Bergaduh di media sosial memang seronok bagi mereka yang sukakan cabarannya. Entah kenapa ya ramai di antara kita ketagih nak membuktikan siapa betul siapa salah, bertengkar dengan individu yang selalunya tak kita kenali setiap hari.

Perdebatan yang bermula kecil boleh meleret-leret jadi panjang, dibantu pula oleh sokongan batu api yang jelas mahu mengeruhkan lagi suasana. Kita pun menaiplah berbalas-balas komen untuk mendiamkan lawan, sehinggalah komen kita tidak dibalas dan kita diisytiharkan menang - oleh penyokong sendiri.

BESARKAN TEKS     A-  A+

topik bergaduh politik 112

Setiap hari ada bermacam topik yang dijadikan 'topik perdebatan' di kalangan pengguna media sosial namun jika difikirkan, masa yang kita luangkan itu tak membawa apa-apa perubahan pun sebenarnya. Apatah lagi bila kita gemar betul berlawan pendapat dalam lima topik berikut;

1. Konsol permainan siapa power?

konsol video

Zaman pergaduhan di internet dalam membuktikan konsol pilihan mana yang terbaik, benar-benar memuncak semasa zaman Playstation menjadi raja permainan video. Ketika Microsoft mengumumkan kemasukan mereka ke dalam industri permainan video, peminat konsol Sony dan Nintendo (serta Sega) bermati-matian mengatakan Microsoft tidak akan kekal lama.

Kini pada era keempat generasi konsol moden dengan teknologi grafik 3 dimensi, perdebatan dalam hal konsol videogame tidak lagi sehangat dulu. Bagaimanapun, kehangatan itu tetap ada apabila melibatkan permainan-permainan video eksklusif yang hanya diterbitkan untuk konsol tertentu.

Pasti ramai yang kini semakin matang menyedari zaman muda yang dihabiskan bermatian mempertahankan pilihan konsol permainan video yang digemari, langsung tidak mendatangkan hasil. Kita beli sajalah mana kita suka, pasang dan main. Grafik buruk sikit pun tak perlulah kondem orang lain.

2. Peranti elektronik siapa bagus?

telefon pintar 94h66

Selepas era perdebatan konsol permainan video mula menurun, perdebatan berkenaan isu telefon pintar siapa lagi bagus pula mengambil alih takhta. Sehingga ke hari ini kita boleh nampak akan wujud segelintir pihak yang nak juga pertahankan apa yang dia minat.

Samsung lawan Apple. iOS lawan Android. Windows lawan Mac. Snapdragon lawan Kirin. Banyaknya topik yang boleh buat orang bergaduh berkaitan dengan peranti elektronik ni kan? Apa yang kita dapat sebenarnya bila kita 'berjaya' membuktikan teknologi pesaing syarikat kegemaran kita kurang berkualiti atau kurang fungsi? Tak dapat apa pun.

Nak selesaikan perdebatan sebegini mudah saja - bawa naik kedua-dua telefon ke tingkat 21, campak ke bawah. Tengok telefon mana masih berfungsi. Telefon itu kita isytiharkan pemenangnya.

3. Aku penyokong pasukan bola!

penyokong bola gaduh

Salah satu topik paling hangat sepanjang zaman. Selagi sukan bolasepak dan liga bola sepak wujud, pergaduhan tentang bola sepak tetap akan berlaku. Yang menjadi masalah besar, bila kita boleh bertumbuk di stadium (atau kedai mamak) hanya disebabkan ada perselisihan faham terhadap sesuatu yang berlaku beribu kilometer jauhnya dari kita.

Ada yang fanatik sampai sanggup tak bertegur sapa. Ada yang sanggup menghabiskan dua tiga hari mengkritik pasukan lawan hanya kerana menang dengan gol off-side. Ada yang mampu bercakap tentang keadilan dan sistem kehakiman dalam membicarakan keputusan pengadil yang berat sebelah.

Perlumbaan merebut kejuaraan liga pula pasti akan memecahbelahkan kita - bagi penyokong pasukan yang dah terkeluar daripada bersaing, sudah tentu kita akan mahu melihat pasukan yang kita tak suka kalah. Ada juga di antara penyokong bola yang berharap pemain yang mengkhianati pasukan atau kelab yang disokongnya, kena terjah patah kaki dan terpaksa bersara. Itulah kuasa bola sepak.

4. Krisis rumah tangga orang lain

vanida rashidi cerai

Kami tidak tahu topik ini popular atau tidak dalam masyarakat lain, tapi di negara kita topik ini sangat popular. Mana-mana perceraian yang berlaku dan viral, pasti akan mendapat ratusan reaksi pengguna media sosial yang mempunyai pandangan sendiri dalam hal yang dia sendiri dia tak tahu sangat hujung pangkalnya.

Persoalannya, sumber kisah-kisah perceraian yang ada pun datangnya daripada laman-laman media sosial yang tah siapa penulisnya. Bagaimanapun komen yang hadir pasti akan mengambil perkara itu dengan serius, saling salah-menyalahkan dan berusaha keras mahu menunjukkan pihak mana yang patut dipertanggungjawabkan.

Yang kelakar, kita biasanya hanya tahu cerita daripada sebelah pihak sahaja. Bagaimanapun kekangan itu tidak menjadi penghalang untuk kita 'campur pandangan' - lagilah seronok bila kes-kes perceraian itu melibatkan individu bergelar selebriti.

5. Politik

politik malaysia

Perkembangan teknologi internet di negara kita membuka ruang untuk ruang bicara maya yang banyak, dijadikan peluang untuk kita berpolitik. Perkara ini tidak baru, malahan sudah bermula sejak internet untuk rumah diperkenalkan oleh TM Net, ketika era 1990-an.

Aplikasi MIRC (google kepada siapa yang tak tahu), bilik-bilik chat Yahoo Messenger dan juga laman web yang dihoskan oleh Geocities dan Angelfire menjadi medan perdebatan politik, sebelum media sosial mula mengambil alih dan 'menyatukan' pendebat-pendebat politik dalam satu bumbung. Perdebatan politik jadi semakin hangat, semakin interaktif dan ahli politik zaman sekarang bila-bila masa boleh melakukan sidang media melalui akaun media sosial mereka.

Hari-hari politik jadi topik paling popular dalam media sosial kita. Ada masanya rasa penat juga berbicara tetapi melihat kerenah kerajaan yang nampak memerintah sambil lewa dan pembangkang yang tak jelas apa hala tujunya; nak tak nak rakyat Malaysia kena jugalah aktif berpolitik dalam media sosial.

Bagaimanapun, ada ketikanya kita akan bertanya - sampai bilalah kita nak 24 jam sehari berpolitik di Malaysia?




Hakcipta iluminasi.com (2017)