Oleh pada 30 Aug 2017 kategori

Imej: Getty / express.co.uk

Jika anda berasa gelisah dan gementar setiap kali 'terbang' di udara, anda bukan bersendirian. Semua orang juga merasakan begitu. Namun atas tuntutan kerjaya atau keinginan untuk melancong membuatkan kita terpaksa juga harungi perasaan tersebut.

Menurut statistik, penerbangan komersil sebenarnya agak selamat. Pada tahun 2008 sehingga 2013, risiko penumpang Amerika Syarikat yang mati akibat perjalanan udara hanya satu dalam 45 juta penerbangan. Ini bermaksud anda boleh terbang setiap hari selama 123,000 tahun tanpa terlibat dalam nahas yang membawa maut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Liputan media yang meluas menjadi punca paranoid dikalangan kita. Hakikatnya, purata kadar mangsa yang terselamat daripada kemalangan udara melibatkan kapal terbang adalah hampir 96% dari tahun 1983 hingga 2000. Bahkan apabila berlakunya kebakaran atau kerosakan besar yang lain, hampir 76% penumpang terselamat dalam nahas kapal terbang.

Faktor kematian juga bergantung kepada respon penumpang pada setiap detik kecemasan dan sejauh manakah anda bersedia dari segi mental untuk menghadapi saat-saat genting ketika kemalangan berlaku.

40% kematian nahas kapal terbang boleh 'dicegah'

Sebelum anda bercadang untuk menaiki mana-mana penerbangan, anda mesti baca petua-petua berikut yang diambil dari buku The Survivor's Club tulisan Ben Sherwood seperti yang dilaporkan oleh 'The Art of Manliness'. Namun, tips ini bukan untuk membuat anda lebih paranoid untuk menaiki kapal terbang, tetapi mampu memberi kesedaran dan menambah ilmu sebagai persediaan menghadapi kecemasan.

Menurut data dari Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB), 40% daripada kematian melibatkan nahas kapal terbang berlaku dalam keadaan yang dapat diatasi. Dalam erti kata lain, banyak kes kematian tersebut boleh 'dicegah' jika langkah-langkah yang betul diambil. Bak kata orang, berpantang maut sebelum ajal bukan?

1. Anda hanya mempunyai 90 saat untuk keluar

Apa yang membunuh kebanyakan penumpang dalam sesebuah nahas pesawat ialah api, bukannya impak kemalangan itu. Secara purata, ia mengambil masa cuma 90 saat untuk api meletupkan fiuslaj pesawat yang terhempas. Jadi sebaik sahaja pendaratan kecemasan berlaku, ambil tindakan segera untuk mendapatkan pintu kecemasan (emergency exit) dan meninggalkan pesawat.

2. Kekal sihat dan bertenaga

Menurut evakuasi tiruan yang dijalankan oleh FAA, penumpang yang terselamat daripada nahas pesawat adalah kebiasaannya golongan lelaki berusia muda dan berbadan kurus. Ini kerana mereka yang bertubuh cergas lebih mudah untuk menavigasi lorong-lorong sempit dengan laju dan tepat. Ini sekaligus memotong masa evakuasi mereka kira-kira 31% berbanding dengan golongan yang lebih berusia yang mampu bergerak dengan perlahan dengan ukur lilit yang lebih lebar.

3. Pilih pesawat yang lebih besar dan elakkan karier serantau

10 tips menyelamatkan diri jika kapal terbang anda naiki terhempas 1 386

Imej: therooster.com

Lebih besar pesawat, lebih tinggi kadar untuk anda terselamat jika berlaku kemalangan. Ini adalah kerana pesawat yang lebih besar mempunyai lebih banyak penyerapan tenaga dalam sesebuah kemalangan. Karier serantau yang sering mengupah juruterbang kurang berpengalaman dan lebih waktu bekerja, mempunyai dua kali ganda kadar insiden kemalangan melibatkan karier kebangsaan.

