Dunia permotoran Malaysia kini semakin meriah dengan kemunculan model-model baru khasnya model 250cc yang satu masa dulu, ketika era 80-an dan 90-an merajai jalan raya kita.
Pengeluar pada era awal 2000 nampak seolah kehilangan keberanian untuk membawa masuk model baru sehinggalah Naza memperkenalkan model Blade 250 dan dunia motorsikal Malaysia kembali ceria melihat Kawasaki membawa masuk Ninja 250. Kini, kebanyakan pengeluar motorsikal dunia sudahpun mempunyai model yang mampu memenuhi permintaan masyarakat Malaysia.
BESARKAN TEKS A- A+
Berikut, adalah 5 motorsikal bawah 250cc terbaik bawah RM22 ribu yang kini mampu dibeli rakyat Malaysia bagi kegunaan harian.
1. Kawasaki Ninja 250
Mencipta kejayaan besar di seluruh dunia selepas diperkenalkan, Ninja 250 ini menjadi pemula kepada kebangkitan model 250cc. Meletup di pasaran Malaysia pada ketika Honda dan Yamaha tidak ada mengeluarkan pesaing, Ninja 250 menjadi pilihan ramai penggemar motorsikal. Dengan rupa yang garang dan keyakinan terhadap jenama Kawasaki, amat mudah untuk melihat model ini dijalanan. Mempunyai dua model, Ninja 250 SL dan Ninja 250.
2. KTM RC250
Jenama KTM terkenal sebagai pengeluar motorsikal off-road namun percubaan mereka membawa masuk RC250 ke Malaysia nampaknya membuahkan hasil. Dengan rekaan yang agak futuristik serta lain daripada yang lain, RC250 mampu membuatkan pemandunya kelihatan lebih kacak daripada biasa. Pemanduannya pula lebih bersifat sporty jika dibandingkan dengan model-model dalam senarai ini.
3. Kawasaki Z250
Tak sah pula kalau tak dimasukkan sekurang-kurangnya satu model naked ke dalam senarai. Z250 adalah antara motor yang menjadi pilihan ramai dan kerap dijumpai menyusur di celah-celah kota. Rupa yang garang dan pemanduan yang lebih bersifat santai, Z250 lebih sesuai untuk mereka yang perlu berulang-alik setiap hari berbanding abangnya, Ninja 250.
4. Yamaha YZF R25
Oooohhh. Pertama kali penulis melihat motor ini, tersilap kami menyangkakan ini adalah model 600cc. Dengan rupa yang diambil sebijik-sebijik dari abang-abangnya yang lebih besar, R25 menjadi kegilaan anak muda yang mahukan motorsikal yang menyerupai sebuah motor GP. Memang agak lama peminat motor di Malaysia menunggu kemasukan model ini tetapi penantian kita selama ini berbaloi.
5. Modenas Pulsar RS200 & NS200
Model paling baru dalam pasaran Malaysia, Modenas akhirnya memperkenalkan model baru dengan kerjasama pengeluar motorsikal Bajaj dari India. Memang diakui yang Modenas mengambil jalan pintas dalam mengeluarkan motor-motor baru ini, namun ini tidak sepatutnya menjejaskan keyakinan orang ramai pada model baru Modenas ini.
Dua model ini mendapat sambutan hangat di India dan kini dibawa masuk ke Malaysia. Yang menarik, dengan RM22,000 - anda akan dapat dua biji motor. Sebiji motor tu bolehlah anda sedekahkan pada admin.
Begitulah 5 (atau 6) model pilihan bagi rakyat Malaysia yang berminat hendak cuba-cuba belajar menunggang motorsikal yang lebih besar. Kelas 250cc adalah kelas terbaik untuk kita belajar sebelum pergi ke kelas motorsikal yang lebih jauh, kerana kelajuannya boleh dikatakan cukup dan berat motorsikal pula masih dikatakan mudah dikawal.
Adakah anda bersetuju dengan senarai ini? Nyatakan pandangan anda dalam ruangan komen.