China merupakan negara yang dihuni penduduk paling tinggi di dunia dan situasi yang ada sudah pastilah menjadi satu cabaran yang sangat besar pada pihak pemerintah negara mereka.

Mentadbir negara sebesar 1.4 billion penduduk jika dibandingkan dengan negara dengan populasi 32 juta penduduk seperti Malaysia, memerlukan perancangan jangka panjang yang mampan serta sistem pentadbiran yang lebih berperingkat pecahannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bandar seperti Shenzen dan Beijing saja sudah mempunyai 26 dan 20 juta penduduk - hampir menyamai keseluruhan negara kita.

Pasti sukar untuk 'mengurung' sebuah bandar seperti Wuhan dengan kepadatan penduduk 11 juta orang selama beberapa minggu dan memastikan makanan senantiasa ada.

Jadi bagaimana kerajaan China memastikan bekalan makanan mereka senantiasa mencukupi, khasnya tempoh darurat berdepan wabak?

Dasar 'pasaran baru'

new retail dasar pasaran baru jack ma alibaba

Pada waktu kemuncak kuarantin di China, dianggarkan seramai 230 juta orang benar-benar terkesan dengan perintah itu. Ini menyebabkan pergerakan orang ramai untuk keluar mendapatkan bekalan makanan sangat terhad, apatah lagi di kawasan-kawasan yang dikenakan kawalan penuh seperti Wuhan.

Berikutan kekangan itu, masyarakat China mula menggunakan sistem pembelian secara digital menyebabkan kadar permintaan meningkat mendadak dengan barangan sejuk beku menjadi pilihan utama orang ramai, sebelum barangan makanan segar, minuman dan makanan ringan.

Sesetengah pengedar menerima kenaikan pesanan hampir 400% melalui pesanan maya, berbanding sebelum bermulanya wabak.

Usaha untuk mempertingkatkan lagi kadar penggunaan pembelian secara digital sebenarnya sudah dimulakan di China sejak tahun 2016, apabila syarikat Alibaba memperkenalkan visi yang dikatakan bakal merevolusikan pembelian digital di China.

Digelarkan sebagai 'pemasaran baru' atau 'new retail', revolusi digital ini diharapkan akan memastikan semua kedai termasuklah kedai runcit tepi jalan - menawarkan fungsi elemen digital sama ada melalui kedai maya atau sekurang-kurangnya bayaran elektronik.

Usaha ini yang masih berjalan, setakat ini meletakkan China sebagai pendahulu nombor 1 dunia paling berjaya menggabungkan sistem pemasaran tradisional dan sistem baru yang lebih berasaskan elektronik.

Jumlah pengguna mod pembayaran secara digital di China jauh meninggalkan negara-negara lain, menampakkan keberkesanan revolusi yang sedang mereka usahakan.

Dasar 'Bakul Sayur'

dasar bakul sayur china

Seandainya revolusi 'pemasaran baru' dijalankan dengan kerjasama pihak swasta dan boleh dikatakan masih baru, kerajaan China sendiri telah memperkenalkan satu dasar melindungi bekalan makanan mereka sejak tahun 1988; dinamakan sebagai 'Program Bakul Sayur' atau 'Vegetable Basket Programme' (VBP).

Program Bakul Sayur diperkenalkan bagi memastikan semua wilayah dan bandar yang wujud di China, mempunyai program yang memelihara dan melindungi bekalan, harga dan keselamatan bahan makanan seperti barangan segar dan daging - dipastikan cukup dan berpatutan harganya setiap masa bagi menampung permintaan sewaktu hari biasa dan juga waktu bencana.

Program itu diperkenalkan semasa negara itu kekurangan bekalan sayuran yang kritikal. Dalam lima tahun pertama program, fokusnya lebih kepada usaha pembangunan dan kajian terhadap sistem bekalan makanan asas seperti daging, telur, ikan dan sayur bagi membolehkan sistem yang sedia ada - diperbaiki dan ditambah baik dengan sasaran bekalan senantiasa cukup untuk tempoh setahun setiap masa, bagi setiap 100 juta penduduk.

guangxi petani buah buahan dan sayuran

Bukan sekadar diwujudkan bagi memastikan bekalan cukup - VBP turut dijalankan untuk memupuk kesedaran masyarakat China agar meletakkan pertanian dan perladangan sebagai salah satu aspek penting masyarakat mereka dalam menjalani urbanisasi dan pembangunan.

Kuasa diberikan sepenuhnya kepada Datuk Bandar atau Gabenor wilayah-wilayah di China, dalam memastikan proses urbanisasi yang berjalan perlu menyertakan sekali pertanian dan perladangan sebagai salah satu cabang utama dasar pembangunan bandar mereka.

Oleh sebab itu, setiap bandar dan wilayah di China mempunyai idea dan sasaran pelaksanaan berbeza.

Qingdao melaksanakan dasar membangunkan satu pusat pertanian yang menghubungkan setiap empat daerah di dalamnya. Haikou memperkenalkan dasar pertukaran produk antara pengeluar di utara dan selatan wilayah mereka.

Shanghai pula memperkenalkan konsep ladang keluarga yang akan dipacu oleh dana bantuan kerajaan tempatan.

Dasar simpanan nasional daging khinzir

pasar sayur di china

Berbeza dengan majoriti negara lain, China mengambil pendekatan untuk meletakkan kebergantungan terhadap bekalan makanan kepada rakyat mereka sendiri, mengurangkan keperluan import ke atas permintaan negara mereka.

Sasaran awal China adalah pada tahap 95% domestik dan 5% produk import bagi memenuhi permintaan. Walaupun demikian, angka tersebut mula menurun mencecah 80% selepas permintaan yang terlalu tinggi memaksa kerajaan China mengimport masuk beras dan bijirin, disebabkan oleh populasi yang bertambah .

Selain beras, kerajaan China dilaporkan turut menyimpan bekalan daging khinzir sebagai simpanan nasional dengan tujuan menampung bekalan yang tidak mencukupi. Selain itu, mereka juga boleh menggunakan simpanan daging khinzir yang ada untuk memastikan harga jualan daging tersebut tidak mencecah harga tidak munasabah.

Sebagai contoh pada tahun 2016, disebabkan oleh harga daging khinzir yang terlalu tinggi akibat permintaan melebihi 50% bekalan - pentadbir Beijing mengambil keputusan untuk mengeluarkan 2.7 juta tan bekalan yang disimpan bagi kerajaan untuk merendahkan harga daging. Langkah itu berkesan menurunkan harga daging itu sebanyak 18%.

cara china tak bagi rakyat lapar ketika lockdown

Dasar mewujudkan simpanan ini selain daripada memastikan bekalan mencukupi dan mampu menjadi mekanisme pengawalan harga - turut sama digunakan bagi menampung kerugian penternak yang gagal memasarkan ternakan mereka, khususnya semasa penularan wabak misalnya.

Di dunia, hanya China mengamalkan dasar ini - menjadikan daging khinzir sebagai salah satu bentuk simpanan rasmi negara, selain emas, minyak dan matawang asing; bagi membolehkan mereka mengawal dan menyelia harga dan bekalan daging khinzir bukan saja dalam pasaran domestik, malahan juga pasaran peringkat antarabangsa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)