4. Duduk berhampiran pintu kecemasan

Penumpang yang terselamat dari nahas kapal terbang seringkali adalah mereka yang duduk dalam 5 baris dari pintu kecemasan. Mereka yang terpaksa bergerak lebih daripada 5 baris untuk keluar mempunyai peluang hidup yang lebih tipis. Duduk di kerusi lorong (aisle seat) juga memberi anda peluang hidup yang lebih baik berbanding duduk di kerusi terletak berhampiran tingkap (window seat).

5. Jangan rasa terlalu selesa dan selamat

Terdapat suatu keadaan dimana otak anda menganggap perkara kecemasan ini adalah biasa. Ianya boleh menyebabkan anda tidak berganjak dari kerusi ketika nahas berlaku. Penumpang yang terlalu kerap menaiki kapal terbang lebih cenderung dan berisiko untuk mengalami apa yang dipanggil 'normalcy bias' ini. Jangan terlalu yakin dan selalulah lakukan pemeriksaan seperti berikut :

  • Ketahui jarak (jumlah baris tempat duduk) dari pintu kecemasan
  • Tentukan tugas masing-masing untuk menjaga kanak-kanak tertentu dengan pasukan travel anda
  • Susun kedudukan penumpang (pasukan travel anda) mengikut saiz tubuh agar tidak berlaku halangan ketika kecemasan
  • Jangan terlalu mengharapkan bantuan dari pramugara atau pramugari ketika berlaku kecemasan.

6. Baca pamplet keselamatan dan patuh arahan atendan penerbangan

Bacalah pamplet penerangan keselamatan dengan teliti. Dengar penjelasan pra-penerbangan dari atendan sambil melihat pamplet keselamatan. Ianya boleh menyelamatkan nyawa anda. Sentuh satu persatu atau lihat sendiri peralatan kecemasan yang diterangkan agar lokasinya mudah diingati ketika berlaku kecemasan.

7. Ingat peraturan +3/-8

Hampir 80% kemalangan pesawat berlaku dalam masa 3 minit pertama selepas berlepas atau 8 minit terakhir sebelum mendarat. Pada masa ini, perlu lebih peka dan bersedia untuk mengambil tindakan. Jangan tanggalkan kasut dan gambarkan pelan tindakan anda. Pastikan tali pinggang keselamatan anda diikat dengan selamat. Elakkan makan dan minum semasa penerbangan.

8. Jika topeng oksigen anda jatuh, pakainya segera

Ia hanya mengambil beberapa saat sahaja membolehkan anda berada dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kekurangan oksigen. Oleh itu, jika topeng oksigen anda jatuh, letakkannya segera sebelum sibuk membantu orang lain.

9. Ambil posisi dakapan

10 tips menyelamatkan diri jika kapal terbang anda naiki terhempas 2 193

Imej: deviousgentlemen.com

Posisi dakapan (brace position) boleh meningkatkan peluang anda untuk terselamat semasa pendaratan kecemasan. Selain mengikat tali pinggang keselamatan anda dengan rendah dan ketat, bengkokkan diri anda dengan dahi anda di atas pangkuan anda dan lengan anda memegang lutut.

Sekiranya sempit, bersandar ke hadapan supaya dahi anda menyentuh kepala tempat duduk di hadapan anda. Sekiranya bersama bayi, peluklah bayi itu sambil siku anda bersentuhan seperti dalam gambarajah di atas.

10. Lupakan harta benda, ingatlah orang yang tersayang

Biarpun tips terakhir ini kedengaran seperti klise, tetapi apabila kecemasan berlaku anda mungkin tidak dapat berfikir dengan waras. Ingatlah untuk keluar bersama anak-anak anda dari pesawat dan seeloknya berbincanglah dengan pasangan anda terlebih dahulu akan siapa yang akan bertanggungjawab mengambil setiap anak.

Tinggalkan bagasi, beg tangan atau dompet anda, walaupun anda kelihatan mempunyai banyak masa untuk mengambilnya. Tiada apa yang lebih penting dari nyawa anda dan orang tersayang.

Rujukan:

1.    mercola.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)