Budaya pemakaian topi keledar bagi penunggang motorsikal di negara kita agak berbeza dengan dua negara jiran terdekat kita, iaitu Singapura dan Thailand.Di kedua-dua negara tersebut, pemakaian topi keledar tutup penuh muka (full face) adalah lebih biasa berbanding di negara kita, khasnya bagi penunggang motorsikal jenis cub.
Selain itu, budaya pemakaian topi keledar bagi kanak-kanak juga agak kurang diberi penekanan. Sudah menjadi satu kebiasaan pula sekiranya anda meninjau di kawasan sekolah, bagaimana ibu atau ayah akan menunggang dengan topi keledar sementara anaknya pula dibiarkan saja tiada dipakaikan perlindungan di kepala.
BESARKAN TEKS A- A+
Adakah perlu masyarakat kita mengubah budaya pemakaian topi keledar untuk kanak-kanak dengan lebih meluas? Nyata perlu. Namun apa yang menjadi perbincangan kali ini - adakah helmet full face lebih selamat berbanding topi keledar jenis lain? Jom kita huraikan.
Jenis-jenis helmet
Pertama sekali, jangan canggung pula kalau kami gunakan terus istilah helmet menggantikan topi keledar. Selain lebih pendek, istilah helmet memang wujud dalam daftar perkataan bahasa kita ya!
Secara amnya, semua helmet boleh dibahagikan kepada tiga jenis; helmet tutup penuh muka (full face), helmet tidak tutup muka (open face) dan helmet separuh (half coverage helmet) yang cukup popular kerana rekaannya yang diminati ramai.
Penggunaan motorsikal di seluruh dunia berbeza daripada segi keperluannya mengikut benua. Di Amerika Syarikat misalnya, masyarakat mereka menggunakan motorsikal sebagai alat rekreasi dengan hanya 2% daripada jumlah pendaftaran kenderaan, adalah untuk pendaftaran motorsikal.
Bagaimanapun di benua Asia khasnya, motorsikal menjadi antara metode utama pergerakan dan pengangkutan pilihan masyarakat, jadi kadar kemalangan melibatkan penunggang motorsikal adalah jauh lebih tinggi. Di Vietnam misalnya, lebih 80% kecederaan atau kerosakan yang berlaku di bahagian kepala adalah disebabkan kemalangan motorsikal.
Isu tatacara pemakaian helmet di seluruh dunia
Bercakap tentang Thailand, kajian berkenaan kadar kemalangan di sana menunjukkan setiap 1 daripada 4 insiden berlaku melibatkan motorsikal, melibatkan penunggang yang helmetnya tercabut semasa impak. Ini menunjukkan walaupun budaya pemakaian 'full face' lebih meluas di sana, penunggang mereka masih ramai enggan memakainya dengan sempurna.
Helmet full face mempunyai persepsi baik, dikatakan mampu melindungi kepala penunggang dengan lebih baik serta mengurangkan risiko kecederaan lebih besar. Dalam beberapa kajian yang telah dijalankan terhadap mangsa-mangsa kemalangan, didapati secara statistiknya 50% peratus daripada penunggang kebiasaannya gagal mengikat helmet dengan baik.
Amalan pemakaian helmet juga didapati mempunyai banyak stigma-stigma tersendiri yang menyebabkan kesedaran tentangnya kurang, khasnya di negara-negara membangun. Anak-anak muda didesak rakan-rakan untuk tidak menggunakan helmet supaya tak nampak macam 'mat skima', cuaca panas dikatakan penyebab helmet tidak dipakai dan helmet dikatakan merosakkan rambut yang sudah didandan, khasnya bagi wanita.
Selain itu masalah berkaitan helmet dengan individu yang memakai sesuatu di kepala juga belum ditemui solusinya, seperti pemakai serban atau lelaki Sikh yang perlu mengenakan turban.
Adakah helmet 'full face' lebih selamat berbanding helmet lain?
Untuk membandingkan tahap keselamatan helmet yang ada, kita juga perlu membezakan di antara tahap kecederaan yang boleh terjadi akibat kemalangan. Secara umumnya, terdapat dua jenis kecederaan yang cuba dilindungi oleh helmet kita - hentakan di kepala dan juga kecederaan pada bahagian muka.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di China, Brazil dan Perancis yang menjadi rujukan penulis - kesemua kajian menunjukkan tiga persamaan yang serupa.
Yang pertama, pemakaian helmet jenis 'separuh' tidak membantu dalam mengurangkan risiko kecederaan. Ini kerana helmet jenis tersebut tidak mempunyai mekanisme yang cukup bagi mengalirkan getaran atau hentakan yang terjadi di bahagian kepala, selain daripada kekurangan pelindung yang mampu menyerap impak hentakan.
Kedua - daripada statistik kecederaan atau impak di bahagian tengkorak kepala, tidak ada perbezaan yang signifikan sekiranya kita membandingkan impak yang berlaku pada penunggang dengan helmet 'full face' dan penunggang dengan helmet 'open face,' sekiranya kedua-duanya dipakai dengan kemas.
Bagaimanapun, apa yang membezakan kedua-dua jenis helmet ini adalah bentuk perlindungan pada muka.
Kemenangan untuk helmet 'full face'
Apabila diukur tahap kecederaan yang berlaku pada bahagian muka, khasnya bahagian dagu, tekak, hidung dan mulut - terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara perlindungan yang diberikan helmet 'full face' dengan helmet-helmet lain.
Kesemua kajian mendapati risiko berlakunya kecederaan pada bahagian wajah meningkat tiga kali ganda seandainya seseorang penunggang menggunakan helmet selain jenis 'full face'.
Apa yang cuba penulis sampaikan di sini adalah sudah tiba masanya masyarakat Malaysia cuba membudayakan pemakaian helmet jenis 'full face' pada semua penunggang motorsikal. Ini kerana penawaran keselamatan yang diberikan oleh helmet jenis tersebut jauh lebih baik berbanding kesemua helmet jenis lain.
Walaupun harganya agak mahal berbanding jenis lain, kos yang perlu dibayar adalah berbaloi dengan perlindungan yang mampu kita perolehi.
Berdasarkan kepada kajian-kajian, penulis ingin mengesyorkan agar masyarakat kita turut sama dapat menghentikan pemakaian helmet jenis setengah atau 'kura-kura' kerana sudah dibuktikan gagal berfungsi dengan baik dalam situasi kemalangan.
Kepada pihak kerajaan pula, sudah tiba masanya kita menambah baik standard ujian helmet negara kita iaitu MS 1 : 1996 kerana standard itu tidak memenuhi keperluan ujian yang lebih tinggi, seperti diamalkan di Singapura yang jauh lebih ketat tahap piawaiannya.
Rujukan
The United Nations Motorcycle Helmet Study (PDF)
How Safe Is Your Motorcycle Helmet (PDF)
Does a full-face helmet effectively protect against facial injuries? (PDF)