Rangkaian internet adalah sangat kuat. Ianya tidak hanya bergantung kepada sesebuah mesin atau kabel semata-mata. Internet terdiri daripada sebuah rangkaian yang meliputi rangkaian komputer di seluruh dunia. Sambungan merentasi benua, di bawah laut dan melalui angkasa menggunakan satelit. Dan berkembangnya internet menambahkan lagi kebergantungan kita kepadanya.
BESARKAN TEKS A- A+
Bayangkan, suatu hari apabila anda bangun daripada tidur, Internet tidak lagi wujud. Rangkaian internet seluruh dunia kini telah hancur selama-lamanya. Apakah yang akan terjadi kepada manusia? Apakah kesannya dari segi sosial & ekonomi? Pernahkah anda bayangkan tentang kejadian ini?
Tiada Lagi Rangkaian Sosial
Menurut kajian oleh statista.com, manusia secara purata menghabiskan masa selama 2 jam 15 minit sehari menggunakan lama sosial media seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Ini hanyalah secara purata, namun kita sendiri sedar sebenarnya masa yang diperuntukkan menggunakan laman sosial adalah lebih lama daripada fakta yang dinyatakan di atas.
Kehancuran rangkaian internet akan memberikan kesan yang sangat mendalam bukan sahaja kepada syarikat-syarikat seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter, Snapchat dan lain-lain, malah kita sebagai penggunanya juga akan turut terkesan. Bayangkan kini kita tidak lagi dapat menghubungi keluarga dan rakan kita melalui platform-platform berkenaan. Kita terpaksa kembali kepada telefon yang menggunakan kredit, di mana setiap panggilan dan mesej adalah berbayar.
Syarikat-syarikat media sosial akan bankrap serta merta kerana kehilangan punca pendapatan utama mereka.
Penyebaran Berita dan Maklumat Kini Tersekat
Teknologi internet membolehkan maklumat disampaikan sepantas kilat. Internet membolehkan satu-satu maklumat itu menjadi viral. Tanpa internet, penyampaian maklumat akan menjadi lebih lambat, dan kita terpaksa bergantung kepada media konvensional seperti televisyen untuk tujuan berkenaan. Bayangkan apa yang media massa paparkan, hanya itulah maklumat yang akan anda perolehi, tiada alternatif lain. Propaganda media akan menjadi lebih kuat.
Hilangnya Sumber Pendapatan Bagi Sesetengah Individu
Kewujudan internet membolehkan ramai daripada kita untuk menjadi instafamous, dan menjana pendapatan menggunakan populariti yang ada. Tanpa internet, pendapatan melalui Instant Article menggunakan Facebook, Adsense melalui Google, dan periklanan melalui Youtube tidak dapat diteruskan lagi. Instafamous juga akan turut terkesan.
Sistem Pengangkutan Akan Turut Terjejas
Tanpa internet, trafik udara tidak boleh berfungsi, dan kapal di lautan dalam akan dalam keadaan bahaya kerana tidak ada maklumat ramalan cuaca. Metro seperti LRT dan MRT pula akan mengalami kelewatan berpanjangan. Rangkaian tren juga akan mengalami masalah yang sama. Pergerakan masyarakat kini terhad, memberi kesan negatif kepada ekonomi.
Tiada Lagi Perbankan Dalam Talian dan ATM
Perbankan dalam talian akan hancur. ATM juga tidak lagi dapat berfungsi kerana kebergantungan kepada internet. Orang ramai terpaksa beratur panjang di bank kerana segala urusan kewangan terpaksa dilakukan secara manual. Servis perkhidmatan seperti Paypal, Visa dan Mastercard juga tidak dapat dilakukan. Tiada lagi pembayaran atas talian, online shopping melalui Lazada dan Shopee, dan aktiviti perniagaan atas talian akan mengalami kemerosotan mendadak.
Ekonomi Dunia Akan Menjadi Kacau Bilau
Dagangan saham dan stok akan terhenti dan memberi kesan kepada ekonomi dunia. Orang ramai dan para pelabur akan berada dalam keadaan panik kerana tidak dapat mengetahui perkembangan pelaburan mereka secara 'live' seperti sebelumnya.
Telekomunikasi Melalui Satelit Terbantut
Rangkaian GPS dan satelit komunikasi tidak lagi berfungsi. Segala teknologi yang bersambung dengan satelit juga tidak lagi dapat berfungsi seperti biasa. Waze dan Google Maps tidak lagi berfungsi, dan kita terpaksa bergantung kepada 'mulut' kita untuk bertanyakan jalan kepada penduduk tempatan untuk sampai ke destinasi.
Syarikat Besar Seperti Google, Ebay, Amazon, Uber dan Lain-Lain Akan Bankrap
Syarikat-syarikat besar seperti yang dimaksudkan di atas sangat bergantung kepada internet bagi menjalankan perniagaan mereka. Tanpa internet, sumber utama pendapatan mereka akan hilang kerana kesemua pelanggan mereka kini tidak lagi dapat mengakses kepada perkhidmatan yang disediakan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, internet memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup manusia masa kini. Walaupun kita dapat hidup seperti biasa sebelum kewujudan teknologi ini, susah sebenarnya untuk kita kembali hidup seperti dahulu.
Kebergantungan manusia kepada internet memang tidak dapat dinafikan, bukan sahaja dari aspek sosial media, malah dari segi segala aspek lain sama ada perkhidmatan perbankan, keselamatan negara, ekonomi dan sebagainya. Bagi sesetengah individu, internet itu 'nyawa' mereka.
Ya, benar memang internet memberi kesan positif kepada hidup manusia. Namun, jangan terlalu bergantung kepadanya kerana mungkin suatu hari nanti siapa tahu ia akan hilang secara tiba-tiba.
Rujukan & Bacaan Tambahan: