Sebagai seorang peminat motorsikal, penulis seronok melihat bagaimana meriahnya jalan raya kita dengan bermacam jenis motorsikal baru selepas penjualan motorsikal di negara kita kembali meriah tidak lama dahulu.
Model-model baru yang ada sama ada dalam bentuk moped, sportbike atau skuter memang cantik-cantik belaka tetapi pada hati penulis belum cukup untuk mengembalikan trend permotoran era 90-an dan awal milenium dulu yang membawa fenomena unik.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada hemat penulis, trend motorsikal kini dipandang sebagai alat pengangkutan tetapi bagi penunggang era tersebut, motorsikal adalah hidup mereka. Tidak ada model lain yang melambangkan era tersebut, melainkan lima model motorsikal ini.
1. Yamaha TZM
Motor paling ramai peminat serta menjadi kebanggan anak muda yang memilikinya, geng-geng TZM memang merajai jalan raya satu masa dulu. Ini kerana motorsikal ini merupakan motorsikal paling kecil yang menyerupai sebuah motorsikal kejohanan MotoGP satu masa dulu.
Dengan kelajuan maksima 200km/j (ya benar, penulis dah cuba dan angka ini terbukti mampu dicapai) serta kuasa kuda sebanyak 35bhp, rangka besar TZM membuatkan motorsikal ini agak segak untuk dipandu sesiapa saja walaupun badannya sedikit besar.
Satu saja masalah motor ni - sistem injap kuasanya yang selalu sangat meragam. Sistem injap yang dinamakan YPVS (Yamaha Power Valve System) akan mengaktifkan kuasa tambahan pada enjin apabila putaran enjin tiba ke satu tahap, namun kerap bermasalah. Motorsikal masih boleh berjalan tapi 'ummph' dia tak ada.
Rekaannya nyata klasik serta masih relevan sehingga kini, tak jemu dipandang. Kami tidak faham mengapa Yamaha tidak pernah menambah baik model popular ini untuk diteruskan pengeluarannya.
2. Honda NSR 150RR
Seteru utama Yamaha TZM. Kalau berhenti di lampu merah, mesti kedua-dua rider saling jeling-menjeling. Berbeza dengan TZM yang lebih besar, NSR yang dihasilkan di Thailand datang dalam versi RR di Malaysia tetapi anak muda ketika itu, sudah pastilah iri hati melihat versi SP yang hanya dijual di Thailand.
Lebih berkuasa, lebih cantik serta mempunyai lengan ayun tunggal yang seksi - ramai peminat NSR dulu menghabiskan wang untuk menukarkan NSR 150RR versi Malaysia agar lebih mirip dengan NSR150SP versi Thailand.
Mahal juga kosnya ketika itu sehinggakan ada kawan penulis habislah duit PTPTN dia untuk bikin transformasi tersebut.
Penulis pernah memandu NSR beberapa kali dan penulis lebih gemarkan enjin NSR yang tidak segarang TZM. Posisi tunggangan NSR juga lebih selesa selain menyelit pun lebih mudah kerana kerampingannya.
3. Kawasaki ZXR250
Motor paling terkenal kerana hos 'mesin basuh' yang dipasang pada tangkinya, Kawasaki ZXR250 merupakan antara jentera idaman penulis satu masa dulu berbanding adiknya ZZR250. ZXR250 kelihatan garang dan yang paling penting, semasa dipandu menghasilkan bunyi yang sangat enak untuk didengari.
Penulis hanya dua kali sahaja memandu motorsikal ini dalam jarak dekat jadi nak komen lebih-lebih tentang pemanduannya, tak adillah. Mereka yang memilikinya kata motor ini tak sesuai untuk ke kedai, lebih sesuai untuk perjalanan jarak jauh. Betullah agaknya.
Mempunyai saiz yang agak besar, keunikan motor ini adalah pada enjinnya yang mempunyai empat silinder selari menghasilkan pecutan yang lancar serta mengasyikkan lebih mirip dengan 'superbike' sebenar. Bagaimanapun, disebabkan harganya yang agak tinggi - ramai hanya mampu meneguk air liur melihat motorsikal itu diparkir.
Pengganti sebenar kepada model ini baru saja dilancarkan pada bulan Oktober tahun 2019 dengan nama Kawasaki Ninja ZX-25R, menggunakan sistem enjin serupa yang pastinya akan membuatkan ramai golongan ayah-ayah muda terasa hendak kembali ke zaman muda mereka.
4. Suzuki TXR150
Kredit foto : Group Suzuki TXR 150 Alor Setar
Sama ada anda pemilik versi Panther, Jerung atau Gamma; model popular daripada jenama Suzuki ini merupakan model paling hampir dengan motorsikal ikonik Suzuki Katana yang satu ketika dulu merupakan salah satu model rujukan rekaan motorsikal zaman moden.
Bagaimanapun populariti ketiga-tiga model ini tetap dibayangi dua jenama pendahulu iaitu Yamaha dan Honda, menyebabkan TXR kerap kali menjadi alternatif berbeza kepada peminat motor yang mahukan kelainan.
Motor polis panther jerung
Mungkin juga disebabkan oleh identiti Suzuki TXR150 Panther ketika itu yang digunakan sebagai motorsikal rasmi Polis Di-Raja Malaysia. Penulis tak pernah bawa motorsikal ni walau sekali pun, hanya duduk tepi usik-usik enjin adalah sebelum tuan dia jeling-jeling.
5. Yamaha RXZ
Kredit foto : Aikk Amyy
Motor mat rempit! Kalau bawa RXZ mesti budak jahat! Motor rasmi samseng sekolah! Bermacam gelaran buruk diberikan oleh generasi terdahulu kepada pemilik Yamaha RXZ, walaupun dia mungkin seorang mat skema yang mendengar nasihat ibu bapanya.
Begitulah betapa besarnya sinonimnya motor ini dengan masyarakat kita sehinggakan jenama motor pun boleh jadi bukti perangai seseorang. Walaupun demikian, ini tidak dibantu oleh kumpulan remaja nakal zaman dahulu yang entah kenapa tertarik sangat dengan motor ni.
Sehingga kini penulis tidak faham apa buruknya motor ini. Rekaannya kemas. Warnanya yang paling popular adalah warna hijau! Nak kata laju, ada motor lain lagi laju. Pakai kemeja bawa motor ni pun ada makcik-makcik yang jeling cop kita tak boleh buat menantu.
RXZ banyak digambarkan sebagai simbol rempit sejati dalam filem
Walaupun dah hampir 9 tahun dihentikan pengeluarannya, sehingga kini pemilik Yamaha RXZ terus berdepan dengan persepsi ini sehinggakan mereka sanggup berkumpul beramai-ramai memandu dengan sopan dan berhemah; bagi membuktikan mereka bukan kumpulan bermasalah.
Selagi filem-filem dan drama Malaysia seperti filem 'Remp-It' terus menggunakan model ini untuk menggambarkan aktiviti perlumbaan haram, penunggang RXZ yang berhemah akan terus dipalit persepsi negatif. Jadi tolonglah produser filem, buatlah filem mat motor yang menggunakan model lain pula.