Oleh pada 20 Dec 2019 kategori

Sekiranya disebutkan kejohanan temasya sukan Olimpik ketika ini, sudah pastilah anda akan terbayangkan aksi-aksi atlit dalam pelbagai jenis sukan bertanding merebut pingat serta prestij, sebagai atlit terbaik dalam bidang mereka.

Tetapi tahukah anda, satu ketika dahulu - selain daripada mempertandingkan acara sukan dalam temasya Olimpik, penganjur kejohanan itu juga turut sama membuka pertandingan yang bersifat kesenian? Benar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Satu ketika dulu, pelukis, pemuzik, karyawan dan ramai lagi artis ternama turut sama bertanding merebut pingat Olimpik, sebaris dengan ahli-ahli sukan.

Impian bapa temasya Olimpik

pierre coubertin bapa olimpik

Pierre de Coubertin lahir pada 1 Januari 1863, anak kepada seorang Baron yang lahir di Paris, dalam sebuah keluarga bangsawan. Coubertin melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di Paris Institue of Political Science. Semasa di sanalah, dia mendapat idea untuk menubuhkan kembali temasya Sukan Olimpik musim panas dalam zaman moden.

Sangat rajin menelaah tentang sejarah, salah satu minatnya yang paling utama adalah sejarah berkenaan tamadun Yunani kuno yang banyak mencorakkan tradisi serta budaya masyarakat Eropah ketika ini. Coubertin percaya pembangunan insan yang baik dan bermoral, perlu seiring di antara keperluan fizikal dan juga mental.

Berbeza dengan gimnasium yang kita kenali sekarang, gimnasium semasa era Yunani kuno merupakan lokasi di mana seseorang mampu melatih keupayaan fizikal dan pada masa yang sama memperkembangkan mindanya. Falsafah pembangunan 'gimnasia' Yunani lama dipercayai Coubertin mampu membentuk fizikal dan mental seseorang, menjana disiplin tinggi serta mampu melatih interaksi sosial individu.

Jadi dia merangka satu bentuk temasya sempena idea kejohanan Olimpik zaman kuno yang dimodenkan, cuba menggabungkan falsafah pembangunan insan beliau. Hasil kerjasama beliau dengan beberapa individu berpengaruh serta kelab-kelab sukan yang ada di Britain, sehingga berjaya menganjurkan temasya Olimpik tempatan pertama di Crystal Palace pada tahun 1866. Idea itu diambil oleh beberapa jawatankuasa negara lain yang turut sama menganjurkan kejohanan hampir serupa.

Melihat bahawa perlunya wujud satu badan pengelola yang mampu menghubungkan kesemua negara yang mahu menganjurkan sukan Olimpik, Coubertin bertindak menubuhkan Comité pour la Propagation des Exercises Physiques pada tahun 1888, sebelum jawatankuasa itu bertukar menjadi Comité international olympique atau International Olympic Committee (IOC) pada tahun 1894.

Oleh sebab itulah sehingga kini Pierre de Coubertin dikenali sebagai bapa kepada temasya Olimpik zaman moden.

Olimpik sebagai medan persembahan fizikal dan kreativiti kesenian

1932 galeri pertandingan

Idea untuk menggabungkan elemen seni yang sangat ditagih oleh Coubertin dalam temasya Olimpik yang semakin popular, terus dipegang. Walau bagaimanapun, cadangan itu ditolak oleh jawatankuasa Olimpik yang merasakan tiada keperluan untuk menganjurkannya.

Namun hasrat Coubertin itu tidak dapat disekat dan pada tahun 1912, selain temasya sukan - Olimpik pun mula mempertandingkan acara-acara pertandingan seni melibatkan lima cabang disiplin - seni arkitek, seni literasi, muzik, lukisan dan senibina arca. Syarat pertandingannya pula memerlukan karyawan yang bertanding perlulah menghasilkan karya yang berkait dengan tema sukan, dengan setiap pemenang akan menerima pingat sama seperti acara sukan.

Bagaimanapun, pada era tersebut - kejohanan Olimpik hanya layak disertai oleh individu-individu bertaraf amatur sahaja dalam bidang sukan. Syarat sama turut terpakai untuk acara pertandingan kesenian dan peraturan inilah yang menghalang ramai karyawan terkenal ketika itu, turut sama mengambil bahagian.

Olimpik tahun 1912 yang diadakan di Stockholm, Sweden menyaksikan penyertaan kali pertama 35 orang karyawan dengan seorang saja pemenang pingat emas akan dipilih daripada 5 kategori dipertandingkan. Coubertin sendiri menyertai pertandingan penulisan sastera dengan menggunakan nama pena, memenangi pingat emas bagi kategori tersebut.

