Jika anda mendapatkan bekalan vitamin atau ubat-ubatan dari farmasi, pasti anda menyedari wujudnya lapisan keselamatan pada penutup ubat tersebut yang perlu dikoyakkan. 

Penutup itu direka sebagai satu ciri keselamatan yang dibangunkan oleh syarikat pengeluar demi keselamatan pengguna dalam melindungi kita daripada ubat-ubatan yang sudah tercemar atau dibuka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Memang benar itu fungsi utamanya.

Namun anda tahu atau tidak tragedi buruk yang memaksa pengenalan sistem keselamatan itu?

Semuanya bermula daripada seorang gadis bernama Mary

mary kellerman tylenol chicago

Pada awal pagi 29 September 1982, seorang gadis remaja berusia 12 tahun bernama Mary Kellerman terjaga dari lenanya dalam keadaan badannya panas serta pening-pening.

Melihat keadaan anaknya uzur, Dennis Kellerman serta isterinya memberikan Mary pil Tylenol bagi melegakan kesakitan badannya. 'Tylenol' adalah jenama ubat yang mempunyai fungsi yang sama dengan 'Panadol' di negara kita.

Mary mengambil ubat tersebut melalukannya dengan air, sebelum bangun ke tandas. Beberapa saat kemudian, Dennis terdengar bunyi dentuman dari dalam bilik air. Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, bapa yang sedang risau itu memanggil anaknya beberapa kali.

Tiada jawapan. 

Dennis memberitahu dia akan cuba membuka pintu kepada anaknya yang masih berada dalam bilik air tersebut. Dennis memulas tombol lalu mendapati anaknya terbaring di atas lantai tidak sedarkan diri.

Ambulans hadir bagi membawa Mary ke hospital dan dia diberikan bantuan pernafasan oleh paramedik. Malangnya - Mary Kellerman disahkan meninggal dunia pada 9.56 pagi tidak lama selepas itu.

Tidak ada apa-apa yang kelihatan aneh berlaku dalam kes kematian Mary dan keterangan berkenaan penggunaan Tylenol direkodkan. Sehinggalah satu insiden kematian serupa berlaku beberapa jam selepas itu melibatkan seorang lelaki lain.

Cara kematian sama di lokasi berbeza

jualan tylenol ditarik balik

Seorang pekerja pejabat pos bernama Adam Janus yang berusia 27 tahun menghadapi masalah kesihatan akibat selesema. Adam kekal dirumah, mengambil cuti rehat lalu menguruskan pengambilan anaknya di tadika. 

Selesai makan tengahari beramai-ramai, Adam yang masih kurang sihat memakan dua biji pil Tylenol. Tak lama selepas itu, dia rebah di dapur. Cubaan paramedik yang hadir untuk membantunya gagal dan dia disahkan mati pada 3.15 petang. 

Tidak lama selepas itu, seorang wanita bernama Lynn Reiner yang juga berasa kurang sihat - mengambil dua biji pil Tylenol di rumahnya sebelum pengsan. Pada ketika itu, pihak penyiasat belum dapat mengesan hubungan di antara semua kes kematian mengejut ini. 

Sehinggalah adik kepada Adam Janus seorang lelaki bernama Stanley Janus yang sedang meratapi kematian mengejut abang kandungnya, meminta isterinya Theresa dua biji pil Tylenol bagi melegakan sakit belakangnya. Theresa yang merasa pening akibat apa yang berlaku, turut mengambil peluang memakan pil sama. 

Stanley rebah terlebih dahulu sebelum isterinya rebah kemudian, kedua-duanya dikejarkan ke hospital. Kes itu menimbulkan rasa pelik pada pihak perubatan, disebabkan tidak lama sebelum itu Adam baru saja meninggal dunia dalam keadaan serupa. 

Kini, dua orang dari rumah yang sama turut berhadapan nasib serupa. Sebuah kes kematian melibatkan seorang wanita lain turut berlaku sekitar jam 6.30 petang. Kira-kira jam 8.15 malam, Stanley Janus disahkan meninggal dunia sebelum isterinya menyusul dua hari selepas itu.

Tylenol yang diletakkan racun sianida

kapsul tylenol kematian bunuh racun

Mendapati wujud satu persamaan dalam semua kes kematian yang berlaku akibat peranan Tylenol, penyiasat memfokuskan kepada produk tersebut dan mendapati semua mangsa mengambil Tylenol daripada siri keluaran yang mempunyai nombor serupa. 

Kesemua botol yang diperolehi, hanya dilindungi dengan kapas serta isi kandungannya mempunyai bau yang mirip seakan bau kacang badam. Bagi pihak polis, mereka tahu itu adalah bahan kimia merbahaya sianida atau cyanide.

Sianida mampu menyekat penyerapan oksigen dalam darah, mengakibatkan seseorang mengalami ketiadaan oksigen, kerosakan otak sebelum jantungnya gagal berfungsi.

