalam tinjauan PPP membuatkan ramai orang tertanya-tanya siapakah Deez Nuts.

Deez Nuts berjaya mengekalkan momentumnya sehingga pertengahan Ogos 2016, apabila berjaya mengatasi cabaran calon Presiden daripada Green Party, Jill Stein . Cabaran Deez Nuts diakhiri dalam pemilihan peringkat seterusnya. Setelah wartawan menyiasat melalui rekod borang penamaan calon yang dihantar kepada badan Federal Elections Commission, terbongkarlah siapa calon di belakang kempen 'Deez Nuts' yang telah menjadi buah mulut ramai orang .

IDENTITI SEBENAR DEEZ NUTS

deez nuts poster

Deez Nuts adalah seorang remaja berusia 15 tahun (ketika itu) bernama Brady C. Olson. Dia meletakkan dirinya sendiri sebagai calon, ekoran kekecewaannya terhadap sistem pilihanraya Amerika Syarikat yang dilihat terlalu bergantung dengan sistem dua parti utama (Demokratik dan Republik) serta rasa kurang bersetuju dengan calon-calon Presiden yang ada.

Apabila ditanya kenapa dia yang baru berusia 15 tahun merasa dirinya layak menjadi calon Presiden, jawapannya mudah - borang pencalonan calon Presiden Amerika Syarikat boleh diisi oleh sesiapa saja. Brady mengkritik ketiadaan kolum untuk pengesahan umur calon dalam borang tersebut dan isu pencalonan yang tidak menetapkan sebarang kriteria tetap, jadi pencalonan sangat-sangat terbuka untuk dimanipulasi mana-mana pihak yang mahu.

Brady memang tahu syarat utama seseorang layak menjadi calon jawatan Presiden dimestikan berumur lebih 35 tahun. Jadi dia melakukan kempen melalui nama 'Deez Nuts' hanyalah sebagai satu bentuk protes suka-suka, pada awalnya.

KEMENANGAN KECIL

deez nuts trump clinton presidential

Walaupun terdapat 585 pencalonan merebut jawatan Presiden dengan ramai lagi calon-calon 'parodi' didaftarkan, Deez Nuts berjaya mendapatkan undian yang banyak dalam undian secara PPP.

Apa yang lebih mengkagumkan, pencapaian Deez Nuts menjalankan kempen yang dilakukan hanya secara viral dan dalam talian, berjaya mengatasi rekod pencapaian terbaik calon bebas sebelum itu yang dipegang oleh calon Ross Perot, pada tahun 1992.

Menggunakan nama 'Deez Nuts' sempena nama yang diperkenalkan dalam lagu rap oleh Dr.Dre sebagai parodi, secara keseluruhannya Deez Nuts berjaya mengatasi ramai calon lain daripada parti Republican. Deez Nuts juga berjaya menyaingi pencapaian Ted Cruz dan Marco Rubio, dua calon yang lebih popular serta lebih berpengalaman.

Kejayaan meletakkan namanya sebaris dengan Donald Trump dan Hillary Clinton merupakan satu kemenangan besar buat Deez Nuts. Mengakui dirinya sendiri tidak menyangka sesuatu yang dilakukan secara main-main sebagai satu bentuk protes dapat menjana sokongan ramai pihak, Brady pada awalnya tidak meletak harapan besar.

Apa yang penting padanya, bukan kemenangan. Dia berharap mesej protesnya sampai kepada orang ramai. Menurut Brady, dia merasa kecewa melihat rakyat Amerika terpaksa memilih di antara dua calon yang tidak digemari (Trump dan Clinton) dan tidak mahu berbuat apa-apa.

"Kita tidak suka keduanya, tapi kita tetap memilih salah seorang daripada mereka," kata Brady.

AGENDA DEEZ NUTS

deeznuts mencabar trump dan clinton

Kejayaan perjuangan politik parodi Deez Nuts membuktikan satu perkara yang harus diakui semua pihak di Amerika Syarikat; rakyat Amerika mahukan alternatif terhadap sistem dua parti yang telah digunapakai sekian lama.Itulah yang dilaporkan oleh Jim Williams, juruanalisa daripada PPP yang mengawal selia undian yang dilakukan di Carolina Utara. Pada mulanya nama Deez Nuts hanya dimasukkan ke dalam undian sebagai satu ujikaji suka-suka. namun tidak disangka-sangka, kempen Deez Nuts dilihat lebih berjaya daripada sepatutnya.

Walaupun kempennya berbentuk parodi, manifesto Deez Nuts mengandungi banyak perkara dan cadangan yang baik serta serius tonanya. Dalam manifestonya, Brady menekankan beberapa cadangan berkenaan pendatang tanpa izin, perbelanjaan kerajaan, isu agama, isu hubungan luar serta hak mengundi.

Mengakui dirinya penyokong kuat kepada Bernie Sanders dan Gary Johnson sebagai Presiden, Brady cukup berminat dengan politik. Pemilihan Presiden Amerika Syarikat 2012 dan pemilihan Gabenor 2014 dilihat Brady sebagai mementingkan pihak tertentu, dengan calon-calon yang lebih layak gagal mendapat peluang melaksanakan agenda mereka.Tewas dalam percubaan kali pertama tidak melunturkan semangat Brady untuk mencuba lagi di masa akan datang.

Bagaimanapun, nama Deez Nuts nampaknya terpaksa dihentikan penggunaanya, berikutan akta baru diperkenalkan oleh Federal Election Commission, dalam membendung masalah calon-calon parodi daripada terus mengambil bahagian dalam pilihanraya Presiden. Bagi Brady, minatnya terhadap politik mungkin akan mendorongnya melakukan kemunculan semula, cuma nama Deez Nuts terpaksa dikuburkan.

Kini, "undi untuk Deez Nuts" menjadi satu simbol protes yang bermula kecil, tapi tetap meninggalkan impak besar pada sistem pilihanraya Amerika.

Rujukan

TIME

HuffingtonPost

USA Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)