Temasya kesenian Olimpik terus dianjurkan

joseph goebbels olimpik 1932

Dalam beberapa kejohanan seterusnya, kategori yang sama terus dipertandingkan dan sambutan yang diterima, walaupun tidaklah semeriah acara sukan - cukup untuk membuktikan wujudnya penerimaan peserta dalam kelima-lima kategori yang ada.

Kejohanan Olimpik 1936 menjadi kemuncak pertandingan kesenian yang diadakan di Berlin, Jerman semasa zaman pemerintahan tentera Nazi menjadi antara temasya Olimpik paling diingati dalam kategori ini. Ini kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan berikutan penyertaan 667 karya daripada 22 negara peserta.

Negara Jerman mengambil kesempatan ke atas kelebihan menjadi tuan rumah, meletakkan panel juri yang terdiri daripada 42 orang hakim dengan 29 daripadanya datang dari Jerman. Jadi tidak menghairankan Jerman mengungguli pertandingan kesenian Olimpik tahun tersebut dengan pungutan 5 emas, 5 perak dan 2 gangsa sekaligus meletakkan mereka sebagai johan temasya tersebut - dibantu dengan persembahan baik atlit mereka.

Selepas tamat pertandingan dan persembahan yang disertai lebih 70,000 orang pengunjung, karya-karya yang dipertandingkan dibuka untuk jualan. Nama-nama besar dalam tentera Nazi seperti Joseph Goebbels, Bernhard Rust dan Wilhelm Frick serta tokoh-tokoh pemimpin dari negara sekutu Jerman, tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan karya-karya ini sebagai koleksi mereka.

Olimpik kesenian dihentikan atas sebab teknikal

olympics art competition

Selepas berakhirnya temasya Olimpik tahun 1948 yang diadakan di London, Britain - wujud kontroversi berkenaan status pengkarya-pengkarya yang dibenarkan menyertai pertandingan kesenian Olimpik. Ini kerana bagi kejohanan sukan, atlit-atlit profesional mula dibenarkan untuk bertanding bagi mempertingkatkan lagi mutu kejohanan.

Bagaimanapun, kebenaran serupa menimbulkan kontroversi bagi IOC disebabkan oleh keengganan pengkarya profesional menyertai kejohanan yang membandingkan karya mereka dan akhirnya dianugerahkan pingat semata-mata. Selain itu, dalam setiap kejohanan kesenian Olimpik yang dianjurkan sebelum itu, penganjur pasti akan berdepan masalah dalam menentukan status sebenar seorang pengkarya sama ada benar-benar amatur atau sebenarnya berstatus profesional.

Berikutan syarat baru yang diperkenalkan menyebabkan jatuhnya nilai penyertaan bagi Olimpik tahun 1948, IOC duduk bersidang bagi mendapatkan kata putus berkenaan hala tuju kategori pertandingan kesenian dalam temasya Olimpik. Sebuah laporan dikeluarkan untuk memansuhkan sepenuhnya pertandingan itu, digantikan dengan pertunjukan kesenian bercirikan Olimpik tanpa ada unsur pertandingan.

Bagaimanapun, cadangan itu tidak dilaksanakan pada temasya tahun 1952 dan kategori kesenian diteruskan dalam kejohanan di Helsinki, Finland. Bagaimanapun, penganjur sendiri memilih untuk tidak mengadakannya berikutan tempoh masa yang terlalu singkat diberikan, bagi membolehkan pengkarya menghasilkan karya mereka.

Melihat sambutan yang semakin suam-suam kuku, IOC sekali lagi bersidang pada tahun 1954 dan akhirnya memutuskan untuk memansuhkan secara mutlak kategori kesenian dalam Olimpik, digantikan dengan persembahan karya dalam bentuk galeri - seperti yang dicadangkan.

Rekod kejohanan kesenian Olimpik sehingga kini diungguli Jerman dengan 7 pingat emas, 7 pingat perak dan 9 gangsa hasil daripada kesemua kejohanan yang mereka sertai. Sementara itu Walter W. Winans menjadi satu-satunya atlit Olimpik yang berjaya memenangi pingat dalam acara sukan dan acara kesenian - dalam acara menembak Olimpik 1908 serta ukiran arcanya memenangi tempat pertama di Stockholm, pada tahun 1912.

Rujukan

Art competitions at the Summer Olympics




Hakcipta iluminasi.com (2017)