Kajian yang dijalankan ke atas pil yang diperolehi menunjukkan isi kandungan sianida yang terkandung dalam botol Tylenol terlalu tinggi, jauh melebihi keperluan yang diperlukan untuk membunuh seseorang.

Menyedari perkara sama boleh berulang lagi - polis Chicago mengeluarkan kenyataan melalui siaran media televisyen dan radio serta meronda di kawasan-kawasan padat dengan pembesar suara, cuba mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil pil tersebut sekiranya mereka ada menyimpannya.

Sebanyak 7 kes kematian bermula dari kematian pertama Mary Kellerman berlaku dalam tempoh beberapa hari, kesemuanya berpusat di Chicago.

Maklumat ini memberikan penyiasat gambaran bahawa apa yang berlaku besar kemungkinan adalah kerja sabotaj seseorang - diramalkan sengaja membeli ubatan tersebut, memasukkan sianida ke dalamnya sebelum memulangkan kembali ubat itu di atas rak farmasi yang disasarkan.

Pada jam 11 malam 1 Oktober 1982, Datuk Bandar ketika itu, Jane Byrne mengumumkan larangan penjualan pil Tylenol di seluruh bandar Chicago dan dia turut mengingatkan orang ramai agar memberhentikan pengambilan pil tersebut, sehinggalah situasi disahkan selamat.

Johnson & Johnson berdepan kerugian besar

tylenol bungkusan lama

Hasil perbincangan di antara kerajaan tempatan dan pengeluar Tylenol iaitu syarikat Johnson & Johnson, syarikat tersebut dinasihatkan untuk membekukan jualan serta menarik balik semua produk Tylenol yang ketika itu masih dijual di seluruh Amerika Syarikat.

Sebanyak 31 juta botol pil Tylenol ditarik semula dari jualan di seluruh Amerika Syarikat, mengakibatkan kerugian kepada Johnson & Johnson yang dianggarkan bernilai lebih $100 juta (sekitar RM450 juta).

Walaupun kes-kes kematian berlaku hanya di Chicago, khabar angin berkenaan kematian serta penarikan semula produk ini mula tersebar, mengakibatkan rasa takut pada pengguna di seluruh dunia.

Kerajaan tempatan Chicago dengan segera memperkenalkan ordinan undang-undang melalui kuasa Datuk Bandar, mewajibkan semua ubat-ubatan yang dijual perlulah mempunyai sistem penutup kalis gangguan sebagai syarat wajib jualan. Ordinan tersebut seterusnya dibawa ke peringkat Kongres Amerika Syarikat untuk diperkenalkan ke seluruh negara.

Johnson & Johnson membangunkan sistem kalis gangguan pada botol ubatan mereka, melalui pengenalan lapisan plastik atau foil yang dipasang pada mulut botol. Pengguna perlu merosakkan lapisan tersebut sebelum boleh mengakses isi kandungannya, digunakan sebagai indikator kualiti produk yang kita beli sehingga ke hari ini.

Kisah ini belum tamat...

Siapa suspek peracun utama dalam kes ngeri ini?

chicago tylenol murders

Dalam penyiasatan yang dijalankan, beberapa orang suspek berjaya dikenalpasti mempunyai motif namun kesemuanya gagal dibuktikan terlibat dengan kes keracunan ini. Usaha pihak polis mendedahkan lokasi pusara Mary Kellerman kepada orang ramai melalui media, bertujuan untuk mengumpan pelaku kes berdepan kegagalan.

Apa yang sangat menakutkan, beberapa individu lain mula meniru modus operandi sama melibatkan jenama-jenama ubat-ubatan lain, mengakibatkan beberapa kematian berlaku disebabkan oleh masih banyak bekalan ubat yang tidak menggunakan sistem penutup kalis gangguan. 

Kes kematian tambahan ini menyebabkan badan pengeluar ubat-ubatan mula mengubah bentuk ubat yang dihasilkan, daripada bentuk kapsul yang boleh dibuka serta mengandungi serbuk di dalamnya - kepada bentuk pil legap atau 'kaplet.'

Sehingga ke hari ini, kes ini tidak selesai dan pelakunya - orang yang mengakibatkan kematian 7 individu tidak bersalah dan memulakan trend meracun orang ramai secara rawak menggunakan ubat-ubatan - belum dapat diberkas.

Kes ini masih aktif status siasatannya dan pelakunya boleh jadi sesiapa saja yang berada di sekeliling anda. 

Inilah kisah asal-usul kenapa ubat anda hari ini ada lapisan keselamata, bukanlah disebabkan kreativiti pengeluar produk mahu memastikan produk mereka selamat.

Semuanya disebabkan 40 tahun, lalu ada individu bertindak meracun orang lain menggunakan ubat-ubatan. Tidak diketahui adakah dia masih hidup atau sudah meninggal dunia. 

Rujukan

Chicago Magazine Tylenol Murders




Hakcipta iluminasi.com (2017)