Oleh pada 28 Jul 2023 kategori

Membuat pinjaman bank merupakan kaedah utama majoriti rakyat Malaysia membeli kenderaan. Bagi mereka yang lebih berkemampuan, beli secara tunai mungkin pilihan utama mereka.

Walaupun demikian bagi segelintir lagi individu yang mungkin berdepan bermacam kekangan, membeli kereta orang lain dengan perjanjian sambung bayar mungkin terpaksa menjadi pilihan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Telah bermacam amaran dikeluarkan bagi memastikan 'perjanjian' sebegini tidak dilakukan namun malangnya setiap hari, ada saja keluhan mangsa yang terjejas disebabkan kegopohan mereka sehingga terpaksa menanggung kerugian besar.

Kenapa perjanjian sebegini sepatutnya tidak dilakukan? Ini lima sebab utama kenapa kita semua harus mengelakkannya.

1. Semuanya hanya atas janji mulut semata-mata

janji mulut beli kereta sambung bayar

Dalam setiap urusan berkait pertukaran hak milik kenderaan, apa saja transaksi yang berlaku harus melibatkan badan utama iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan. Sebarang pertukaran hak milik yang berlaku secara suka rela tanpa penglibatan JPJ, akan dianggap tidak sah.

Termasuklah perjanjian beli kereta sambung bayar yang biasa berlaku, walaupun wang ringgit sudah berpindah tangan.

Ini kerana atas kertas, tidak ada sebarang dokumentasi atau rekod yang benar-benar dianggap terpakai dalam mengesahkan perjanjian yang dibuat. Apa yang berlaku hanyalah persetujuan di antara dua pihak, atas dasar percaya.

Pada awalnya memanglah manis, kerana di pihak penjual mereka ingin menjual kenderaan mungkin kerana tidak mampu membayar sementara pembeli pula tidak layak melakukan pinjaman tetapi ingin memakai kereta.

Sekiranya berlaku apa-apa yang tidak elok, barulah kita akan nampak kesannya. Apa boleh berlaku?

2. Anda sebagai pembeli tidak ada apa-apa hak

perjanjian jual beli kereta

Kita yang membeli jenis percaya dengan orang. Setiap bulan kita bayarkan ansuran bulanan kepada penjual, kerana kita tahu kereta itu atas nama dia. 

Sedar tak sedar satu hari sedang anda memandu, kereta anda di tahan tukang tarik kereta yang meminta anda melepaskan kenderaan kepada mereka. Anda terpinga-pinga mengaku yang anda tak pernah miss bayar setiap bulan.

Bingung, anda cuba menelefon tuan punya kereta asal.

Tidak berjawab. Beberapa hari anda cuba, langsung tidak berbalas panggilan dan mesej anda. Tiada kenderaan, anda cuba mengira kembali sudah beberapa bulan anda bayar ansuran kereta sambung bayar itu. 

Besar juga kerugiannya. Apa boleh anda buat?

3. Pegawai polis tak ada kuasa nak bantu anda

polis tidur di balai

Kecewa, anda ke balai polis ingin membuat laporan. Atas dakwaan apa? Tuan punya kereta telah menghilangkan diri, selepas anda tolong membayar kereta dia selama beberapa bulan? 

Anda bawa semua surat perjanjian yang menyatakan persetujuan yang telah dicapai, tetapi realitinya bawalah satu kotak dokumen sekalipun - tidak ada apa-apa yang boleh anda buat jika kita sandarkan situasi anda kepada undang-undang.

Ini kerana apa yang anda telah persetujui, berlawanan dengan undang-undang. 

Apa yang boleh anda lakukan sekiranya kenderaan 'milik' anda sudah ditarik, adalah pergi mencari tuan punya asal dan berbincang; terpaksa bergantung kepada tolak ansur mereka. 

Seandainya dia kata dia sendiri dah malas nak urus, nak biar saja kereta kena lelong, anda nak marah macam mana pun tak ada guna.

4. Penjual pula masih menjadi tuan punya rasmi

kemalangan kereta eu184

Di pihak penjual pula, anda mungkin merasakan menawarkan kenderaan milik anda dalam skim sambung bayar adalah jalan keluar termudah bagi anda mengelak dari bebanan hutang.

Mungkin banyak pihak penjual sebegini terlepas pandang satu perkara - apa saja yang berlaku melibatkan kenderaan itu walaupun dipandu oleh pembeli 'baru', risikonya jatuh ke atas kita.

Pembeli melanggar lampu merah? Nama anda akan disaman. Pembeli memandu melebihi had laju? Anda yang kena bayar. Pembeli melanggar orang lain dan lari? Anda kena. 

Lebih menakutkan, sekiranya anda ditangkap melakukan perjanjian sebegini serta telah 'selamat' menjual kenderaan anda kepada orang lain atas dasar percaya, anda sebagai tuan punya kereta boleh didenda di bawah Akta Sewa Beli 1967 tidak melebihi RM10,000, 3 tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

5. Kereta hilang siapa tanggung? 

curi kereta taktik penjahat

Dalam isu kecurian atau kehilangan kereta melibatkan kereta sambung bayar ni, harus penulis perjelaskan..

Sekiranya mana-mana kenderaan sambung bayar dicuri atau hilang semasa digunakan pembeli, kedua-dua pihak baik penjual dan pembeli akan menanggung kerugian masing-masing.

Ini kerana pertukaran tangan secara tidak sah ini secara automatik tidak melayakkan apa saja tuntutan kerugian dibuat daripada pihak insurans atau takaful.

Kami yakin pasti akan ada komplot nak menipu akan dibuat pihak pembeli dan penjual dalam menangani masalah ini agar pampasan dapat dibuat, tetapi kami tegaskan - orang menipu ni, hati dia tak tenang.

Lagipun, peratusan cubaan menipu untuk berjaya sebenarnya sangat rendah.

6. Ketahui scam kereta sambung bayar popular

kes sambung bayar fb 554

Oleh kerana populariti kereta sambung bayar memang benar-benar berlaku di kalangan ahli masyarakat kita yang terdesak, telah wujud satu sistem penipuan atau scam melibatkan kenderaan sambung bayar ini.

Ada di kalangan individu tidak bertanggungjawab akan menyewa kereta dalam satu jangka masa panjang daripada pihak ketiga, kemudian membuka iklan kononnya menawarkan kereta sambung bayar - menggunakan kereta sewa tersebut!

Pembeli yang mudah diperdayakan atau naif ini, mudah bersetuju kerana harga yang ditawarkan menarik selain percaya mereka dapat membantu orang terdesak keluar dari masalah kewangan, dengan menjadi penyambung bayarannya.

Selepas membayar wang deposit pembeli pun membawa pulang kereta dengan gembira. Dua minggu kemudian, hadir beberapa orang tidak dikenali serta polis mengadu kenderaan yang telah anda beli dengan deposit ribu-ribu itu sebenarnya kereta sewa.

Apa yang boleh anda buat selepas itu? Tak ada apa, selain menggigit jari memikirkan wajah gembira penjual celaka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)