Oleh pada 09 Aug 2021 kategori

Temasya Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun melabuhkan tirai tanggal 8 Ogos 2021 memberikan kita rakyat Malaysia perasaan yang bercampur baur. 

Kejayaan membawa pulang 1 perak dan 1 gangsa adalah sesuatu pencapaian yang besar untuk negara kita, ketika era pandemik ini. Sepanjang 16 hari temasya itu, pasti ramai yang melekat depan TV menonton acara yang berlangsung kan?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Perasan tak dalam beberapa acara, ada beberapa situasi unik yang besar kemungkinan kita tak sedar pun berlaku disebabkan wujud peraturan berkenaannya. Berikut 7 peraturan Olimpik yang bersifat aneh, lucu dan kadangkala menjengkelkan atlet juga.

1. Pemarkahan acara gimnastik dicabar dengan bayaran tunai

semakan pemarkahan gimnastik duit tunai

Dalam mana-mana acara gimnastik yang dipertandingkan, sekiranya ada peserta atau wakil negara tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan dan pemarkahan, mereka boleh melakukan permintaan agar penilaian semula dilakukan.

Tetapi syaratnya, pihak yang memohon itu membuat pembayaran $300 (RM1265) untuk penilaian semula pertama, $500 (RM2109) untuk kali kedua dan $1000 (RM4219) untuk aduan terakhir atau ketiga. Tidak pelik bukan?

Yang pelik, bayaran mestilah dilakukan secara tunai ketika acara itu masih berjalan. Sekiranya penilaian semula berjaya, duit itu akan dipulangkan.

Seandainya gagal? Wang itu akan disimpan oleh penganjur untuk disedekahkan kepada badan kebajikan.

2. Peserta sukan tinju haruslah mencukur wajah bersih

tinju olimpik cukur wajah bersih

Mungkin atas faktor keselamatan akibat kecederaan yang boleh dialami di bahagian wajah, semua atlet sukan tinju lelaki diwajibkan mencukur janggut mereka dengan hanya kumis tidak melebihi panjang bahagian bibir atas mereka dibenarkan.

Peraturan ini menimbulkan banyak masalah kepada atlet, khasnya peninju yang beragama Sikh di mana menyimpan janggut merupakan satu kewajipan.

Peraturan ini bukan saja diamal dalam pertandingan anjuran Olimpik, bahkan menjadi garis panduan biasa bagi sukan ini yang terus diperdebatkan. Sebab itulah di Olimpik, peninju mempunyai wajah bersih sepanjang kejohanan berjalan.

3. Atlet lompat berkuda tidak boleh menggunakan kuda sendiri

kuda acara pentatlon

Dalam sukan pentatlon moden yang menggabungkan lima acara ke dalam satu pertandingan, salah satu acara terlibat adalah show jumping atau pertunjukan lompat berkuda di mana atlet perlu menunggang kuda melalui 15 halangan.

Berbeza dengan acara ekuestrian lain, segmen ini mempunyai satu peraturan unik - penunggangnya tidak dibenarkan menggunakan kuda sendiri sebaliknya akan disediakan kuda untuk tunggangan oleh penganjur.

Terpaksa bergantung kepada nasib, ramai atlet berdepan masalah kuda yang tidak memberikan kerjasama.

Dalam temasya Tokyo 2020, jurulatih pentatlon pasukan Jerman naik berang telah bertindak menumbuk kuda yang disediakan mengakibatkan dia dipaksa pulang dari terus menyertai acara.

Atlet Jerman kendaliannya Annika Schleu yang pada awalnya menduduki tangga teratas, akhirnya tersungkur ke tangga 31 selepas kuda itu mula mempamerkan perangai sebenar. Schleu yang terlalu kecewa, hanya mampu menangis sambil cuba memujuk kuda pinjamannya itu untuk melompat.

4. Hanya dua atlet sama negara dibenar bertanding peringkat akhir gimnastik

acara gimnastik two country rules

Dalam situasi yang boleh berlaku dalam acara gimnastik, sesebuah negara yang unggul atlet gimnastiknya ada kemungkinan mempunyai 3 orang atlet atau lebih yang layak bertanding di peringkat akhir mana-mana acara ekoran prestasi cemerlang.

