Zaman sekarang disebabkan banyaknya laman web dibangunkan, kreativiti lebih tinggi diperlukan dalam membezakan alamat setiap laman web.

Pendaftar yang menyelia Uniform Resource Locator atau URL yang menentukan setiap alamat unik semua laman web, telah memperkenalkan banyak penambahan bagi memastikan permintaan yang ada dapat dipenuhi.

Pemilik laman web juga semakin kreatif mencari apakah URL yang baik dan mudah diingati, dalam memaksimakan kunjungan pengguna. Perasan tak zaman sekarang ada beberapa jenis URL unik popular, seperti .io dan sebagainya yang tiba-tiba digunakan secara meluas?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dari mana datangnya URL popular seperti itu dan apakah kisah disebalik URL yang ada?

1. ."io"

kenapa laman web guna alamat io

Jika anda kerap melayari laman web setahun dua ini, pasti anda akan nampak semakin banyak laman web menggunakan URL yang berakhir dengan .io dipenghujungnya, khususnya laman berkait teknologi, permainan video dan sebagainya.

Pasti ramai beranggapan ".io" dalam URL itu mewakili sintaks "input/output" yang sangat berkait dengan teknologi komputer. Tidak.

".io" sebenarnya merujuk kepada Kawasan Kepulauan Hindi di bawah naungan Britain, terletak di Lautan Hindi di antara Tanzania dan Indonesia; membawa makna "Indian Ocean."

Pada awalnya URL ini dikawal selia seorang ahli perniagaan Britain bernama Paul Kane bermula tahun 1997 sebelum menjual hak pelesenannya dalam tahun 2017. Kane dikatakan berjaya mengutip puluhan juta hasil penjualan URL ini kepada orang awam.

Ekoran tuntutan masyarakat asal di sana khususnya orang Chagos yang masih berlanjutan sehingga kini, mencabar kedudukan pencerobohan Britain dan Amerika Syarikat di sana - URL ini juga menjadi salah satu isu yang dibangkitkan.

Salah satu tuntutan yang dibuat orang asal adalah untuk kerajaan Britain mengembalikan semula semua keuntungan hasil jualan URL dengan prefiks ".io" kepada badan komuniti orang asal kepulauan tersebut.

2. ".fm"

logo stesen radio last fm

URL yang cukup unik serta bijak dimanfaatkan oleh pengendali stesen radio menerusi internet, URL dengan prefiks ".fm" di hujungnya kelihatan ada kaitan dengan siaran radio tanpa wayar.

Jika anda rujuk, nama URL stesen radio internet yang cukup terkenal iaitu Last.FM adalah 'last.fm'.

Tetapi '.fm' yang ada bukanlah merujuk kepada 'frequency modulator', sebaliknya mewakili negara-negara kepulauan Micronesia yang terletak di Lautan Pasifik.

Nama penuh bagi gabungan kerajaan tempatan di sana ada Federated States of Micronesia, jadi untuk mewakilkan URL masyarakat di sana - mereka diberikan prefiks ".fm' sebagai pengakhirannya.

Sangat sesuai untuk penggemar muzik, selain Last.fm beberapa stesen radio atau laman web berorientasikan muzik turut sama menggunakan alamat ini seperti setlist.fm, tastebuds.fm dan juga libre.fm.

3. ".gg"

nama url gg

Pemain dan peminat permainan video pasti kenal istilah 'gg' yang popular diamalkan, membawa makna 'good game!' atau 'git gud' (get good) yang lebih menyindir.

Seperti semua negara kepuluan yang nama domain mereka dijual untuk menjana pendapatan kerajaan, ".gg" juga sebenarnya adalah prefiks khas bagi mewakili kerajaan kepulauan Bailiwick of Guernsey, terletak di antara Perancis dan England, ditadbir sebagai sebahagian daripada United Kingdom.

Oleh kerana mirip dengan budaya popular berkait permainan video, URL ini popular di kalangan pengendali dalam bidang serupa.

Kebanyakan laman web popular berakhir dengan ".gg" seperti op.gg, u.gg dan tracker.gg adalah pelayar yang dibangunkan khas untuk memenuhi pelbagai permintaan peminat permainan video yang ada.

4. ".tv"

nama url ai gg

Kepulauan Tuvalu ketika ini sedang berdepan kemungkinan ditenggelami lautan, berpunca daripada pemanasan global. Diramalkan dalam tempoh 50 tahun keseluruhan kawasan kepulauan ini akan hilang.

Bagi memastikan kelangsungan hidup masyarakat mereka berterusan dan ada sinambungannya, setiap tahun seramai 75 orang penduduk kepulauan itu dipindahkan ke New Zealand - sehinggalah peralihan 11,300 orang populasi mereka selesai.

Kenapa kisah ini kami selitkan? Ini kerana URL ".tv" walaupun tampak kelihatan seperti merujuk kepada televisyen, sebenarnya mewakili Kepulauan Tuvalu.

Jualan URL negara Tuvalu menjadi antara kaedah penting masyarakat mereka menjana pendapatan negara, dengan 1/12 daripada bajet mereka datang daripada keuntungan jualan tersebut.

Sekiranya tanah Tuvalu hilang dari muka bumi dan kewujudan Tuvalu sebagai sebuah negara lenyap, semua URL yang berakhir dengan prefiks ".tv" juga perlu ditamatkan, memberi kesan kepada laman web penstriman popular seperti Twitch.tv yang sangat bergantung kepada identiti alamat unik ini.

5. ".ai"

nama url ai

Sekiranya trend teknologi yang bergantung kepada kepintaran buatan atau artificial intelligence semakin berkembang, kami yakin ramai akan berebut-rebut hendak mendapatkan URL yang berakhir dengan prefiks ".ai."

Dikhususkan untuk laman web dari negara Anguilla, salah sebuah negara kepulauan di Caribbean; URL ini dikawal selia sendiri oleh kerajaan Anguilla.

Oleh kerana duduk di bawah undang-undang Anguilla, penggunaannya juga harus mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Semua pendaftaran menggunakan nama domain ".ai" haruslah dilakukan minimum untuk tempoh 2 tahun dan penggunannya sama ada untuk perniagaan atau servis, tidak menyalahi undang-undang Anguilla serta bebas unsur jenayah.

Seperti Tuvalu, jualan URL milik Anguilla ini turut sama menjadi sumber pendapatan yang bagus masyarakat mereka, mampu menjana sehingga RM13.5 juta setahun ekoran popularitinya.

Antara laman web yang sudah menggunakan prefiks ini adalah facebook.ai; salah satu divisyen dalam Facebook/Meta yang ditubuhkan khusus untuk pembangunan sistem kepintaran buatan yang digelarkan sebagai CICERO.




Hakcipta iluminasi.com (2017)