Kita di Malaysia pasti ramai yang akan membantu, sekiranya melihat orang lain berdepan kesukaran ketika berada di tempat awam.

Apatah lagi dalam kes ragut atau curi di mana pelakunya berjaya ditangkap - pasti ramai akan tolong mengajar mereka kan?

Tetapi bagi sebahagian besar masyarakat di negara China, sudah banyak kali video dan media dirakamkan - menunjukkan mereka sengaja memilih untuk membiarkan saja situasi itu berlaku tanpa ada pihak menghulurkan pertolongan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkah anda terfikir kenapa ini berlaku dan apakah motif sebenar mereka di China, sengaja membiarkan orang susah terus susah?

Kematian kanak-kanak yang sengaja diabaikan

china kes kemalangan wang yue

Kisah berkenaan sikap tidak ambil peduli masyarakat China terhadap orang susah di sekeliling mereka, mendapat perhatian masyarakat antarabangsa - selepas satu video yang memaparkan seorang kanak-kanak yang dilanggar dan dilenyek dua buah kenderaan dikongsikan media sosial sekitar tahun 2011.

Dalam insiden 13 Oktober 2011 itu, kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun bernama Wang Yue mengalami kecederaan parah terbaring atas jalan di sebuah lorong sempit, yang terletak di Foshan, wilayah Guangdong.

Wang Yue terbaring lebih 7 minit di atas jalan ketika nyawa-nyawa ikan, sambil 18 orang individu lalu lalang di tepinya langsung tidak mempedulikan apa yang mampu mereka lihat.

Jangan klik video di atas jika anda tidak sanggup melihat kemalangan berlaku

Dua kenderaan yang melenyek kanak-kanak malang itu? Mungkin mereka merasakan mereka terlanggar sampah agaknya, meneruskan perjalanan seperti tiada apa-apa insiden menimpa. Sehinggalah seorang wanita yang bekerja mengutip sampah menyedari ada seorang kanak-kanak terbaring di tepi lorong, barulah perhatian dapat diberikan.

Pemandu kedua-dua kenderaan berjaya ditahan berdasarkan kepada nombor pendaftaran yang tertera pada plat kenderaan yang mereka pandu. Bagi Wang Yue pula, dia meninggal dunia 8 hari selepas kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Kenapa orang susah dibiarkan tanpa dibantu?

mangsa kemalangan dibiarkan sendiri china

Untuk melihat kenapa situasi ini berlaku, kita perlu mengimbas kembali sebuah kes unik yang berlaku di China pada tahun 2006.

Dalam insiden tolak-menolak ketika berebut menaiki bas, seorang lelaki bernama Peng Yu telah membantu seorang wanita yang jatuh bernama Xu Shaolan yang jatuh, membawa wanita itu ke hospital.

Anehnya - Xu mendakwa dia jatuh kerana tolakan Peng walaupun Peng menafikannya. Bagaimanapun, mahkamah sivil China menjatuhkan hukuman ke atas Peng bukan atas sebab dia disabitkan kesalahan menjatuhkan Xu dengan sengaja sebaliknya Peng dibuktikan bersalah 'kerana membantu.'

Mahkamah berpendapat insiden bantuan seperti itu berlaku kerana 'si pembantu (Peng) merasa bersalah yang menyebabkan dia mahu menghulurkan bantuan kepada yang jatuh (Xu).' Keputusan penghakiman itu mengakibatkan reaksi kuat masyarakat mereka mula kedengaran.

Ini kerana secara automatiknya penghakiman itu ibarat mahkamah memutuskan sesiapa saja yang cuba membantu orang lain dalam kesusahan, dianggap perlu bertanggungjawab terhadap situasi si mangsa; kerana tidak ada orang mahu membantu orang lain, melainkan dia rasa bersalah.

Aplikasikan keputusan mahkamah itu kepada kes kematian Wang Yue dan anda boleh nampak hubungkait kedua-duanya. Wang Yue tidak dibantu, kerana orang ramai tidak mahu dipertanggungjawabkan atas apa yang terjadi kepada Wang Yue.

Sistem kehakiman di China akan mendakwa orang yang membantu Wang Yue, membantu kanak-kanak itu kerana wujud rasa bersalah dalam dirinya - sekaligus boleh didakwa sebagai punca insiden sebegitu terjadi.

Berbalik kepada kisah Peng lawan Xu - selepas beberapa tahun perbicaraan berlangsung, akhirnya Peng mengaku bersalah menolak Xu walaupun sejak awal menafikannya. Namun nasi sudah menjadi bubur.

Berpunca daripada penghakiman awal kes tersebut, rakyat China mula mengelakkan diri daripada membantu mana-mana mangsa kemalangan yang tidak melibatkan mereka, kerana lebih baik mereka tak dilibatkan.

Selain itu - segelintir antara mereka juga mula merancang taktik-taktik meletakkan diri sendiri sebagai mangsa kemalangan, kerana tahu mahkamah akan memihak kepada mereka seperti yang ditunjukkan dalam video di atas.

'Shaoguanxianshi' - budaya pentingkan diri sendiri

mangsa kemalangan terbiar china

Perbincangan berkenaan kondisi mental masyarakat China sehingga sanggup hanya mementingkan diri sendiri ini telah diakui berlaku sebelum kes-kes tersebut terjadi lagi.

Wujud satu istilah khusus dinamakan sebagai 少管闲事 atau 'shaoguanxianshi' yang membawa maksud 'hal aku hal aku, hal kau hal kau' yang sangat kuat berakar umbi dalam masyarakat China.

Perkara yang paling baik untuk seseorang mengelakkan diri daripada masalah, adalah dengan tidak masuk campur dalam apa saja urusan yang tidak melibatkan kita. Malangnya, orang China mengambil sikap ini dalam bentuk yang sangat ekstrim.

Salah seorang daripada 18 individu yang perasan Wang Yue terbaring di atas jalan, memilih untuk membiarkan saja kanak-kanak itu kerana alasannya (ini apa yang dia sebutkan) "dia bukan anak aku. Kenapa perlu aku bantu dia?"

Pemandu kenderaan kedua yang melenyek Wang Yue memilih untuk meneruskan perjalanan kerana bimbang dia perlu menanggung kos rawatan kanak-kanak tersebut. Dalam ayatnya sendiri:

"Kalau dia mati, aku mungkin perlu membayar sekitar 20,000 yuan. Kalau dia terselamat, aku perlu membayar lebih. Jadi jalan terbaik (untuk aku) adalah membiarkan dia."

Perangai-perangai shaoguanxianshi sebegini sangat kerap berlaku di kalangan masyarakat China. Individu yang mahu membunuh diri dibiarkan saja oleh mereka yang melihat. Lelaki tua jatuh bangunan dibiarkan lebih sejam terbaring atas jalan tanpa bantuan.

Ibu yang menjerit meminta tolong akibat anak kecil yang terlibat dalam kemalangan tidak mendapatkan bantuan, kerana menolong pada pendapat mereka hanya akan merugikan mereka dalam jangka masa panjang.

Perubahan mentaliti yang akan memakan masa

mainland chinese malaysia pelancong pelaburan 576

Pada 8 Oktober tahun 2017, kerajaan China memperkenalkan akta yang melindungi mana-mana individu yang cuba membantu pihak atau mangsa dalam kesusahan, daripada berdepan dakwaan bersifat liabiliti.

Perubahan ini diharapkan dapat menjernihkan kekerasan hati masyarakat mereka agar ringan tangan untuk membantu individu yang kemalangan atau berdepan detik cemas.

Kesedaran masyarakat mereka khasnya di kalangan netizen yang berani bersuara mengkritik pengamal-pengamal budaya shaoguanxianshi ini semakin lama semakin lantang kedengaran - namun penyelidik tetap beranggapan perubahan yang diharapkan berlaku akan mengambil masa untuk memperbetulkan apa yang telah terjadi.

Ini disebabkan di kalangan netizen yang lantang mengkritik mereka yang acuh tak acuh sahaja dengan mangsa yang memerlukan, di kalangan pengkritik itu juga mengaku jika mereka berada dalam situasi tersebut mereka akan turut melakukan perkara serupa.

Anda perasan tak - sebelum ini memang banyak video-video berkenaan kelakuan masyarakat China tidak mempedulikan orang yang kesusahan berlegar di internet.

2 ke 3 tahun kebelakangan ini, lebih banyak video yang memaparkan warga China membantu satu sama lain ditularkan bagi memperbaiki reputasi masyarakat mereka yang telah tercalar teruk.

Sama ada perubahan ini benar-benar terjadi atau hanya sekadar satu propaganda kerajaan China dalam membentuk reputasi masyarakat China yang harmoni kepada mata dunia, sukar untuk kita putuskan.

Lagipun kita di Malaysia sendiri dah pernah berhadapan dengan isu negatif melibatkan perangai pelancong China di sini, yang jelas tak reti mempedulikan tatasusila dan adab kesopanan. Kau, engkau, aku, aku!




Hakcipta iluminasi.com (2017)