Kejohanan Olimpik tidak membenarkan situasi ini berlaku, sebaliknya hanya dua atlet dari satu negara dibenarkan dalam peringkat akhir. Atlet ketiga walaupun layak secara merit, akan digantikan dengan atlet berkedudukan seterusnya yang bukan datang dari negara yang sama.

Undang-undang ini diperkenalkan Persatuan Gimnastik Sedunia bagi membolehkan penyertaan lebih banyak negara ke dalam peringkat akhir, yang diharap membantu mempopularkan sukan itu di negara-negara berbeza.

Bagaimanapun bagi atlet yang tersingkir, mereka mendakwa undang-undang ini tidak patut dikuatkuasakan. Dia dah beraksi, lepas tu terkeluar hanya kerana skuad negaranya terlalu hebat bergimnastik.

5. Kasut tidak wajib dalam acara larian

abebe bikila maratona olimpik roma

Tahukah anda pemakaian kasut larian dalam mana-mana acara larian Olimpik adalah tidak diwajibkan? Ini bagi membenarkan mana-mana atlet yang sudah biasa berlari kaki ayam mengekalkan cara lariannya. Sekiranya atlet ingin berlari hanya dengan sebelah kasut pun dibenarkan.

Walaupun jarang berlaku, ada beberapa insiden atlet terpaksa berlari kaki ayam benar-benar terjadi.

Antara kisah yang hampir dengan kita adalah kisah pelari Singapura kelahiran Malaysia, PC Suppiah yang menyertai perlumbaan 10,000 m dalam temasya Olimpik 1972 di Munich, Jerman - dengan berkaki ayam.

Suppiah terpaksa mengharungi perlumbaan tanpa alas kaki disebabkan tidak kemampuan membelinya. Hasil larian kaki ayam itu, dia menjadi pelari Singapura pertama mencatat masa bawah 32 minit, seterusnya mencipta rekod kebangsaan baru negara itu.

6. Panjang stoking pelumba basikal ada ketetapan

petugas ukur saiz stoking

Dalam kenyataan tahun 2018, Union Cycliste International atau UCI, badan yang mengendalikan pelumba basikal profesional di seluruh dunia memperkenalkan satu peraturan baru yang wajib diikuti setiap pelumba.

Stoking yang dipakai semua atlet lumba basikal haruslah tidak melebihi separuh daripada jarak di antara lutut dan buku lali. Sekiranya melebihi ukuran yang ditetapkan, atlet diminta menukarnya atau jika masih berdegil, tidak dibenarkan bertanding.

garis panduan stoking lumba basikal

Peraturan ini diperkenalkan bagi memastikan bahagian betis pelumba kelihatan untuk memastikan tiada peralatan dilekat atau dipasang pada bahagian tubuh tersebut yang membantu pergerakan atau kelancaran angin.

Walaupun begitu, ramai pelumba memandang syarat ini sebagai jenaka. Apatah lagi bila ada petugas kejohanan yang ditugaskan mengukur panjang stoking setiap pelumba, sebelum perlumbaan dimulakan.

7. Penunggang kuda tak boleh bercakap dengan tunggangannya

olimpik dressage peraturan

Sekiranya acara pentatlon moden memberikan kuda secara rawak kepada atlet, lain pula isunya dengan acara dressage.

'Dressage' merupakan salah satu acara ekuestrian yang dipertandingkan dalam sukan Olimpik. Tujuan acara ini adalah untuk menguji keupayaan penunggang dalam menenangkan tunggangannya, bagi memastikan kuda itu dapat mempersembahkan pergerakan mengikut lagu yang dipilih.

Sekiranya anda menonton perjalanan acara ini, anda akan dapat menyaksikan bagaimana mulut semua atlet bertanding terkunci sepanjang persembahan.

Ini kerana semua atlet dressage akan dikenakan penalti sekiranya mereka bercakap dengan kuda mereka. Memberikan isyarat vokal seperti menciut atau bersiul juga didenda penolakan mata.

Oleh sebab itulah semua penunggang diam sahaja walaupun kuda mereka meronta-ronta sepanjang acara.




Hakcipta iluminasi.com (2017)